Berjimat memang sikap yang elok, tak kira yang sudah berkeluarga atau pun yang bujang. TAPI jangan sampai kedekut dan terlalu berkira! Sikap itu tak elok ye…
Alahai pening kepala! Tak salah jika nak berjimat, tapi kalau serba serbi nak diambil kira, payah juga kan? Orang kata wanita yang bergelar isteri sangat pandai berjimat. Maklumlah, segala perbelanjaan bulanan keluarga perlu diambil kira. Apatah lagi jika suami seorang saja yang mencari rezeki.
Tapi, ada juga isteri yang terlalu berkira dan kedekut hingga suami sendiri pun naik rimas! Nak belanja bab makan pun bercatu sedangkan suami tak kisah pun untuk keluarkan belanja. Ha..bagaimana agaknya cara hendak menangani sifat kedekut dan berkira isteri yang melampau?
Berjimat Hingga Timbul Sikap Kedekut!
Dalam sesebuah perkahwinan, jika suami atau isteri kedekut tidak bertempat memang boleh membawa ketegangan dalam hubungan. Berjimat dan kedekut soal kewangan berbeza. Kedekut ini adalah sikap yang keterlaluan dalam perkiraan belanjawan hingga membawa kesusahan pada pasangan dan keluarga.
Ya, tanggungjawab suami untuk menyediakan segala perbelanjaan dalam rumah tangga. Namun ada isteri yang tidak bekerja, tapi bersikap terlalu berkira hingga suami sendiri rasa tak selesa.
Ads
Berjimat Hingga Catu Makanan
Bila dengar saudara mara nak datang, mulalah dia mencatu makanan. Kalau yang datang 10 orang, dimasaknya ala kadar dan dalam kuantiti yang cukup-cukup saja. Agak-agak, tetamu yang datang puas makan tak? Sepatutnya, sesekali saudara mara datang, masaklah hidangan yang istimewa sedikit dan pastikan masak dalam kuantiti yang lebih agar mereka puas makan.
Suami Kena Bincang, Mungkin Isteri ‘Tak Sedar’
Bincang dengan isteri dengan elok. Atau sebaiknya didik isteri untuk bersikap lebih pemurah. Anda juga boleh membeli barang keperluan dan bawa balik ke rumah. Minta isteri masak. Tetap boleh menjimatkan belanja kerana tak perlu bawa tetamu makan di luar.
Itu dengan tetamu. Kadangkala dengan anak-anak dan anda sendiri pun dia suruh ‘ikat perut’. Nak beli lauk pauk yang sedap pun tak dibenarkan. Apa salahnya sesekali hidangkan makanan sedap untuk anak-anak.
Ads
Sikap kedekut ini bukan kerana dia miskin dan tak ada duit tapi lebih kepada soal hati yang tidak pernah rasa untuk berkongsi kelebihan yang dia ada dengan orang lain.
Berjimat Wang Belanja
Bayangkan, suami keluar bekerja mencari rezeki. Setiap bulan sebaik mendapat gaji, akan diserahkan bulat-bulat pada isteri untuk menguruskan perbelanjaan keluarga. Ada suami yang isterinya yang akan berikan duit belanja harian mereka, berdasarkan bajet keluarga. Niat mereka baik, untuk memastikan bajet bulanan tidak ‘terbarai’.
Memang tak salah ada salahnya jika anda menyerahkan wang gaji sepenuhnya pada isteri lebih-lebih lagi jika anda seorang yang boros dan isteri pula sebaliknya lebih bijak mengatur kewangan keluarga. Tapi sebagai suami yang keluar bekerja, anda mesti peruntukkan sejumlah wang untuk perbelanjaan harian diri sendiri. Dalam hal ini anda perlu tegas ketika membincangkan hal ini bersama isteri agar dia faham.
Ads
Anak-Anak
Apabila mempunyai anak-anak, tentu sebagai ibu bapa ingin membahagiakan anak-anak. Misalnya membawa mereka berjalan-jalan pada hujung minggu. Sekiranya isteri anda jenis berkira, anda boleh cadang dan bincangkan dengan isteri aktiviti yang tak memerlukan belanja yang banyak. Misalnya pergi mandi air terjun dan joging di taman.
Makanan juga boleh dibawa daripada rumah. Tapi janganlah sampai nak bawa anak-anak jalan pun tak boleh, dengan alasan nak jimatkan duit isi minyak kereta dan tol. Alahai, kasihan anak-anak…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Tugas menjaga isteri berpantang bersalin sebaiknya diuruskan oleh suami sendiri. Walau setinggi mana pun pangkat suami dalam kerjaya, inilah tugasan penting yang suami perlu laksanakan agar emosi isteri kekal tenang sepanjang tempoh berpantangnya.
Sekali gus, membuatkan isteri tak serik lalui pengalaman berpantang sebaik melahirkan. Orang kata, sakit melahirkan itu bagaikan mempertaruhkan nyawa di badan. Jika urusan berpantang pun suami lepas tangan, alangkah sedihnya isteri nak melalui tempoh 44 hari mahupun 100 hari itu sendirian.
Ini pesanan murni dari Maleq Ismail ayah anak enam, yang menjaga sendiri isteri berpantang setiap anak, malah menyediakan segala kelengkapan berpantang isteri malah urus setiap anak-anak lain dengan jayanya.
OK, bagi suami suami yang kacak dan segak sekalian, isteri yang telah melahirkan, dia tengok anak yang lahir, automatik dia ‘ terlupa’ sakit melahirkan seketika, bilamana kita boleh amalkan tips ni.
1. Pertamanya, kawal EGO kamu sebagai suami. Tak kira kamu itu CEO, Manager, atau apa jua pangkat yang sedang kamu pegang, letak bawah katil seketika.
2. Menangkan si dia dalam semua situasi. Walaupun dia kadang teremosi. Kamu yang naturalkan. Banyakkan mengalah. Letak situasi si dia pada kamu yang sedang alami. Sakit, letih, bagaimana mahu dihargai.
3. Jangan biarkan dia tercari cari persediaan untuk dia mahu mandi, berurut, dan menyusu. Kamu yang sado tu, tunjukkan sadomu itu untuk si dia. Tak perlu tunggu, dia tanya atau cari. Semuanya siap kamu sediakan.
4. Mandikan baby kamu, apatah lagi bila dia sedang poo..poo. Tak kisahlah berapa kerap pun dia poo..poo, kamu yang sado yang buatkan. Bukan isteri. Bagi dia berehat dengan tenang.
5. Sediakan set berpantang yang boleh tambah energy si dia. Ingat, ramai isteri yang tak bertenaga mudah di serang pelbagai situasi yang tak diingini. Nauzubillah. Peranan kamu, cari alternatif untuk bantu isteri bertenaga.
Jika tanya saya set apa nak bagi isteri kembali sihat?
Jawapanya, Isteri saya semestinya, ambil set berpantang dari Shaklee, sejak anak no 4 hingga no 6.
Terkejut tukang urut, bila isteri boleh cergas bangun dan duduk walaupun baru hari ke 3 bersalin.
Semuanya asbab, yang penting usaha dan doa. Insya Allah.
6. Emosi isteri sedang berpantang, bak kata orang tua, macam kulit bawang, nipis dan mudah tersinggung. Jangan biar dia menangis, sangat bahaya.
7. Kadang anak sebelum baby yang baru lahir, masih kecil,( abang atau kakak). Jadi, si anak akan mula tunjuk reaksi semacam. Seperti kasih dan manja tu, telah di ambil oleh baby baru. Penting di sini, letakkan kesabaran 200% untuk anak tu. Beri perhatian seperti biasa atau lebih lagi untuknya.
8. Jangan dimarah si abang atau kakak. Tunjukkan kasih tu tidak berbelah bahagi. Malah lebih lagi sayang tu, kerana dialah abang atau kakak yang bakal bermain dengan si baby nanti.
9. Buat surprise gift untuk si abang atau kakak yang umurnya di bawah 3 tahun. Katakan “ni baby bagi hadiah “. Boleh lihat, reaksi si abang atau kakak, happynya lain macam.
