Bila kita dikurniakan pasangan, bersyukurlah. Hargai selagi mereka masih ada. Ini kerana bukan semua orang berpeluang untuk hidup berteman. Jodoh di tangan Allah, tidak semua bernasib baik. Setengah orang dikurniakan pasangan pada usia yang begitu muda, namun di pertengahan jalan rumah tangga yang dibina kacau-bilau.
Bersyukurlah Bila Dikurniakan Pasangan, Hargai Selagi Ada
Kemudiannya ada juga sampai ke usia lanjut masih membujang, benarlah tidak semua bernasib baik dalam soal jodoh. Jika ada di kalangan yang bertuah dan bernasib baik dikurniakan pasangan, bersyukurlah dan hargailah pasangan kurniaan daripada Allah SWT.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslida ini dan hadam baik-baik:
Dalam dunia ini tidak semua orang berpeluang mempunyai pasangan hidup. Kita patut bersyukur kerana dalam ramai-ramai tu kita antara insan yang dipilih untuk mempunyai pasangan hidup.
Walaupun pasangan kita tidak sehebat pasangan orang lain, tidak secantik atau sekacak pasangan orang lain namun bersyukurlah kerana hidup kita tidak keseorangan. Allah hadirkan seseorang untuk menemani hidup kita.
Tak Semua Berpeluang Ada Teman Hidup
BERSYUKURLAH JUGA JIKA KITA MENDAPAT PASANGAN YANG SANGGUP SAMA-SAMA SUSAH DAN SENANG DENGAN KITA. MALAH TIDAK KISAH PUN MACAMANA KEADAAN KITA, TIDAK MEMILIH DAN CEREWET. JANGAN LEPASKAN, KELAK KITA SUKAR NAK TEMUI LAGI INSAN SEPERTI ITU.
Kerana ada juga yang dapat pasangan yang bila mana kita senang dia bersama kita tetapi bila kita susah dia tinggalkan kita.
Tak Semua Bernasib Baik
Ads
Setiap orang rezeki dia berbeza dan pengalaman juga tak sama. Bagi yang mendapat pasangan yang baik, itu adalah satu anugerah yang tidak ternilai.
Cuba kita perhatikan tingkah laku dan gerak geri pasangan kita, mesti kita akan sayu kerana kita tak tahu entah berapa lama Allah pinjamkan dia untuk kita. Dan lagi satu bila kita lihat pasangan kita ketika dia sedang tidur, renunglah mata dia.
Lihatlah keseluruhan anggota badannya betapa dia berusaha keras untuk menjadi yang terbaik buat kita dan keluarga. Walaupun tak sama dengan orang lain namun ia cukup bermakna dalam hidup kita.
Belum Tahu Untung Nasib Rumah Tangga
Ads
Pada sang suami pula, janganlah mudah memaki-hamun isteri anda sesuka hati. Kerana hati dan jiwa wanita ini sangat lembut dan sensitif. Jika ada perkara yang anda tidak suka, tegurlah secara berhemah dan lemah lembut.
Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata yang kesat dan tidak elok kepada mereka, kelak mereka akan hilang rasa hormat kepada anda. Dan kehidupan rumah tangga kita pun akan suram dan tak seronok. Betul tak?
Walaupun Nasib Berbeza, Jaga Pasangan Sebaiknya
Satu lagi, ini selalu berlaku dalam kehidupan kita. Jika kita diuji dengan menjaga pasangan kita yang sakit. Lebih-lebih lagi sakit yang kronik dan sukar diubati. Maka tenang dan sabarlah.
Jagalah mereka dengan seikhlas hati anda. Kerana Allah dah pilih kita untuk menjaga mereka. Ada sebab Allah pilih kita. Jangan sesekali kita mengeluh dan memarahi mereka dengan mengatakan mereka menyusahkan hidup kita kerana ayat tersebut boleh membuatkan hati mereka terluka.
Ads
Ingatlah satu perkara mungkin masa dia bersama dengan kita sudah tidak lama, jadi manfaatkan masa bersama dengan meninggalkan suatu kenangan yang indah. Bukan untuk dia sahaja bahkan untuk diri kita juga.
Bernasib Baik, Itu Suratan Ilahi
Sesungguhnya apa yang berlaku dalam hidup kita adalah satu suratan yang telah Allah tetapkan. Ikhlaskanlah hati untuk menerima takdir hidup kita ini. Semua yang diberi dan berlaku ada hikmahnya yang kita tidak tahu dan jangkakan.
Makanya bersangka baiklah. Semoga Kita semua terpilih menjadi salah seorang penghuni syurga yang tertinggi dan kuat serta sabar dalam melalui liku-liku kehidupan kita.
Jika anda dikurniakan pasangan yang baik, hargailah sebaiknya. Jika tidak, berdoalah selagi mampu. Jika sudah tidak mampu bertahan, pilih langkah terbaik agar kedua-duanya merasa bahagia.
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
‘Bonding’ dengan keluarga dan anak-anak bukan sekadar bawa mereka keluar berjalan-jalan di hujung minggu atau bercuti bersama-sama di tempat-tempat menarik. Ada cara lain untuk rapatkan hubungan dengan anak-anak.
Kadang-kadang, mak ayah yang sibuk bekerja sampai tiada masa untuk ‘bondding’, berbual atau bergurau senda dengan anak-anak. Keluar pagi, pulang malam. Bila balik rumah, mak ayah dah tak larat, buat apa yang termampu dan langsung tak sempat nak berborak dengan anak. Sedihnya bila ingatkan keadaan ini.
Kalau nak balas balik masa yang tidak dapat bersama anak-anak ini, hanyalah tunggu cuti yang panjang, bonding dengan keluarga bersama. Tapi adakah ini sudah memadai.
Sebagai mak ayah, ambillah masa seketika untuk bonding dengan anak. Tak perlu nak planning untuk bercuti bersama tapi cukup dengan keluar makan, berjalan di taman. Dengan syarat hanya bersama seorang anak.
Inilah yang dikongsikan oleh Mohd Yazid Ismail tentang bonding dia bersama setiap anak. Ada hari special bagi setiap anaknya.
Setiap tahun saya akan buat special bonding session dengan anak-anak secara one by one. Jalan-jalan berdua. Atau sekadar dinner berdua. Kadang dua kali setahun setiap orang.
Hari ni saya buat bonding session dengan Saeed, umur 5 tahun. Bawa jalan-jalan, naik komuter lepas tu tukar naik MRT.
Sesi bonding ada giliran untuk setiap anak. Semua tak sabar tunggu giliran masing-masing.
Sebelum giliran Saeed hari ni, saya buat sesi dengan Dhia, lepas tu Fina. Bawa keluar mengopi dan makan kek waktu malam.
Saya memang buat sesi macam ni dengan anak-anak sejak anak sulung (Bashir) kecil lagi. Sekarang Bashir dah 14 tahun.
Bagus sesi macam ni. Anak-anak boleh buat luahan perasaan one by one. Borak lama-lama tanpa gap, macam-macam cerita keluar. Macam bercerita dengan kawan.
Happy diorang.
Bagi Motivasi & Nasihat
Anak rasa dirinya special, dihargai, dan ada orang yang sedia mendengar luahan perasaan yang lama terpendam. Kalau anak bawah umur 7 tahun macam Saeed ni, ia akan jadi sesi bertanya beribu-ribu soalan. Bersedialah goreng jawapan.
Sesi bonding juga saya gunakan untuk bagi motivasi dan nasihat yang spesifik untuk setiap anak. Masing-masing ada perangai dan masalah yang berbeza, maka nasihat pun berbeza tak sama dengan adik beradik yang lain.
Saya pun rasa bahagia dapat keluar berdua macam ni. Rasa macam me time. Tenang je.
Mingguan Wanita : Jangan nak ada me time untuk diri sendiri je. Bonding dengan anak pun satu perkara yang cukup membahagiakan.
Perangai perempuan ini memang pelik, kadang cakap A tetapi maksud sebenarnya B. Atau mungkin boleh jadi C, kalau lelaki jenis terima bulat-bulat tanpa selidik memang akan jadi perang besar! Ingat… walaupun anda sudah sah jadi suami isteri tetapi belum tentu anda akan memahami 100 peratus perangainya.
Bagi elak hubungan keruh selepas anda berumah tangga, eloklah baca pekongsian cerita Abu Hurairah Asifa sebagai membuka mata apa kehendak seorang perempuan sebenarnya…
“Abang keluar sekarang! Saya tak suka tengok muka abang!”
Saya ambil kunci. Ambil anak dan masuk kereta. Tidak lama kemudian, isteri call dan tanya:
“Abang pergi mana? Kenapa tinggalkan saya?”
Allahu. Saya patah balik dan masuk rumah. Sampai di rumah, isteri kata:
“Kalau nak keluar, keluarlah. Saya tak paksa pun abang nak pergi mana!”
Saya duduk di depan pintu, serba salah nak keluar ke nak masuk ni. Masuk nanti salah, keluar lagilah salah. Akhirnya saya duduk saja di tepi rak kasut.
Saya pun masuk ke dalam rumah dengan anak sekali. Kami duduk macam tetamu yang datang nak beraya. Terasa asing di rumah sendiri. Duduk sampai tertidur. Sedar-sedar saja, isteri sudah baring di riba. Habis basah air matanya membasahi seluar saya.
Nak bagitahu apa? Itulah isteri kita. Dia makhluk yang paling ajaib pernah kita jumpa. Dia tiba-tiba macam bidadari dari syurga, kadang-kadang macam geram je kita rasa. Kadang nak cubit secubitnya.
Allah ciptakan mereka untuk kita. Tak percaya? Buka Al Quran dan bacalah.
Kita yang lelaki ini boleh tegak berdiri. Perempuan ini memang, memang dia punya senget dan kona boleh lari sana sini. Sabarlah, itu sahaja Allah pesan pada kita. Kalau tak boleh sabar, gigitlah pokok pisang tu berkali-kali!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia...