Meniti usia remaja di sekolah menengah antara momen terindah yang dingati oleh setiap dari kita. Maklumlah usia remaja membawa kita mengenal hidup, mengenal erti persahabatan dan dalam masa yang sama belajar apa itu “cinta”. Memiliki sahabata baik ketika melalui zaman remaja apatah lagi sekepala merupakan satu anugerah terindah.
Bagi Kaneeta A/P Som Fom, 35 tahun, yang berbangsa Siam sememangnya sejak kecil selesa berkawan baik dengan apa sahaja bangsa terutamanya dari bangsa Melayu. Jelas Kaneeta, soal warna kulit, agama dan bangsa bukanlah soal yang harus diperbesarkan. Sebaliknya persefahaman adalah elemen paling penting dalam mencipta hubungan silaturahim.
Menurutnya antara ramai-ramai sahabat baiknya, Marziah Abdul Majid adalah antara sahabat baiknya yang paling diingati. Mula rapat sejak di tingkatan dua (1998) lagi iaitu ketika masing-masing menuntut di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Mahsuri, Pulau Langkawi, Kedah.
“Kami sebenarnya berempat dalam kelas, tetapi saya paling rapat dengan Marziah, memang segala suka dan duka saya ceritakan pada Marziah. Daripada situ, saya tidak pernah rasa beza antara Melayu atau Siam. Bagi kami, kami serupa sahaja dan isu perkauman kami tidak pernah sentuh.
“Kami selalu kongsi makanan, kami memang seronok belajar bersama dan kadang-kadang kami kena denda bersama, nakal sama-sama. Dalam kelas pula kami pilih tempat paling belakang sekali, maklumlah budak paling nakal.
“Bagi saya paling penting dalam bersahabat, tidak kiralah kawan karib atau tidak, sama ada kenalan baru sekali pun, perkara paling penting adalah sikap saling hormat-menghormati.
“Seperti saya dan Marziah, kami tidak pernah sentuh soal agama atau mengeji agama masing-masing. Masing-masing tahu had dan hormati hak beragama. Kmi berkawan seperti orang lain,” ungkap Kaneeta satu persatu.
“Sebenarnya masa zaman sekolah dulu, Marziah seorang yang pemalu, jadi sayalah yang sentiasa menjadi pendamping dan pelindung adalah dia. Perkara itu berlanjutan hingga sekarang bila-bila masing telah berkeluarga dan beranak.
“Sebenarnya hubungan kami pernah terputus tetapi kami bertemu semula secara kebetulan ketika saya bekerja dengan salah satu syarikat telekomunikasi,” ujarnya yang terharu dapat bertemu dengan Marziah semula setelah masing-masing membawa haluan melanjutkan pelajaran suatu ketika dahulu.
Setelah bertemu semula pada tahun 2006, Kaneeta sentiasa pastikan dirinya dan Marziah sentiasa berhubung agar hubungan yang terpisah dek jarak dapat dirapatkan kerana Kaneeta kini menetap di Jitra, Kedah. Manakala Marziah pula tinggal di Pulau Langkawi.
Telefon dan media sosial banyak merapatkan hubungan dua sahabat ini. Sekiranya ada peluang dan ruang, mereka akan mengatur janji untuk bersua muka dan berkongsi cerita. Ternyata hubungan yang terpisah dahulu membuatkan Kaneeta dan Marziah serik dan sekali pun tidak mahu terpisah lagi.
“Sebenarnya kami terpisah apabila saya menyambung tingakatan empat di sekolah teknik di Alor Setar pada tahun 2000. Saya memang ada balik ke Langkawi tetapi tidak sempat bertemu dengan Marziah. Saya hanya mampu bertanya khabar Marziah daripada ayahnya sahaja yang bekerja di balai polis Langkawi.
“Bila kami bertemu semula secara kebetulan buatkan kami masing-masing terkedu dan berpelukan. Masing-masing terharu kerana sekian lama tidak berjumpa,” cerita Kaneeta satu-persatu.
Momen yang paling diingati bagi Kaneeta adalah apabila masing-masing dapat meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan mereka berdua. Bagi mereka menjadi tanggungjawab atau kewajipan seorang sahabat untuk berada di samping teman baiknya ketika hari bahagia.
Bukan sekadar menghadirkan diri, sebaliknya mereka berdua berpeluang mempelajari budaya dan adat masing-masing yang sudah tentu berbeza. Kaneeta yang banyak bergaul dengan kaum Melayu membuatkan dia memahami selok-belok tentang kaum Melayu dan setiap perbezaan yang dirasakan menjadikan ianya satu kelebihan buatnya.
Sesungguhnya Kaneeta sangat menyayangi sahabatnya nan seorang ini dan berharap hubungan persahabatan yang terjalin akan kekal buat selamanya. Marziah ibarat adik beradik yang mempunyai pertalian darah.
Kongsi Kaneeta lagi, dia dan sahabatnya turut berkongsi makanan kegemaran iaitu nasi goreng cili padi. Ketika di bangku sekolah dahulu, Marziah akan masakkan menu tersebut untuknya dan akhirnya mereka berkongsi bersama.
Selain Marziah, sejak bekerja Kaneeta turut bersahabat baik dengan Maniammai Subramaniam yang berbangsa India. Seperti mana dengan Marziah, Kaneeta juga tidak pernah merasakan perbezaan kaum dalam bersahabat apabila masing-masing memahami antara satu sama lain.
Jelas Kaneeta, sebenarnya rakyat Malaysia perlu berbangga kerana pelbagai kaum yang terdapat di negara ini membuatkan kita dapat belajar pelbagai perkara tentang kaum lain. Perbezaan itu sebenarnya sesuatu yang indah untuk dipelajari.
Kita beruntung dapat berkongsi budaya dan adat di bawah satu bumbung. Perbezaan itu juga banyak menyatukan rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Sebaiknya perpaduan yang wujud perlu dijaga sebaik mungkin.