10. Pastikan bengkung, pilis, dan segala persediaan berpantang dipakai rapi untuk si dia. Ikut tempoh berpantang 100 hari sebaiknya.
11. Walaupun dia sudah nampak sihat, dalaman perlu dijaga rapi. Tujuannya mahu si dia di penghujung usia, kekal sihat sentiasa.
Memori penjagaan si dia sepanjang tempoh berpantang yang buatkan si dia rasa mahu atau bersedia untuk berpantang lagi atau tidak. Sekiranya sepanjang tempoh itu tidak diberi perhatian istimewa. Jangan salahkan dia, jika tak mahu tambah anak lagi.
Jangan tanya saya nak tambah lagi ke tak? saya yang minta cukuplah 6 hadiah dari Allah ini.
Insya Allah, begitulah.
MW : Bersyukur bila mana suami rela ambil cuti lebih semata mahu jaga isteri yang berpantang bersalin ini. Perlulah hargai usaha suami, walaupun kadangkala dia terkial-kial nak belajar.
Bergurau tak salah dengan isteri, namunlah biarlah tentang perkara yang baik-baik yang mampu membuatkan dia tersenyum gembira. Jangan pula jadikan topik berpisah atau ingin berkahwin lain sebagai topik gurauan.
Permulaan mungkin isteri seakan tidak ambil pusing dengan gurauan suami, namun ia cukup berbekas di hati isteri dan dia akan ingat sampai bila-bila. Oleh itu, diingatkan kepada suami agar bergurau dengan isteri biarlah berpada-pada. Jangan sampai dia terasa hati, kelak buruk kesannya.
Dengan isteri ini, bukan boleh bergurau ikut suka dan bercakap sembarangan…
Dalam tawanya, dalam gelaknya, dalam senyapnya, ada “terasa”nya…
Cuma dia tak tunjuk dia terasa dengan gurauan dan kata-kata kita itu… Kita nampak dia macam biasa, tapi dia akan ingat perkara itu sampai bila-bila…
Sebab itulah, tak perlu hendak ugut-mengugut isteri dengan perpisahan atau menggantikan dia dengan orang lain walaupun ianya sekadar SATU GURAUAN, nothing serious…
“Abang tipu saja, abang tak buatlah, bukan betul-betul pun”
Apatah lagi kalau gurauan dan kata-kata itu diulangi berulang kali sehingga dia sudah bersedia untuk hidup tanpa kita dengan berkata,
“Kahwin sajalah abang…” “Nak cerai, cerailah…”
Nak harap isteri kata, “Ayang tipu saja…ayang bergurau..”
Kalau dia serius? Kalau dia betul-betul mahukan perkara itu untuk berlaku? Apa yang kita akan rasa?
Kalau hendak dia perbaiki kekurangan dia, beritahu… Kalau hendak dia perbaiki kelemahan dia, beritahu… Kalau hendak dia perbaiki keburukan dia, beritahu… Beritahu saja, dia boleh dengar dan cuba untuk penuhi…
Tapi jangan mengugut dia dengan bergurau seperti hendak tinggalkan dia asbab dia masak lambat… Jangan mengugut dia dengan melawak hendak tambah lagi, cari “kawan” untuk dia sebab dia sibuk di office…
Kalaulah dia boleh buat perkara yang sama pada kita, sudah lama kita ni menangis tepi bucu katil setiap hari… Sebab?
Isteri kata nak cari orang lain sebab kita tak penah menghargai dirinya… Isteri kata nak tinggalkan kita sebab kita tak penah tolong dia buat kerja rumah…
Lagi kasar melawak isteri kalau dia cakap macam ini… Tapi ada pernah keluar dari mulut seorang isteri tentang perkara ini?
Tak pernah… yang banyaknya, dari mulut lelaki yang kononnya BERGURAU, tidak ada niat pun… Tapi tanpa disedari, isteri sudah terasa dan menangis keseorangan di malam hari…
MW: Bergurau dengan isteri berpada-pada, jangan sampai dari bergurau-senda mampu menyakiti hati isteri yang telah banyak berkorban untuk suami dan anak-anak. Renung-renungkan.