Kisah pasangan curang bukan lagi perkara asing di kalangan isteri. Lantas ramai yang memilih untuk keluar daripada perkahwinan itu dengan alasan tidak dapat memaafkan kecurangan suami. Namun, ada juga yang tetap bertahan. Kenapa ye? Ikuti kupasan daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Relationship Coach daripada Promind training And Consultation, yang juga kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.
Kebanyakan isteri menganggap suami adalah hak milik mutlak mereka. Apabila isteri berkata begitu, maka saya pasti mereka betul. Namun saya juga tahu bahawa poligami itu dibenarkan. Saya ada beberapa rakan-rakan ‘bertuah’ yang bukan sekadar beristeri dua tetapi sudah mencapai kuota penuh!
Dalam kumpulan berbual di media sosial para suami memang tajuk poligami ini mempunyai kuasa paling kuat untuk menarik rakan-rakan lain memberi komen. Walaupun tajuk ini harum dan mekar tetapi terlalu jarang didengar ada rakan-rakan yang ‘upgrade’ diri dengan status beristeri dua, tiga atau empat. Maksudnya kebanyakan sesi tadi hanya ‘sembang sini, habis sini’ sahaja. Itulah lelaki yang bergelar suami ini. Sembangnya kencang tapi isteri tersayang masih di hati.
Sebagai ‘Relationship Coach’, salah satu kesempatan yang selalu diambil peserta untuk konsultansi percuma semasa kursus ialah untuk bertanya, “Dulu suami saya ada perempuan lain di luar tetapi semua sudah selesai. Saya boleh maafkan tetapi saya tetap tidak boleh lupa dan terima dia sepenuhnya. Apa yang mesti saya buat? “
Soalan hanya boleh difahami oleh mereka yang pernah melaluinya. Pada kekuatan bagaimanakah seorang isteri boleh memaafkan suami yang pernah curang dengan orang lain? Waktu itu syaitan begitu cepat membisikkan kata-kata beracun yang suami anda sebenarnya menggilai orang lain.
Pada ketika itu peritnya seperti kail tajam bermata tujuh menusuk dan tersangkut dalam hati. Semakin anda menggelupur melepaskan diri, semakin anda meraung kesakitan. Tapi akhirnya kuasa Allah lebih besar. Kail yang tertusuk itu terlepas dan suami kembali ke pangkuan anda. Perkara itu sudah berlalu. Sebagai isteri solehah anda boleh memaafkan tetapi masalahnya sekarang anda tidak boleh melupakan!
Semasa anda dikhianati dahulu pasti terasa itulah masalah paling besar dalam dunia. Walau apa yang berlaku, jangan lepaskan tiang seri perkahwinan itu. Jika selama ini anda boleh melayan rasa dikhianati dan dikecewakan maka selepas ini tukar fokus kepada mencari petunjuk yang suami sangat menghargai anda. Ingat bahawa anda hanya akan nampak apa yang anda mahu lihat. Dalam hanya beberapa minit anda menukar fokus itu, perubahan emosi positif akan datang membanjiri emosi anda.
Apabila anda fokus kepada penyelesaian ini maka anda semakin menuju kepada jawapan yang anda cari. Kebanyakan daripada faktor kecurangan suami bukan disebabkan faktor keintiman seksual tetapi lebih kepada kerenggangan emosi.
Dalam ruang yang tidak kelihatan itu, suami merasa terbentang jurang besar yang memisahkan emosi dia dan anda. Untuk mengikat suami lebih kuat kepada anda selepas ini maka belajarlah untuk menarik emosi suami lebih dekat kepada anda. Ada banyak yang boleh anda lakukan. Kata orang tua-tua dulu, jika sayang suami maka sayangilah perut dan penuhilah matanya. Janganlah kerut kening macam itu. Bukan perut dan mata yang saya maksudkan tetapi hati dan perasaannya. Bila perut kenyang maka hati jadi senang. Apa saja yang indah di mata pasti turun ke hati. Itulah lebuh raya menuju keintiman emosi.
Pasangan suami isteri yang pernah melalui cabaran dengan tajuk ‘curang’ akan lebih cepat pulih dengan selalu menghabiskan lebih banyak masa bersama. Menemui perkara baru atau mencari semula kenangan lama adalah cara berkesan untuk anda pulih sepenuhnya. Sebagai contoh kenapa anda menyukai dia dahulu? Kenapa anda memilih dia berbanding orang lain? Dan kenapa anda menerima dia sebagai suami dahulu?
Ini adalah soalan-soalan yang membawa anda kembali ke garis mula perkahwinan anda. Dulu anda dan suami tersilap tetapi sekarang lihat pada masa depan. Apa yang anda mahu? Bayangkan keluarga bahagia dengan anak-anak semakin dewasa. Menyambut kejayaan mereka di Universiti dan menerima deretan cucu-cucu comel. Anda dan suami tentu tidak mahu melalui masa depan itu sendirian, bukan? Anda boleh mencipta masa depan yang indah itu. Dengan berkat doa dan usaha..Insya-Allah itu semua boleh menjadi kenyataan.