Hasratnya untuk memeluk agama Islam ditentang hebat oleh bekas suami, sehingga dirinya terpaksa berpisah dengan insan yang pernah bertakhta di hati. Namun cintanya terhadap agama suci Allah melebihi segalanya, lantas keputusan untuk tidak lagi bersama diambil untuk meneruskan niat kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.

Nur Juliana Atiqah Sahfiyah Bte Bannei, 34, sudah lama berhasrat untuk memeluk Islam. Bermimpi memakai tudung dan mengucap kalimah syahadah antara petunjuk Allah buat wanita yang berasal dari Bintulu Sarawak ini. Mesra dengan panggilan Julia, keputusannya untuk memeluk Islam memberikan lebih ketenangan dalam kehidupannya berbeza dengan apa yang dilaluinya sebelum ini.

“Selepas tamat sekolah saya pernah bekerja di sebuah pasar raya di Sarawak. Saya tinggal menyewa di satu rumah bersama rakan-rakan yang kebanyakannya muslim. Bila tengok rakan-rakan solat dan membaca al-Quran saya rasa seronok, tapi waktu itu tidak pernah terniat untuk memeluk Islam. Bila dah bekerja tetap dan pindah ke Semenanjung Malaysia, saya lebih banyak bergaul dengan rakan muslim dan sering bertanya tentang agama Islam. Namun ketika itu saya masih mengamalkan ajaran Kristian yang sangat kuat,” ujar Julia bagaimana dia mula mengenali Islam.

Hati Mula Dijentik

Bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati, Julia aktif dengan agama Kristian yang dianutinya. Sering ke gereja dan mengamalkan cara hidup agama tersebut, suatu hari, wanita ini disapa dengan hidayah yang membawanya kembali ke agama Allah walaupun terpaksa melalui perit getir dan berpisah dengan anakanda tersayang.

“Pada tahun 2005, saya telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya memang sangat aktif dengan ajaran Kristian. Jarang sekali tidak hadir ke gereja. Sampai satu masa, hidayah datang menjelma, kalau tak silap saya ia berlaku sekitar tahun 2009. Ada satu malam saya telah bermimpi mengucap dua kalimah syahadah.

Berpisah Demi Agama Allah,  Kini Julia Bahagia Dengan Kehidupan Baru
Julia mengikuti kelas Tadarus bersama rakan-rakan yang lain

“ Malam berikutnya saya didatangi lagi mimpi, kali ini saya bermimpi memakai tudung pula. Begitu juga dengan malam seterusnya dan ia berlanjutan selama beberapa malam dengan mimpi yang sama. Kebetulan pula rumah saya ketika itu bersebelahan dengan masjid. Setiap kali azan berkumandang hati terasa tenang sangat, tak dapat digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasa.

“Saya pernah nyatakan hasrat ingin memeluk Islam pada suami ketika itu, tetapi telah ditentang dan dihalang. Malah dia menyalahkan rakan-rakan terdekat dan dikatakan menjadi punca dan penyebab hasrat tersebut. Sejak daripada itu, ramai sahabat-sahabat dari gereja datang untuk menasihati supaya membatalkan hasrat tersebut. Tapi saya masih nekad dengan niat saya.

IKLAN

“ Bermacam dugaan yang telah saya lalui ketika itu sehingga akhirnya kami berpisah dan suami meletakkan syarat,  anak akan dijaga olehnya. Itulah saat paling sukar buat saya, tapi saya perlu memilih keputusan dengan tepat…anak atau agama. Akhirnya saya memilih agama, tetapi Alhamdulillahlah saya tetap diberi ruang oleh mahkamah untuk datang melawat anak,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini mengenang kembali saat dirinya mengambil satu keputusan besar dalam hidupnya.

Bukan sahaja mendapat tentangan daripada bekas suami, malah ibunya juga turut menentang hasratnya yang murni itu.

“Sebelumnya saya terlebih dahulu menyampaikan hasrat ingin bertukar agama pada ibu tapi turut ditentang. Menurut ibu, keputusan itu seolah-olah saya mahu meninggalkan keluarga.  Saya ambil masa dalam beberapa bulan untuk beritahu semula kepada ibu tentang hasrat tersebut.

Berpisah Demi Agama Allah,  Kini Julia Bahagia Dengan Kehidupan Baru
Bersama keluarga yang kini dapat menerima penghijrahan Julia

“ Adik saya terlebih dahulu memeluk Islam daripada saya. Setelah setahun adik saya memeluk Islam, tiba masanya saya menceritakan semula hasrat tersebut dan oleh kerana saya telah menetapkan tarikh untuk mengucap syahadah iaitu dalam masa tiga hari daripada Tarikh tersebut, saya beranikan diri. Saya rasa tak tenang kalau tidak beritahu perkara sebenar.

IKLAN

“  Alhamdulillah, ibu terima niat saya walaupun dengan hati yang berat. Adik beradik juga dapat terima dengan hati terbuka tetapi keluarga makcik pakcik dan sepupu masih ada yang belum menerima sepenuhnya. Tetapi itu tidak menjadi masalah untuk saya meneruskan niat saya. Ingatan saya pada mereka tetap sama walaupun kami tidak lagi seagama,” tambah Julia.

Dipermudahkan

Tanggal 1 Ogos 2013 secara rasminya Julia bergelar seorang muslim setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk memeluk agama suci ini. Meskipun terpaksa berpisah dengan anak tersayang, itu semua tidak menjadi halangan buat wanita yang merupakan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Lumut, Perak.

Mengaku kehidupannya lebih tenang setelah memeluk agama Islam, wanita yang pernah dikenali dengan nama Juliana Anak Bannei ini mendalami ilmu agama dengan banyak cara. Syukur semuanya dipermudahkan Allah yang memilih dirinya untuk sebuah hidayah yang cukup indah.

IKLAN

“Bagi saya Islam adalah agama yang sangat tenang. Ada perkara yang kita buat dalam Islam tidak pernah saya buat ketika agama terdahulu walaupun ia satu amalan yang baik. Contohnya, memeluk ibu bapa, bersalaman dengan rakan dan orang tua yang kita jumpa. Tetapi selepas memeluk Islam saya telah belajar semua itu dan melihat daripada apa yang sahabat-sahabat muslim saya lakukan. Setiap kali melangkah keluar rumah atau ketika ingin melakukan sesuatu tugas dimulakan dengan kalimah ‘Bismillahirohmanirahim’, agar setiap tugas diberkati. Agama Islam agama yang teratur serta mudah.

“Sebelum saya memeluk Islam, saya banyak membuka youtube dan menonton kisah-kisah saudara baru. Setelah memeluk Islam, saya mula belajar Iqra dengan seorang ustazah di tempat kerja. Pada sebelah malamnya pula mengaji di sekitar blok. Saya juga telah dihantar kursus di luar kawasan yang mengambil masa seminggu bersama-sama dengan mualaf yang lain yang kebanyakannya dari kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Di situ kami tekah bertukar-bertukar cerita dan pendapat antara satu sama lain. Pendek kata, saya banyak mendalami Islam melalui rakan-rakan, ustaz dan ustazah di tempat kerja. Jika ada masa terluang di waktu rehat saya akan pergi ke surau untuk belajar dengan ustazah.

Berpisah Demi Agama Allah,  Kini Julia Bahagia Dengan Kehidupan Baru
Julia ikuti kelas bersama saudara baru yang juga anggota ATM

“ Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, sedikit demi sedikit saya belajar benda baharu. Saya nak terus dalami ilmu agama dan berusaha menjadi seorang muslim yang taat kepada suruhan-suruhan Yang Maha Pencipta,” tambahnya penuh semangat.

Bertemu jodoh baru

Jodoh pertemuan, ajal maut itu semua ketentuan Ilahi, meskipun pernah gagal dalam perkahwinan yang terdahulu kerana ingin memeluk Islam, betapa Allah itu Maha Pengasih, dihadirkan pula seorang lelaki yang kini menjadi raja di hati Julia. Akur dengan status Julia sebelum ini, suaminya banyak membimbing malah keluarganya juga dapat menerima Julia seadanya.

“ Dua tahun yang lalu saya bertemu jodoh baru. Suami sayalah yang banyak bantu dan bimbing saya untuk terus mendalami agama Allah ini. perlahan-lahan dia ajar apa yang saya tidak tahu. Malah keluarganya juga menerima saya seadanya. Begitu Allah menyayangi saya, kini saya bahagia dengan suami dan seorang cahaya. Mungkin tiada jodoh yang dulu bukan bermakna pengakhiran kehidupan.

“ Hidup dikelilingi suami, keluarga, sahabat-sahabat yang menjadi penguat dan doa dari ibu walaupun dulu ibu seperti tidak merelakan. Alhamdulillah sekarang ibu terima seadanya. Walaupun berpisah dengan anak yang sulung dan sudah hampir empat tahun tidak berjumpa, saya sentiasa doakan anak yang jauh di mata. Bohonglah kalau seorang ibu tidak rindukan anaknya. Hanya melalui aplikasi Whatsapp kami berhubung. Alhamdulillah, segala urusan sekarang ini banyak dipermudahkan,”akhiri Julia.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI