“Bersungguh sambung pengajian, apakan daya dia pergi dulu.” Isteri sebak, terima skrol diploma suami. Tentu saja majlis ini sangat dinanti-nantikan suaminya, namun takdir Allah mengatasi segalanya.
Bayangkan setelah bertungkus-lumus menyambung pengajian, namun dirinya telah pergi buat selamanya sebelum merasai kemanisan kejayaan yang dicapai.
Seorang wanita sebak sebaik menerima diploma arwah suaminya ketika Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau (PMM) ke-19 di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka (PMM).
Maisharah Omar, 36, mengambil skrol Diploma Kejuruteraan Elektrik allahyarham suaminya, Azhar Rahman, 39, pada sidang kelapan konvokesyen yang disampaikan oleh Pengarah Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah, hari ini.
Jelas Maisharah, suaminya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di negeri ini meninggal dunia akibat kanser lipoma tahap tiga pada 22 September 2020.
Menurutnya, semuanya bermula apabila arwah terjatuh ketika majlis berkhatan anak kedua mereka menyebabkan arwah merasa tidak sihat dan terus membuat pemeriksaan kesihatan.
“Hasil pemeriksaan, kami terkejut kerana dikhabarkan arwah mengidap kanser tahap tiga.
“Selepas itu, arwah sentiasa berulang-alik ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan susulan sehinggalah pada 22 September 2020 arwah meninggal di Hospital Melaka,” katanya.
Tambahnya, arwah suami bersungguh-sungguh untuk menyambung pengajian di peringkat diploma kerana ditawarkan kenaikan pangkat oleh majikan sebagai juruteknik sekiranya memperoleh diploma.
“Tapi apakan daya, arwah pergi dahulu.
“Walaupun sedih suami tidak dapat mengambil sendiri skrol ini tetapi saya bangga kerana arwah berjaya menamatkan diploma yang merupakan impiannya,” katanya.
Hasil perkahwinan Maisharah dan arwah, mereka dikurniakan empat orang anak.
Pada majlis konvokesyen kali ke-19 itu, seramai 2,936 graduan PMM diraikan bermula 6 Februari sehingga 10 Februari ini.
Artikel Berkaitan:
Gambar Kenangan Bersama Arwah Suami Bawa Tuah Buat Kasih Zeera dan Bayi
Ingin Emir Kahwin Secepat Mungkin, YB Mastura Kongsi PESANAN Arwah Suami
“Selalu Bersembang Mengingati Kematian.’ Isteri Hamil 7 Minggu Reda, Ingat Pesan Arwah Suami
Mingguan Wanita : Manusia hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Al-Fatihah.
Sumber/ Foto : Sinar Harian Online
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita