Bersedekah tak perlu tunggu kaya, akak nasi lemak anak ramai bersyukur terima sumbangan netizen dan Beras Era. Ingat lagi pada puan Azian Abd Rahim, ibu tunggal yang menghidapi sakit saraf lebih setahun lalu? Dan setelah kematian suaminya, dialah menggalas tanggungjawab menyara sembilan orang anak dengan berniaga nasi lemak di Pasar Tani Saujana Utama setiap Sabtu.
Bagi yang tidak mengikuti kisahnya, gerai nasi lemak beliau telah viral menerusi rakaman video seorang TikToker yang menunjukkan kegigihan anak-anak mencari rezeki seawal pagi tanpa ibu di sisi. Namun begitu, saat rakaman disiarkan kita pula semakin menghampiri Ramadan. Tidak ramai berpeluang merasai keenakan nasi lemak kak Azian.
Betapa prihatinnya netizen tidak hairanlah apabila ramai bertanya sama ada gerai dibuka atau tidak semasa bulan puasa. Ramai berhasrat untuk membeli. Namun kini, setelah lebih sebulan bercuti sepanjang Ramadan, kini gerai kak Azian sudah beroperasi seperti biasa. Sesiapa yang ingin membeli nasi lemak beliau, bolehlah ke Pasar Tani Saujana Utama setiap pagi Sabtu.
Susulan daripada kisahnya yang tular itu dan tersentuh dengan kegigihan anak-anak berniaga, Mingguan Wanita bersama Beras Era Food menyantuni keluarga Azian menerusi kempen CSR Sempurnakan Raya Ramadan lalu. Program ini merupakan tahun ketiga dilaksanakan oleh Mingguan Wanita dan pertama kali disertai oleh Beras Era Food.
Baca Disini : Demi Sesuap Nasi, Ibu Tunggal 9 Anak Derita Sakit Saraf Bersengkang Mata Jual Nasi Lemak
Berbeza dari kempen terdahulu, keluarga Azian bukan sahaja menerima sumbangan barangan keperluan berniaga tajaan Beras Era, tetapi juga membuka peluang orang ramai menghulurkan sumbangan ikhlas menerusi Tabung Skuad Sedekah Bersama Mingguan Wanita bermula 1 Ramadan 1444 Hijrah hingga 20 Ramadan lalu.
Bukan itu sahaja, pihak Beras Era juga berbesar hati menggandakan hasil kutipan sumbangan orang ramai menerusi Tabung Skuad Sedekah. Sumbangan orang ramai disalurkan terus ke akaun NGO Peduli Insan yang dilantik sebagai rakan strategik bertanggungjawab mengumpulkan sumbangan.
Usaha yang baik pasti dipermudahkan Allah. Keprihatinan netizen membolehkan hasil sumbangan mencapai sasaran iaitu hampir RM10 ribu. Dan lebih bermakna lagi, pihak Beras Era bersetuju pula menggandakan jumlah hasil sumbangan orang ramai yang akhirnya mencapai jumlah keseluruhan sebanyak RM20 ribu.
Bukan sahaja keluarga Azian mendapat manfaat daripada hasil sumbangan ini, ia turut disalurkan kepada 40 keluarga asnaf lain dalam bentuk barangan keperluan dan wang tunai. Sesungguhnya pemberian ini walaupun jumlahnya tidak besar setelah di bahagi-bahagikan, namun ia amat bermakna buat semua keluarga penerima. Sumbangan berjaya disalurkan sebelum Syawal bagi membolehkan mereka dapat membuat persiapan hari raya.
Mingguan Wanita : Rakyat Malaysia memang terkenal dengan kemurahan hati untuk menderma. Indahnya jika semangat ini terus tertanam kuat di hati sepanjang tahun.