Sesekali suami isteri kena juga curi masa keluar dating berdua tanpa anak-anak, bukan pentingkan diri sendiri tapi demi menghangatkan cinta yang semakin ditelan dengan kesibukan harian.
Ada sesetengah pasangan menggunakan alasan malu nak romantik depan anak-anak dan kadang mungkin tiada masa langsung. Ini yang menjadi masalah dalam rumah tangga dan akhirnya hubungan menjadi hambar dan lebih teruk sampai boleh ke tahap nak berpisah. Nauzubillah…
Mungkin ada yang tak tahu macam mana nak mulakan aksi romantik dan curi masa berdua-dua tanpa anak, jadi tip dating dari Puan Noor Aniza ini sangat berguna buat pasangan suami isteri di luar sana mencuba.
Curi Masa Dating Berdua, Jom!
Saya tak yakin juga boleh jalan berdua dengan suami tanpa anak-anak. Ini kali pertama. Sampai saya siap google cari kalau-kalau ada orang tulis blog “Tip dating berdua suami isteri”. Serius saya nak baca. Tapi hampa. Haha!
Oleh sebab ada beberapa komen yang tanya bagaimana caranya? Sebelum saya kongsikan, saya nak beritahu. Anak saya 3 orang kesemuanya. Mereka berumur 7 tahun, 4 tahun dan 11 bulan. So, boleh bayangkan perasaan berbelah bagi saya untuk tinggalkan mereka semata-mata nak dating dengan ayah mereka.
Sebulan sebelum tu, beberapa kali saya tanya suami. Betul ke kita nak pergi berdua ni? Agak-agak jadi ke plan kita ni? Dan suami saya sungguh-sungguh yakinkan saya, everything will be fine!
Betullah..bila kita nak celebrate occasion berdua, nak dating jalan-jalan atau spend time together, kedua-dua pihak mesti agree dan support each other. Kita kene faham kenapa kita buat ni, dan apa impact yang kita akan dapat selepas daripada ini. (Saya akan hurai di penghujung nanti. Baca sampai habis ya!)
Ads
So, saya teruskan kepada TIP DATING BERDUA SUAMI ISTERI
1. Maklumkan pada penjaga lebih awal
Masa kami plan nak celebrate birthday di CH, saya dah plan dan maklumkan pada mak saya sebulan awal. Tujuannya supaya mak ayah kita lebih bersedia dan dapat kosongkan jadual. Kalau mak tak available boleh pilih tarikh lain. Pada mulanya saya agak ragu-ragu juga nak letak anak pada mak. Yea la..mesti mak fikir, korang seronok jalan berdua. Mak kene jaga anak-anak korang.
Tapi respon mak mengejutkan saya.
“Haa pergi je la. Mak jagakan”
Mak support 100%. Mak kita of course nak kan yang terbaik pada hubungan kita suami isteri. Mereka makan garam dulu dari kita. Kalau mereka rasa apa kita buat tu betul, tak ada alasan kenapa mereka tak sokong.
Ads
2. Plan tempat dekat je
Pilihlah tempat jalan yang dekat dengan rumah penjaga. Kalau apa-apa hal berlaku boleh balik segera. Jarak rumah saya ke CH hanya 40 minit perjalanan. Disebabkan masa sangat terhad, saya memang plan betul-betul tempat apa nak pergi. Dalam kepala juga dah membayangkan aktiviti apa yang akan dilakukan di setiap tempat. So that dating kita akan jadi lebih produktif dan effisyen. Masa singkat tapi impact tinggi. Gitu!
3. Bajet tempoh masa
Jangan ambil masa yang terlalu lama untuk berdating. Kalau yang melancong 2-3 hari tu saya no komen. Sebab tak pernah ada pengalaman lagi. So, ikut pengalaman saya, kami cuma spend masa 6 jam sahaja. Tak sampai satu hari. Pukul 1 dah turun bukit CH. Ini semua bergantung kepada tempat yang dilawati. So, refer point no. 2.
