Bertugas dalam unit badan beruniform bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi kerjaya yang dipilih adalah untuk menjaga keamanan negara yang tercinta. Begitu jugalah yang dialami oleh personaliti yang juga bergelar srikandi, Faridah Hj Md Sulamin, 34 tahun yang sudah 15 tahun berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Akui Faridah bidang ketenteraan sememangnya merupakan sesuatu yang mencabar terutamanya bagi melahirkan anggota tentera berdisiplin. Sebenarnya tidak kira apa jua bidang yang diceburi sekalipun, disiplin merupakan aspek penting yang perlu diberi keutamaan.
Sebagai seorang anggota tentera dirinya perlu mementingkan disiplin selain bersikap tegas dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
“Pada saya aspek disiplin menjadi teras utama yang perlu dipatuhi walaupun kita masih belum bekerja dan dalam proses pembelajaran sama ada di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi. Sebagai seorang yang bekerja di dalam unit beruniform perlu ada sikap yang tegas, keyakinan diri serta minat dalam bidang yang diceburi,” terang Faridah yang kini memegang jawatan sebagai Kerani Dokumen di Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan.
Anak kelahiran Muar, Johor ini sudahpun mendirikan rumahtangga dan memiliki dua orang cahaya mata yang berusia 11 dan 6 tahun. Suami Faridah juga merupakan seorang anggota tentera.
“Selepas tamat SPM secara tak sengaja saya berjaya menjadi seorang askar. Saya masuk askar sebab ingin tahu dan rasai bidang lasak ini lagipun abang yang sulung merupakan seorang askar juga.
“Dari awal pembabitan, saya menjalani latihan selama enam bulan di PUSASDA Port Dickson pada tahun 2002 dan seterusnya saya di hantar ke Perak untuk menjalani kursus dalam bidang pengkeranian.
“Setelah tamat kursus saya ditempatkan dan ditugaskan di Wisma Pertahanan Cawangan Perancangan dan Pembangunan, Sel Pemantau Projek Infrastruktur Tentera Darat, Kuala Lumpur. Kemudia pada 8 September 2015 pula saya menyertai misi PBB selama enam bulan di Kem Marakah, Lebanon sehingga tamat tugas saya di sana pada 14 Mac 2016. Setelah selesai tugas disana saya ditukarkan ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan hingga kini bagi mengikuti suami saya yan posting atas kenaikan pangkatnya,” ulas Faridah yang bertanggungjawab dalam menguruskan segala dokumen anggota dan pegawai sama ada cuti, kursus dan sebagainya.
Bekerja Siang & Malam
Bercerita tentang pengalamannya sepanjang menyertai Misi PBB di Kem Marakah Lebanon bersama rakan sekerja yang merangkumi tiga perkhidmatan iaitu laut, udara dan darat, paling sukar adalah apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga.
“Pengalaman sukar saya terpaksa berjauhan dengan famili selama enam bulan dan sebelum itu lima bulan menjalani latihan di Port Dickson. Selain itu, saya juga terpaksa bekerja siang dan malam serta pada hari minggu jika diperlukan saya terpaksa datang ke pejabat untuk uruskan perkara yang dimahukan. Saya juga terpaksa membahagikan masa saya dengan kerja, rumahtanga, anak-anak dan diri sendiri. Suami saya juga seorg anggota tentera yang kerap bertugas di luar kawasan,” luah Faridah.
Selain berkhidmat untuk negara, Faridah juga tidak pernah mengabaikan tugasnya sebagai seorang ibu dan isteri.
“Saya perlu bahagikan masa antara kerja dan keluarga dengan bijak seperti seorang ibu yang bekerja di luar sana. Masa kerja saya kerja, apabila saya di rumah saya sediakan makanan dan persiapan persekolahan anak-anak.
“Ada kala saya terpaksa tinggalkan anak-anak di rumah kerana pada masa itu saya bekerja di luar kawasan dan suami pun bekerja di luar kawasan dan terpaksa minta bantuan jiran untuk menjaga anak-anak. Anak-anak pula sudah biasa dengan keadaan ini dari kecil dan mereka memahami kerjaya ibu dan ayahnya dan membuatkan mereka pandai berdikari sendiri walaupun ibu ayah tak sentiasa di sisi. Anak pertama akan membantu dan menjaga si adiknya bila adik nak makan dialah yang akan masak yang ringkas bagi pada adiknya makan dan sebagainya,” kongsi Faridah yang sentiasa membahagikan masa bersama keluarga tercinta walaupun perkara tersebut cukup mencabar buat dirinya.
Setiap Pagi Bersenam
Dalam mengekalkan stamina, Faridah menegaskan dia sangat menjaga pemakanan dan bersenam setiap hari.
“Stamina untuk kekal cergas adalah jaga pemakanan, setiap pagi perlu lakukan senaman contohnya berlari tiap pagi, petang pula bersukan. Saya menjaga imej penampilan seperti wanita di luar sana, saya amalkan makan vitamin C suplement dan sebagainya. Selain itu saya juga pernah hadiri kelas menjaga penampilan diri seorag wanita,” akhiri Faridah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI