Kecacatan yang dialami tidak pernah menghalang Enida Mohd Radzi untuk meneruskan kehidupan sama seperti insan lain. Selagi ada kudrat dan tenaga empat kerat, Enida mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa insan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya juga mampu berjaya.
Dia berharap dengan perkongsian ceritanya ini mampu menunjukkan kepada masyarakat bahawa OKU juga punya kehidupan sempurna walaupun diri digelar OKU.
Enida tergolong dalam kategori orang kelainan upaya yang bergerak menggunakan kerusi roda. Dia mengalami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah.
“Saya sebenarnya dilahirkan normal. Segala-galanya berubah apabila saya berusia 10 tahun. Doktor mengesan ada ketumbuhan di bahagian tulang belakang saya. Saya menjalani pembedahan dan selepas pembedahan itu kedua-dua belah kaki saya dari bahagian pinggang ke bawah menjadi lumpuh.
“Agak sukar untuk menerima kenyataan bahawa diri ini tidak boleh berjalan. Memang perit pada awalnya. Ditambah pula usia masih lagi muda dan masa hadapan masih lagi panjang. Tetapi berkat semangat dan kekuatan dari mak dan arwah ayah, saya gagahi juga. Saya bersyukur sekarang ini saya boleh menerima takdir ini dengan sepenuh hati,” katanya menceritakan kisah lalu.
Melihatkan OKU menggunakan kerusi roda sudah pasti menimbulkan rasa simpati kepada mereka yang melihat. Bayangkan pula perasaan insan OKU yang sepenuh masa menggunakan kerusi roda. Sedarkah anda apa cabaran yang mereka hadapi?
Bagi Enida, sebenarnya dia tidak tahu hendak menjelaskan perasaannya ketika ditanya cabaran OKU berkerusi roda.
“Banyak sangat cabaran. Kalau tidak ada kekuatan mental dan fizikal, memang susah. Amat beza sekali OKU semenjak dilahirkan jika dibandingkan dengan OKU apabila sudah besar ini. Kalau dari dilahirkan memang diri tidak sempurna itu mungkin juga boleh kita terima.
“Tetapi apabila kita pada asalnya boleh berjalan, berdiri, tiba-tiba tidak boleh buat semua itu. Hilang sekelip mata. Hendak bangkit semula itu memang sesuatu yang mencabar yang tidak boleh saya gambarkan dengan kata-kata,” katanya lagi.
Wanita berusia 40 tahun ini ketika kecil mengakui dia tidak boleh mendengar orang sebut perkataan cacat. Dia akan kecil hati dan menangis.
“Itulah pengalaman perit saya ketika bangkit daripada kesedihan. Masa sakit saya berumur 10 tahun. Jadi semasa berumur 11 tahun, saya pergi sekolah dan duduk di atas kerusi roda. Saya tidak ada kawan. Tidak ada siapa pun yang mahu berkawan dengan saya. Semua kawan sekolah masa itu tidak suka dengan OKU.
“Begitu juga dengan zaman remaja saya tidak sama macam remaja lain. Tetapi saya hadapi liku-liku kehidupan saya dengan sabar kerana ini adalah ketentuan Ilahi. Semakin meningkat umur, saya semakin boleh menerima keadaan diri saya. Mak dan arwah ayah bagi semangat. Sehinggalah saya berusia 23 tahun saya bekerja sebagai guru tadika. Pemilik tadika, Madam Bibi dan suaminya Sir Vasu banyak mengajar saya untuk lebih berkeyakinan,” katanya.
Cerita Enida lagi, lama juga dia menjadi guru tadika. Hanya apabila bapanya meninggal dunia, dia bertukar kerja daripada guru tadika kepada pemandu kereta menghantar budak-budak tadika sehingga ke hari ini.
“Saya ada sebuah kereta kancil yang diubahsuai menggunakan tangan. Jadi saya tidak ada masalah untuk keluar ke mana-mana. Sebelum ini saya cikgu tadika. Tetapi saya terpaksa berhenti selepas ayah meninggal kerana tidak ada siapa hendak menjaga emak.
“Madam Bibi mencadangkan agar saya membawa kereta dan buat perkhidmatan membawa kanak-kanak dari rumah mereka ke tadika. Dengan cara ini masa saya di luar tidak panjang. Tetapi kalau ada cikgu yang sakit atau tidak hadir, saya akan menggantikan cikgu tersebut,” jelasnya lagi.
Cerita Enida lagi, jadi pemandu budak-budak tadika memang seronok. Bermula dari pukul 7.00 pagi dia sudah mula mengambil mereka.
“Sebaik sampai tadika pada pukul 8.00 pagi, saya balik semula ke rumah. Pada pukul 12.00 tengah hari saya ambil mereka semula untuk dihantar balik ke rumah masing-masing. Kalau pada hari itu saya perlu menggantikan cikgu, saya akan terus berada di tadika sehingga pukul 12.00 tengah hari.
“Kalau saya menggantikan cikgu, biasanya saya akan ikut jadual apa yang cikgu itu buat. Contoh kalau hari itu ada reading dan spelling, saya akan ikut apa yang cikgu itu sudah buat. Cikgu tersebut akan tinggalkan senarai spelling untuk hari tersebut. Memudahkan untuk saya. Seronok sebenarnya menjadi guru tadika. Mungkin tahun hadapan saya hendak sambung mengajar semula,” kata Enida tentang pengalamannya.
Bergelar OKU memberi cabaran hebat buat Enida. Dia amat berharap masyarakat dapat menerima OKU dengan hati terbuka. Jangan pandang rendah walau apa sahaja kekurangan OKU.
“Saya berharap agar masyarakat memandang kami ini bukan orang yang bersalah. Saya pernah ada pengalaman ibu bapa tidak jadi menghantar anak mereka ke tadika sebab saya seorang cikgu yang tidak boleh berjalan dan duduk atas kerusi roda.
“Kalau boleh saya mahu masyarakat jangan pandang pada fizikal seseorang. Terima OKU seadanya. Masyarakat juga harus peka pada hak-hak OKU yang kerajaan bagi, contohnya tempat meletak kenderaan untuk OKU. Kita juga kena ajar anak-anak terutama generasi muda untuk menghormati dan mempunyai nilai-nilai murni terhadap kami yang bergelar OKU.
“Kami tidak ada penyakit berjangkit. Jangan takut pada OKU. Itu yang penting. Kita semua hamba Allah. Cuma cara bagaimana kita diciptakan sahaja yang berbeza. Berat mata memandang berat lagi yang memikul. Apa-apa pun saya redha,” ujarnya dengan penuh bermakna.
Foto: Koleksi peribadi Enida Mohd Radzi