Tak salah niat nak tambah zuriat tetapi sebaiknya janganlah sampai anda pentingkan diri sendiri sampai bebankan mak ayah di kampung.
Bukan hanya suruh mak ayah jaga anak, ada yang lagi sedih balik kampung semata-mata nak pinjam duit. Allahu… kasihanilah mak ayah yang dah tua nak teruskan hidup. Mungkin dia berduit tetapi belajarlah berdikari tanpa membebankan orang tua kita.
Nah, untuk betulkan sikap yang dah lama membiak dalam diri kita itu, jemput baca perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini.
Tanda Anda Belum Layak Tambah Zuriat
Antara tanda sesetengah suami isteri itu belum mampu (baca : belum layak) untuk menambah zuriat dalam masa terdekat;
1) Anak yang sedia ada pun BUKAN kita yang menafkahi keperluan mereka.
(+) Ada banyak terjadi, duduk menumpang di rumah ibubapa, lebih menghibakan bukan sahaja tidak menghulur duit kepada ibubapa, bahkan urusan perbelanjaan anak-anak A-Z dibebankan pula ke bahu atuk dan nenek.
(+) Ada pula selepas bersalin terus menyerahkan urusan anak-anak kepada ibubapa (atuk nenek). Bukan sahaja tidak diberikan upah menjadi babysitter, bahkan merekalah yang bersusah payah mengeluarkan bajet membeli susu, pampers, duit mainan, pendidikan si cucu.
(+) Jika tidak duduk bersama pun, tapi setiap kali balik kampung, asyik meminjam (tak pernah ganti) duit ibubapa, untuk beri makan minum anak-anak.
(+) Ataupun diserahkan urusan nafkah, makan, minum, pendidikan semuanya di bahu isteri 24/7. Gaji dan keringat si isterilah yang menanggung segala-galanya. Sedangkan tanggungjawab menafkahi anak-anak adalah sepenuhnya tanggungjawab suami/bapa.
Ads
2) Anak yang sedia ada, mempunyai ibubapa lain yang sentiasa di sisi mereka, iaitu GAJET. Tak kisahlah atas alasan apapun, namun jika anak-anak bawah 5 tahun lebih 5 jam kita biarkan memegang telefon pintar tanpa pantauan, maka, pintarkah kita sebagai ibubapa? Hingga kadang menjebakkan anak-anak ini kepada pornografi dan ketagih online games walau umur baru 4-5 tahun!
3) Kita sebagai ibubapa lebih banyak lihat muka buku (facebook) dari lihat muka anak-anak yang sedia ada. Banyak lihat skrin gajet dari melayani keletah anak-anak.
Anak ajak bermain dijerkah. Anak ajak bergurau dimarah-marah. Ibubapa leka dengan telefon/games semata. Astaghfirullah.
4) Ya, kita melahirkan anak-anak. Ya, anak-anak dibin/dibintikan nama kita di hujung nama mereka yang indah. Namun sayangnya, bukan kita orangnya yang pertama mengajarkan mereka tentang solat, mengaji al-Quran.
Mungkin atas alasan kita suami isteri sendiri pun tak pernah solat berjemaah bersama, mahupun bertadarus al-Quran bersama. Astaghfirullah. Kemudian kita serahkan sepenuhnya urusan mengenalkan anak kepada Allah, al-Quran dan Nabi kepada ustaz, ustazah. Allahu.
Ads
5) Dengan anak-anak yang sedia ada pun kita selalu menengking, marah, hilang sabar. Kadang ada hingga tahap memukul dan mendera mereka. Astaghfirullah.
Hal ini boleh terjadi atas pelbagai faktor;
(+) hubungan suami isteri yang bermasalah
(+) lemahnya ilmu parenting, komunikasi suami isteri serta pengurusan emosi
(+) masalah kesihatan mental seperti meroyan/depresi/dan lain-lain.
Hal ini cukuplah menandakan bahawa kita secara emosi belum cukup layak untuk menambah komitmen baru.
Apabila kita berniat untuk menambah zuriat, itu bukan sahaja bermakna kita menjemput nikmat dan rahmat bahkan juga amanah yang amat berat. Kita kena sedar, segalanya akan dipertanggungjawabkan kelak di akhirat.
Bayi dan anak kecil memang comel, tetapi ia datang dengan pakej amanah dan tanggungjawab yang menuntut kesediaan mental, fizikal dan emosi kedua belah pihak.
Ads
Sebagai mana tinta Imam Hassan al-Banna, bebanan rumahtangga ini harus dipikul berdua. Motif bekeluarga adalah menuju syurga.
Wahai lelaki, ingat peringatan Tuhan kepada para suami/bapa dalam surah at-Tahrim, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ; manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya);..”
Hal pendidikan anak-anak adalah urusan bersama suami isteri. Ya, ibu adalah madrasah anak-anak, tetapi bapa adalah MUDIR madrasah itu.
Parenthood is a lifetime commitment.
Perjanjian menanggung amanah seumur hidup walau setelah anak-anak bernikah sekalipun masih memerlukan doa, pandangan dan nasihat kita, sebagai ibubapa.
Ibu-ibu, ayah-ayah… sentiasa doakan anak-anak kita agar menjadi zuriat yang soleh dan solehah.
Sentiasa juga minta semoga Allah pimpin kita dalam mendidik amanah ini. Serta lazimi solat taubat atas khilafnya kita dalam mendidik anak-anak pinjaman Tuhan.
Astaghfirullah. Allahumma islih dzuriyyati…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Tipulah tiada rasa malu, tapi ini ketentuan. ” Tidak simpan dendam, sudah maafkan ayah, kerana dia telah pun menerima hukuman.
Sebagai manusia apatah lagi kala itu baru berusia lapan tahun ketika kejadian, sudah tentu dirinya dihimpit rasa malu. Namun lama-kelamaan gadis ini redha dengan takdir Allah.
Tipulah Tiada Rasa Malu
Kejadian 1.30 pagi 12 tahun lalu meninggal seribu kenangan yang tidak mungkin terpadam dalam lipatan sejarah hidup saya buat selamanya.
“Dalam kejadian 8 Ogos 2010, ketika saya sedang tidur tiba-tiba wajah saya terasa panas dan sakit selepas terkena asid yang disimbah bapa,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 20, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.
Menurutnya, walaupun kejadian sudah lama berlalu dan bapanya sudah menerima hukuman atas perbuatan itu namun dia tidak menyimpan dendam serta sudah memaafkan bapanya.
Katanya, pada peringkat awal kejadian situasinya amat sukar kerana perlu menghadapi pelbagai tanggapan negatif selain menjadi tumpuan masyarakat.
Dahyatul berkata, dia mengakui tidak mempunyai kekuatan mental selepas kejadian itu memandangkan usianya ketika itu baru lapan tahun.
“Tipu sekiranya tidak malu dengan keadaan seperti ini namun saya menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan oleh Allah dengan hati yang terbuka.
“Bapa selalu datang menjenguk saya dan adik-beradik lain sekiranya mempunyai masa terluang dan kami sekeluarga juga akrab dengannya yang tinggal di kampung sebelahan,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia kini sesekali mengalami masalah sukar bernafas berikutan keadaan hidung yang tidak sempurna.
Katanya, sekiranya diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dia masih mahu meneruskannya kerana ingin mengurangkan kesan akibat luka yang berlaku pada wajahnya.
Jelas Dahyatul, dalam kejadian itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan turut terkena asid yang disimbah bapanya namun kecederaan keduanya tidak seteruk dirinya.
“Semoga apa yang berlaku kepada diri saya ini menjadi tauladan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak mengambil tindakan mengikut nafsu ketika berlaku perselisihan keluarga hingga mendatangkan kecederaan kepada anak-anak,” katanya.
Mingguan Wanita : Murni sungguh Dahyatul, dia redha dengan apa yang berlaku serta mampu memaafkan ayahnya. Semoga adik Dahyatul terus kuat menghadapi ujian mendatang.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Mak mentua dengki dengan menantu, anggap nak rampas anak lelaki. Dalam kehidupan berumah tangga, hubungan antara menantu perempuan dan mentua, terutamanya mak mentua, sering menjadi topik hangat.
Mak Mentua Dengki Dengan Menantu, Anggap Nak Rampas Anak Lelaki
Ada yang harmoni seperti ibu dan anak sendiri, tetapi tidak kurang juga yang bermasalah. Salah satu konflik yang kerap berlaku ialah perasaan iri hati atau dengki daripada mak mentua terhadap menantu perempuan. Mereka menganggap menantu sebagai “perampas” kasih sayang anak lelaki mereka.
Punca Mak Mentua Berasa Dengki
Rasa Kehilangan Anak Lelaki
Seorang ibu yang membesarkan anak lelakinya dengan penuh kasih sayang mungkin merasa kehilangan apabila anaknya berkahwin. Jika sebelum ini si anak sentiasa memberi perhatian kepadanya, kini perhatian itu terbahagi kepada isteri. Ini boleh menimbulkan rasa cemburu, terutamanya jika ibu mentua tidak bersedia untuk berkongsi kasih.
Takut Hilang Pengaruh Dan Kuasa
Ada mak mentua yang biasa membuat keputusan untuk anak lelaki mereka, dari hal kecil hingga besar. Apabila anak berkahwin, isteri menjadi individu yang lebih berpengaruh dalam hidupnya. Perubahan ini boleh membuat mak mentua rasa tidak dihormati atau tidak lagi diperlukan.
Perbandingan Dengan Diri Sendiri
Sesetengah mak mentua membandingkan cara menantu mengurus rumah tangga dengan cara mereka dahulu. Jika menantu melakukan sesuatu dengan cara berbeza, mereka mungkin melihatnya sebagai satu bentuk “pemberontakan” atau tidak menghormati cara lama.
Rasa Tidak Dihargai
Jika menantu kurang berkomunikasi atau kurang menunjukkan rasa hormat dan kasih sayang kepada mak mentua, perasaan tersisih boleh timbul. Ini boleh menyebabkan mak mentua merasa terancam dan bertindak negatif terhadap menantu.
Tanda-Tanda Mak Mentua Dengki dengan Menantu
Sering mencari kesalahan menantu, walaupun dalam perkara kecil.
Membandingkan menantu dengan wanita lain, sama ada saudara-mara atau bekas teman wanita anaknya.
Mengadu kepada anak lelaki bahawa menantu tidak menghormatinya atau mengabaikannya.
Tidak menyokong menantu dalam hal rumah tangga, sebaliknya lebih memihak kepada anak lelaki walaupun dalam situasi yang tidak adil.
Suka mengawal keputusan rumah tangga, contohnya dalam hal pemakanan, penjagaan anak, atau kewangan keluarga.
Cara Mengatasi Konflik dengan Ibu Mentua
Berkomunikasi Dengan Penuh Hormat
Cuba fahami perasaan ibu mentua dan tunjukkan rasa hormat. Elakkan bercakap dengan nada kasar atau mempertikaikan pandangannya secara terbuka.
Luangkan Masa Bersama Ibu Mentua
Walaupun sibuk, cuba luangkan masa untuk berbual atau melakukan aktiviti bersama. Ini boleh mengeratkan hubungan dan mengurangkan perasaan dengki.
Jangan Pisahkan Anak Lelaki Daripada Ibunya
Menantu tidak sepatutnya melarang suami daripada berbakti kepada ibunya. Sebaliknya, galakkan hubungan yang baik antara suami dan ibunya, agar ibu mentua tidak berasa tersisih.
Minta Bantuan Suami Untuk Menjadi Orang Tengah
Jika hubungan terlalu tegang, suami perlu memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menjernihkan keadaan. Suami harus bijak mengimbangi kasih sayang kepada ibu dan isteri tanpa membuat salah seorang terasa diabaikan.
Bersabar Dan Berdoa
Ada perkara yang tidak boleh diubah dalam sekelip mata. Bersabar dan berdoalah agar hubungan menjadi lebih baik. Kadangkala, masa yang lebih panjang diperlukan untuk ibu mentua menerima kehadiran menantu dalam hidup anaknya.
Hubungan ibu mentua dan menantu perempuan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia boleh diperbaiki dengan usaha kedua-dua pihak. Ibu mentua perlu memahami bahawa anak lelakinya kini mempunyai tanggungjawab baru sebagai suami.
Menantu pula harus sentiasa menghormati dan menghargai ibu mentua. Jika kedua-duanya saling bertolak ansur dan memahami perasaan masing-masing, hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni pasti dapat dibina.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai seorang wanita kita harus sedar bahawa setelah berkahwin, suami merupakan syurga seorang isteri. Walau siapa pun suami kita, walau bagaimanapun perangainya sesungguhnya itulah yang Allah telah pilihkan sebagai jodoh buat kita.Segala ketaatan haruslah disandarkan pada suami selagi mana ia tidak bertentangan dan diluar batasan perintahNya.
Terkesan sungguh dengan bait kata-kata oleh wanita yang menggunakan nama pena Bonda Nor ini. Pesanannya cukup bersahaja, namun nasihatnya cukup bermakna buat kita para isteri yang sering alpa, agar berubah menjadi isteri yang terbaik buat suami.
Berikut antara perkongsian tersebut;
SYURGA SEORANG ISTERI
Jadi seorang isteri, hal yang amat kritikal bagi kita ialah suami. Kita – makhluk Allah yang sarat dengan emosi dan kadang terlalu menuruti kata hati, lalu memang satu hal yang menakutkan kalau ada kata-kata dan tindak tanduk kita yang melukai hati suami – sengaja atau tak sengaja.
“Rasulullah sebut dengan jelas tentang perangai orang perempuan – saat berdepan dengan satu saja pun keburukan suami, si isteri boleh lupa dengan kebaikan suaminya yang lain. Perangai inilah yang paling banyak menjerumuskan perempuan ke neraka. Allah.. betapa ngerinya!”
Banyakkan Minta Maaf
Jadi seorang isteri, banyak-banyakkanlah minta maaf dari suami. Mungkin ada terkurang layanan kita, terkasar bahasa kita, terlajak berprasangka, tercerita tentang aibnya pada sesiapa..
Allah ya Allah, rendahkan hati kita untuk merayu kemaafan darinya. Jangan kita hanya nampak kelemahan dia tapi kita lupa kelemahan kita. Jangan kita sibuk besar-besarkan kesilapannya tapi kita pandang kecil kesilapan kita.
Pandang muka suami kita.. siapa pun dia, itulah yang Allah dah pilihkan sebagai jodoh kita. Itulah lorong nikmat.. itulah juga lorong ujian Allah buat kita.
Jadi Asbab Kebaikan
Semua buruk baik dia boleh jadi asbab kebaikan untuk kita. Mungkin untuk tundukkan ego kita. Mungkin untuk Allah beri pahala melalui sabar kita. Mungkin untuk latih kita berdikari dan keluarkan potensi diri. Ada sebabnya. Pasti ada sebabnya!
Minta Allah jaga rumahtangga kita. Kalau ada hal tentangnya yang kita tak suka, banyakkan berdoa pada Allah. Kita tak boleh ubah suami kita.. tapi Allah boleh. Minta dari Allah. Jaga hubungan kita dengan Allah agar mudah kita minta Allah jaga rumahtangga kita.
Redha Suami
Masya-Allah.. indahnya kesudahan hidup seorang isteri andai dia mati dalam keadaan mendapat redha seorang suami. Indahnya janji Allah bahawa isteri yang diredhai suaminya boleh masuk syurga dari mana-mana pintu yang disukainya. Indah sangat, kawan-kawan! Tak teringin ke kita untuk mendapatkannya?
Hari ni, ayuh simpan niat untuk jadi isteri yang lebih baik dari semalam. Simpan hasrat untuk cuba dan kemudian cuba. Allah pandang usaha kita. Allah pasti beri ganjaran walau pun pada sekecil-kecil usaha kita. Insya-Allah.. biiznillah. Jadikanlah kami isteri yang menyejukkan hati suami kami ya Allah. Amin. Amin.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat para isteri, sekaligus menjadikan kita isteri solehah penyejuk mata, pendamai hati yang mampu membahagiakan suami.