Hadapilah nikmat Allah dengan hati yang rasa takut-takut kalau itu ialah istidraj. Kerana hidup ini terlalu singkat.
Baik suami, isteri, anak-anak, pangkat mahupun harta benda, itu hanyalah alat atau asbab untuk seseorang menuai hasil di akhirat.
Hadamkan pesanan Bonda Nor selanjutnya. Agar dapat menjalani ujianNya di muka bumi ini dengan rasa taqwa.
Melihat gambar kereta mewah yang meragut nyawa sahabat saya petang semalam, hati jadi sebak.
Teringat kemalangan yang menimpa anak saya dengan motor baharunya sampai patah tangan, patah kaki segala.
Memanglah bukan salah motor, bukan salah kereta, tapi yang kita risaukan hati kita.
“Dapat nikmat Allah, kawal hati kita. Jangan layan sangat teruja. Kita tak tahu, entah-entah itu yang mungkin jadi asbab musibah seterusnya.”
Itulah yang selalu saya pesan pada anak-anak, juga yang saya titipkan dalam buku saya.
Ya, ada kawan saya seronok dapat isteri cantik dan berpendidikan tinggi. Akhirnya, isteri itulah yang sering buat ibu kandungnya menangis dan merajuk hati sampai tak mahu tinggal serumah dengannya lagi.
Ada yang seronok dapat beli rumah mewah, rupa-rupanya rumah itulah yang jadi asbab keluarganya berpecah belah.
Dulu masa rumah kecil, elok rapat dan pandai berpakat. Bila rumah dah besar sangat, masing-masing bawa hal sendiri, dah pandai besar kepala dan meninggi diri.
Ada yang bahagia anak-anak pandai, masuk U belaka, hafaz Quran belaka, rupa-rupanya itu yang jadi asbab dia mula sombong dan berbangga-bangga. Akhirnya, Allah murka. Allah benci.
Allahu Rabbi. Tak mudah nak kawal hati. Tapi tetap juga kena selalu latih hati kita supaya sentiasa berpada-pada.
Berdepan musibah, tenang-tenang saja kerana yakin ada hikmahnya.
Menadah nikmat, kena ada rasa takut-takut kalau itu ialah istidraj.
Sandarkan selalu hati kita pada Allah, mudah-mudahan kita tak mudah rebah.
Hidup ini terlalu singkat, teman-teman.
Jangan dikejarkan sangat!
Hakikatnya, hidup ini hanyalah seputar kisah kita dengan Allah.
Suami, isteri, anak-anak, pangkat atau harta benda, hanya alat atau asbab untuk kita menuai hasil di akhirat.
Kita yang mana?
Yang miskin masuk syurga, atau yang miskin masuk neraka?
Yang cantik masuk syurga, atau yang cantik masuk neraka?
Yang guna pangkat untuk masuk syurga, atau yang guna pangkat masuk neraka?
Ya, di akhirat nanti hanya ada dua tempat saja.
Syurga atau neraka.
Bergantung pada kemampuan kita mengendalikan apa yang Allah beri pada kita.
Beringat selalu ya.
Waspada selalu terhadap segala peringatan Allah dan Rasulullah.
Itulah taqwa.
Baca sini : Jaga solat, barulah aliran rezeki berkat dan mencurah.
Mingguan Wanita : Dalam melakukan apa juga urusan, letaklah Allah sentiasa di hati.
Sumber/Foto : Bonda Nor