Bila kita dikurniakan pasangan, bersyukurlah. Hargai selagi mereka masih ada. Ini kerana bukan semua orang berpeluang untuk hidup berteman. Jodoh di tangan Allah, tidak semua bernasib baik. Setengah orang dikurniakan pasangan pada usia yang begitu muda, namun di pertengahan jalan rumah tangga yang dibina kacau-bilau.
Kemudiannya ada juga sampai ke usia lanjut masih membujang, benarlah tidak semua bernasib baik dalam soal jodoh. Jika ada di kalangan yang bertuah dan bernasib baik dikurniakan pasangan, bersyukurlah dan hargailah pasangan kurniaan daripada Allah SWT.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslida ini dan hadam baik-baik:
Dalam dunia ini tidak semua orang berpeluang mempunyai pasangan hidup. Kita patut bersyukur kerana dalam ramai-ramai tu kita antara insan yang dipilih untuk mempunyai pasangan
hidup.Walaupun pasangan kita tidak sehebat pasangan orang lain, tidak secantik atau sekacak pasangan orang lain namun bersyukurlah kerana hidup kita tidak keseorangan. Allah hadirkan seseorang untuk menemani hidup kita.
Kerana ada juga yang dapat pasangan yang bila mana kita senang dia bersama kita tetapi bila kita susah dia tinggalkan kita.
Tak Semua Bernasib Baik
Setiap orang rezeki dia berbeza dan pengalaman juga tak sama. Bagi yang mendapat pasangan yang baik, itu adalah satu anugerah yang tidak ternilai.
Cuba kita perhatikan tingkah laku dan gerak geri pasangan kita, mesti kita akan sayu kerana kita tak tahu entah berapa lama Allah pinjamkan dia untuk kita. Dan lagi satu bila kita lihat pasangan kita ketika dia sedang tidur, renunglah mata dia.
Lihatlah keseluruhan anggota badannya betapa dia berusaha keras untuk menjadi yang terbaik buat kita dan keluarga. Walaupun tak sama dengan orang lain namun ia cukup bermakna dalam hidup kita.
Belum Tahu Untung Nasib Rumah Tangga
Pada sang suami pula, janganlah mudah memaki-hamun isteri anda sesuka hati. Kerana hati dan jiwa wanita ini sangat lembut dan sensitif. Jika ada perkara yang anda tidak suka, tegurlah secara berhemah dan lemah lembut.
Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang kesat dan tidak elok kepada mereka, kelak mereka akan hilang rasa hormat kepada anda. Dan kehidupan rumah tangga kita pun akan suram dan tak seronok. Betul tak?
Walaupun Nasib Berbeza, Jaga Pasangan Sebaiknya
Satu lagi, ini selalu berlaku dalam kehidupan kita. Jika kita diuji dengan menjaga pasangan kita yang sakit. Lebih-lebih lagi sakit yang kronik dan sukar diubati. Maka tenang dan sabarlah.
Jagalah mereka dengan seikhlas hati anda. Kerana Allah dah pilih kita untuk menjaga mereka. Ada sebab Allah pilih kita. Jangan sesekali kita mengeluh dan memarahi mereka dengan mengatakan mereka menyusahkan hidup kita kerana ayat tersebut boleh membuatkan hati mereka terluka.
Ingatlah satu perkara mungkin masa dia bersama dengan kita sudah tidak lama, jadi manfaatkan masa bersama dengan meninggalkan suatu kenangan yang indah. Bukan untuk dia sahaja bahkan untuk diri kita juga.
Bernasib Baik, Itu Suratan Ilahi
Sesungguhnya apa yang berlaku dalam hidup kita adalah satu suratan yang telah Allah tetapkan. Ikhlaskanlah hati untuk menerima takdir hidup kita ini. Semua yang diberi dan berlaku ada hikmahnya yang kita tidak tahu dan jangkakan.
Makanya bersangka baiklah. Semoga Kita semua terpilih menjadi salah seorang penghuni syurga yang tertinggi dan kuat serta sabar dalam melalui liku-liku kehidupan kita.
Jika anda dikurniakan pasangan yang baik, hargailah sebaiknya. Jika tidak, berdoalah selagi mampu. Jika sudah tidak mampu bertahan, pilih langkah terbaik agar kedua-duanya merasa bahagia.
Sumber: Nurul Haslida
Artikel ini dioalah dari Mingguan Wanita