Dorongan ibu menjadikan Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, berusaha keras hingga berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah Kapal di negara ini. Beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) pada Februari yang lalu.
Kejayaannya yang dikecapi disifatkan sebagai memenuhi impian ibunya yang inginkan dirinya meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform yang sebelum ini bertugas selaku Pegawai Waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya amat rapat dengan arwah bapa dan sebagai anak sulung ibu mahu saya mengikut jejak bapa. Sejujurnya saya sememangnya menyimpan impian untuk bergelar pegawai memerintah namun tidak sangka ia secepat ini,” ujarnya memulakan bicara.
Cabaran Bekerja Dalam Bidang Dimonopoli Lelaki
Mengakui peranan ibunya yang banyak mendorong tanpa jemu untuk berkhidmat dalam pasukan Maritim, Aida yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih bekerja dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat pembinaan kapal sebelum beralih arah.
Mula menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengalaman sebagai wanita yang bertugas di atas kapal pernah dilalui wanita ini. Aida membuktikan tiada halangan buat seorang wanita sepertinya untuk turut sama bekerja dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Ketika penglibatan awal sebagai pegawai Maritim, Leftenan Aida pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir, Pegawai Pensenjataan, menjadi Pegawai Navigasi di Kapal KM Banggi, Pegawai Navigasi di Kapal KM Arau sehinggalah dirinya dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Kapal KM Nyalau baru-baru ini.
“Sepanjang lima tahun saya bergelar seorang Pegawai Maritim, tugas-tugas yang saya sandang semuanya berbeza-beza. Ketika menjadi Pegawai Tadbir saya banyak membuat kerja-kerja pentadbiran kapal, bermain dengan kertas, surat dan sebagainya.
Ads
“Untuk tugas Pegawai Persenjataan pula saya fokus kepada menjaga senjata, membuat latihan menembak dan sebagainya yang berkaitan dengan senjata. Menjadi Pegawai Navigasi pula tugas saya biasanya di Anjungan iaitu bahagian menggemudi kapal dan biasanya Pegawai Navigasi lah yang akan membantu Pegawai Memerintah sebagai penunjuk arah.
“Sebelum saya menyertai Maritim, saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan yang mana majoriti kakitangan di sana adalah lelaki. Persekitaran itu telah terbina sejak pekerjaan saya yang lama lagi, jadi bila masuk Maritim, saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Cuma cabarannya, status saya yang bujang dan perlu bekerja dengan krew lelaki yang sudah berkahwin.
“Alhamdulliah saya mendapat rakan-rakan sekerja yang baik dan memberi kerjasama yang baik untuk saya. sepanjang bertugas memang saya tiada masalah. Antara pendekatan lain yang saya buat, saya turut berkenalan dengan keluarga mereka, saya maklumkan status saya kepada keluarga krew lain untuk memudahkan tugas saya pada masa hadapan. Kebanyakan mereka kenal dengan saya jadi semua itu semua tidak timbul masalah,”ujarnya Leftenan Aida lagi.
Sudah Biasa ‘Berkampung’ Di Laut
Dengan jawatan sebagai Pegawai Memerintah yang baru disandangnya sejak Februari yang lalu, pasti bidang tugas Leftenan Aida berbeza daripada sebelumnya. Leftenan Aida turut berkongsi bagaimana dirinya sebagai seorang wanita menjadi ketua kepada krew lain yang kebanyakannya adalah lelaki.
“ Kapal KM Nyalau merupakan kapal ketiga tempat saya berkhidmat. Sebelum ini saya pernah bertugas di atas Kapal KM Banggi dan juga KM Arau yang berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah. kedua kapal sebelum ini bersaiz lebih besar daripada Kapal KM Nyalau, bidang tugas saya juga kini berbeza daripada dahulu.
“Kalau dahulu kapal besar dan sekarang saiznya lebih kecil, jadi pengendaliannya juga berbeza. Dahulu saya menerima arahan daripada ketua tetapi kini saya yang perlu memberi arahan kepada anak kapal. selain itu saya juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas aset kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Bukan sahaja kapal yang perlu saya jaga tapi anak-anak kapal juga saya perlu ambil tahu.
Ads
“Kapal KM Nyalau biasanya setiap kali beroperasi akan mengambil masa lima hari di laut. Namun jika tidak ke laut untuk operasi biasanya kami tetap berada di atas kapal tapi bezanya kapal hanya berlabuh dan tidak bergerak. Ketika berlabuh saya dan krew akan melakukan penyelengaraan kapal dan juga urusan pentadbiran yang lain.
“Dalam KM Nyalau, selain dianggotai krew-krew lelaki, saya juga ada pegawai perempuan bersama, memang bukan mudah untuk saya pada mulanya menjadi seorang ketua kepada anak-anak kapal yang majoriti lelaki.
“Namun itu sudah menjadi tugas saya dan dalam apa jua keadaan sebagai seorang ketua apa yang penting dalam menjalankan tugas adalah kita kena tegas. Bagi saya ketegasan itu perlu ada sebagai seorang ketua supaya anak-anak kapal tidak memandang remeh dan ambil kesempatan ke atas kebaikan kita sebagai seorang ketua walaupun saya seorang wanita,”katanya.
Jelasnya juga pengalaman bekerja di atas kapal yang lebih besar dengan krew kapal lelaki melebihi 50 orang turut digunakan sebagai persediaan untuk perjalanan tugas yang lancar.
“Bagi saya kalau di kapal besar pun saya boleh bekerjasama dengan krew lelaki, saya pasti di kapal KM Nyalau juga saya boleh lakukan perkara yang sama.”
Ads
Beraya Atas Kapal
Lima tahun bergelar seorang Pegawai Maritim, berpuasa dan berhari raya dilautan menjadi asam garam buat wanita yang kini bergelar Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau ini. Namun pengalaman yang ada menjadikan diri Leftenan Aida lebih matang dalam kehidupannya.
“Pada tahun lepas, bulan Mei 2017. Saya dan 25 orang krew kapal yang lain membawa pulang kapal KM Arau dari Jepun Ke Malaysia. Saya satu-satunya pegawai wanita yang mengikuti pelayaran itu. Kebetulan pada waktu kami belayar itu adalah pada bulan Ramadan.
“Pengalaman berpuasa di negara orang yang mana kami perlu berpuasa di lautan lebih daripada 16 jam dan juga perlu melalui perubahan masa dari satu negara ke satu negara yang lain yang mempunyai perbezaan waktu untuk berbuka memang satu pengalaman yang berharga buat saya. Keadaan laut pada ketika itu juga bergelora dan ditemani pula oleh krew kapal dari Jepun yang berumur antara 62 hingga 75 tahun membuatkan pelayaran kami satu pengalaman yang tak akan saya perolehi di mana-mana,” ujar anak kelahiran Perlis ini.
Sepanjang berkhidmat sudah dua kali Leftenan Aida menyambut Syawal di lautan. berjauhan dengan keluarga hanya ditemani krew kapal dan juga lautan tentunya buat hati terasa sayu. Namun kerana tugas untuk negara, tanggungjawab yang dipikul perlu digalas tanpa rasa sesal.
“Pengalaman saya beraya di laut pertama kali adalah ketika menjalani latihan di kapal KM Banggi yang berpengkalan di Kota Kinabalu. Pada pagi raya saya dan krew kapal yang lain menyediakan juadah raya secara beramai-ramai di dalam kapal. Sebelum ini tak pernah saya masak beria untuk hari raya, cuma tolong-tolong sahaja emak dan nenek. Tapi kerana perlu bertugas dihari raya saya belajar masak juadah yang biasa ada dir rumah pada hari raya. ketupat rendang semuanya kami masak di atas kapal.
“Pengalaman beraya kali kedua di laut pula ketika beroperasi di Tawau. Pegawai Memerintah kami mengambil inisiatif dengan berlabuh sebentar di Jeti Pelabuhan Tawau untuk sembahyang raya. selepas solat kami meneruskan pelayaran untuk meneruskan operasi. Suasana memang sangat berbeza dengan sambutan perayaan di rumah atau dikampung, yang ada hanya anak-anak kapal dan juga juadah raya yang kami masak sendiri. kebiasaannya memanglah tidak semeriah beraya di daratan, kami masak menu yang mudah disediakan seperti nasi impit, kuah kacang, mihun sup. ketupat lemang semua kami bawa yang segera dan rebus sahaja,”ceritanya tentang pengalaman beraya di lautan.
Ternyata bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dikecapi oleh Leftenan Aida. harapan Aida kejayaannya itu akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak dinafikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ramai yang bermurah hati memberi sumbangan dan bantuan dalam pelbagai bentuk dan cara. Dengan tujuan golongan yang memerlukan dapat dibantu demi menampung keperluan dapur dan belanja harian mereka.
Memang terbaik dan wajar diberikan pujian atas usaha murni penduduk di Kampung Pogunon, Penampang, Sabah ini. Mereka bersikap prihatin berkongsi rezeki memberikan sayur-sayuran dan buahan-buahan secara percuma kepada individu atau keluarga setempat yang memerlukan.
Lebih-lebih lagi dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila pergerakan orang ramai yang agak terbatas untuk mendapatkan sayur-sayuran mahupun buah-buahan.
Sumbangan Diletakkan Di Hadapan Kediaman Masing-Masing
Menerusi gambar yang dimuat naik oleh laman sosial Facebook ‘Bosku Urang Kita Sabah’ menunjukkan pemilik beberapa rumah di kampung itu menggantungkan sumbangan pada pagar atau diletakkan atas meja khas di hadapan kediaman masing-masing.
Semua barangan mentah terbabit turut disertakan nota yang memaklumkan keperluan asas tersebut adalah percuma dan setiap rumah hanya boleh mengambil satu plastik bagi setiap jenis barang.
MW: Usaha murni penduduk kampung ini berkongsi rezeki ini wajar dipuji.Semoga rezeki penduduk kampung ini berlipat ganda kerana membantu mereka yang memerlukan.
Jenazah hanya alami calar, luka kecil dan kedudukan mengadap mengiring ke arah kiblat.” Ahli keluarga lega bekas imam telah ditemui.
Syukur alhamdulillah penantian ahli keluarga akhirnya terlerai bila jenazah ditemui juga setelah lima hari pencarian.
Hanya Alami Calar, Luka Kecil dan Kedudukan Mengadap Kiblat
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon ketika ditemui di lokasi pencarian, mangsa ditemui di bawah timbunan kayu berdekatan Chalet Puteri Ayu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hanyut.
Jelasnya, mangsa yang berkhidmat lebih 10 tahun sebagai bekas imam Masjid Jamek Badlishah itu hanya mengalami calar dan luka kecil selain masih dalam keadaan baik dan kedudukan mengiring menghadap kiblat.
Keluarga Lega Bekas Imam Ditemui
Gerak hati ahli keluarga mengatakan mangsa kelima tertimbus dalam timbunan kayu di lokasi penemuan terjawab apabila bekas imam itu ditemukan kira-kira jam 3.23 petang Ahad.
Menurut anak keenam daripada lapan beradik, Ku Ahmad Kusaini Ku Shuib, 59, hatinya kuat mengatakan bapanya, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang hanyut dalam tragedi kepala air pada Rabu lalu ada berdekatan timbunan berkenaan melihatkan kepada kenderaan, katil dan tilam milik ahli keluarga di lokasi sama.
Menurutnya, ibunya, Kalsom Abdullah, 85, juga ada menyatakan keinginan untuk ke lokasi sama kerana gerak hati yang kuat mengatakan kemungkinan bapa ada di situ.
Gerak Hati Keluarga Dekat
“Pagi tadi mak cakap nak pergi tempat kejadian, ayah tunggu dia kat sana, saya sendiri pun sudah pergi cari di tempat sama kelmarin, tetapi tak jumpa,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan petang Ahad.
Katanya, seluruh ahli keluarga memanjatkan kesyukuran dan lega setelah jasad arwah ayahnya ditemui pada hari kelima pencarian.
“Hanya tuhan yang tahu bila sudah jumpa. Kami semua reda, cuma berdoa agar jumpa, bila dah jumpa Alhamdulillah… ada kubur arwah,” jelasnya.
Tambah Ku Ahmad Kusaini yang menetap di Selayang, Selangor, dia hanya mengetahui kejadian melalui laman sosial Facebook dan tidak menyangka bencana kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku.
Menceritakan pertemuan terakhir di rumah adiknya di Shah Alam sebelum Ramadan lalu, bapanya yang patah sebelah kaki sudah tidak mengenali dirinya kerana masalah ingatan.
Mingguan Wanita : Bencana banjir kilat di Yan Kedah mendapat perhatian segenap masyarakat. Harapnya semua keluarga mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya kerana mereka bukan hanya kehilangan harta, benda malahan ada di kalangan mereka kehilangan orang tersayang. Al-Fatihah kepada allahyarham bekas imam.
Sebelum ini Mingguan Wanita pernah kongsikan artikel mengenai sebuah pesawat penerbangan komersial terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas sejumlah penumpang pengsan dan muntah gara-gara terhidu bau badan busuk seorang penumpang lelaki.Ramai yang menganggap lelaki tersebut seorang yang pengotor dan tidak menjaga kebersihan diri menyebabkan badannya berbau.Namun perkara sebenar yang berlaku adalah sebaliknya.
Menurut laporan terkini akhbar Belanda, De Telegraaf, penumpang lelaki yang memiliki bau badan busuk tersebut telah meninggal dunia akibat penyakit tisu nekrotik yang dihidapinya.Penumpang malang itu dikenal pasti sebagai gitaris rock Rusia, Andrey Suchilin, berusia 58 tahun.
Suchilin telah dikeluarkan dari penerbangan Transavia Airlines dari Sepanyol ke Belanda pada 29 Mei selepas pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Portugal setelah beberapa penumpang muntah dan pengsan kerana bau badannya yang terlalu kuat.
Bau Busuk Bukan Sebab Pengotor
Rupanya, cerita sebenar yang perlu diketahui bahawa bau tersebut bukanlah disebabkan dia seorang pengotor, tetapi disebabkan penyakit tisu nekrosis, yang mana sel-sel tubuh memusnahkannya menggunakan enzim tersendiri, biasanya diikuti dengan jangkitan. Selepas dikeluarkan dari pesawat di Faro, Portugal, Suchilin menulis di laman Facebooknya:
“Perkara tragis dan melucukan dalam keseluruhan situasi ini ialah saya mempunyai penyakit, yang (tak perlu cerita bagaimana dan mengapa) yang membuatkan seseorang itu berbau busuk.”
Suchilin dibawa ke hospital untuk rawatan tetapi keadaannya merosot dan dia koma. Walaupun banyak pembedahan dilakukan untuk cuba menghentikan jangkitan, dia meninggal dunia pada 25 Jun.Isteri Suchilin, Lidia, memberitahu kawan-kawannya tentang perkembangan suaminya di laman Facebooknya.Dia juga mendedahkan perjuangannya dengan syarikat insurans Ingosstrakh semasa suaminya sakit.Walaupun telah mendapatkan rawatan sebelum meninggalkan Sepanyol, doktor memberitahu suaminya bahawa dia hanya mempunyai ‘ordinary beach infection’ dan diberi antibiotik, kata Lida.
Rayu Sumbangan Wang Untuk Rawatan
Apabila dia diminta keluar dari pesawat di Faro untuk mendapatkan rawatan, Ingosstrakh berkata insuransnya telah tamat tempoh dan syarikat itu enggan membiayai rawatan perubatannya. Suchilin dan isterinya bertekak dengan syarikat itu selama lima jam, satu tempoh masa yang sangat berharga untuk merawat penyakit itu, tulis Lidia. Mereka akhirnya terpaksa memanggil ambulans dan merayu sumbangan wang daripada rakan mereka melalui Facebook.
Sementara itu, Transavia Airlines mengeluarkan kenyataan kepada Newsweek, menyatakan bahawa kakitangannya ‘bersimpati dengan ahli keluarga dan berharap mereka tabah berdepan kehilangan ini’. Tiada seorang penumpang dan kru pesawat udara pun yang mendapat risiko mahupun jangkitan akibat kejadian tersebut.
Terdahulu, Suchilin adalah seorang gitaris profesional yang dihormati bersama kumpulannya, C-Major.Baru-baru ini, Suchilin bekerja dalam bidang kewartawanan dan kejuruteraan, serta membuat susunan muzik untuk pertunjukan teater.
Pengajaran daripada kisah ini, kita jangan mudah menilai sesuatu perkara yang berlaku tanpa mengetahui kisah sebenar.Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...