4. Keluar awal
Waktu yang paling sesuai untuk keluar, adalah selepas subuh. Pertama, sebab anak-anak masih tidur. So, kita tak perlu nak tengok drama air mata bila nak berpisah nanti. Hati kita pun tak berbelah bagi. Kedua, bila anak masih tidur, total masa kita tinggalkan mereka masa mereka jaga sekejap aje. So, tak payah nak susah hati sangat lah. Ketiga, supaya boleh sampai dan balik awal, jalan tak jem, fikiran pun tenang.
5. Survey tempat untuk bawa anak-anak nanti
Bila kita jalan berdua ni of course kita akan teringatkan anak-anak. Tipulah kalau kita boleh jalan senang hati sedangkan anak-anak kat rumah kita tak peduli. So, masa kita berjalan tu kita survey la tempat yang sesuai untuk kita bawa anak nanti. Datang lagi dengan mereka pula. Apa ada masalah?
Ads
Contohnya masa kami di CH, kami dah terfikir strawberri farm ni sesuai bawa anak sebab diaorang suka sangat makan strawberri. Ladang lavender tak ada apa sangat menarik untuk budak-budak, tapi kalau untuk pasangan memang sesuai! Taman rama-rama lebih menarik sebab diaorang suka tengok serangga terbang. Haaa..camtu la. Idok le kome pergi berdating saja jee
6. Belikan hadiah
Bawa la balik buah tangan apa yang patut. Walaupun masa sangat terhad, kami sempat grab baju CH untuk anak-anak dan beberapa pek strawberri. Untuk mak pun kene beli juga tanda ucapan terima kasih.
Actually hampir setiap jam juga kami wasap rumah untuk tanya keadaan anak. Siap mereka boleh reply, tak ada apa. Semua ok jee tengok TV, makan, main.
Ada yang kata tak sampai hati, sian kat anak, sian kat penjaga. Huhu!
Sebelum kesian pada pihak-pihak yang lain, pada saya kita kasihankan diri kita dahulu. Contohnya pada kisah saya, kami hanya pergi dating dan tinggalkan anak-anak selepas 8 tahun berkahwin. Dan baru sekarang kami sedar, yang kami perlu penuhi keperluan emosi masing-masing untuk recharge balik perasaan masing-masing. Dan selepas kita dah penuhi keperluan emosi tu kita akan memberi lebih pada orang-orang di sekeliling kita termasuk kepada anak-anak yang perlukan kasih sayang dan perhatian kita.
Tiada betul dan salah dalam setiap pilihan. Apa-apa pun, asalkan kita bahagia, itu sudah memadai.
Begitulah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setianya janji suami pada isteri yang sakit dipegang kemas-kemas. Tidak akan sesekali dikongsikan pada sesiapa waima keluarga terdekat, akan derita kanser paru-paru yang isteri hadapi.
Dan kerana janji itulah, suami ini terus-terusan memberikan yang terbaik untuk isterinya. Ini kisah kawan Puan Zuryati Isa.
“Kisah benar seorang kawan – yang meninggal dunia beberapa tahun lalu, asbab kanser paru-paru – seperti yang diceritakan oleh suaminya” Beliau catatkan semula menjadi sebuah kisah yang harus suami isteri insafi.
Betapa, kuatnya cinta pasangan yang ikhlas akan menumbuhkan rasa cinta yang dalam dan agung.
Jangan Layan Saya Macam Orang Sakit
“Tolong ambilkan tudung saya. Saya tak mahu orang tahu kepala saya sudah mula botak.” Suaminya terus menghulurkan sehelai tudung sarung.
“Ambilkan yang cantik sikit, bang. Biar saya tetap nampak elok,” kata isterinya sambil tersenyum. Dia mengambil tudung yang lain pula.
Terketar-ketar tangan isterinya mengenakan tudung sebaik mungkin. Dia membantu membetulkan beberapa helai rambut yang masih kelihatan, sambil saling berbalas senyum dengan isterinya.
“Tolong ambilkan beg mekap saya.” Sekali lagi, tanpa bicara, suaminya terus menghulurkan beg mekap kepada isterinya.
Perlahan-lahan tangan isterinya mengenakan sedikit bedak dan lipstik, cukup untuk sekadar kelihatan segar dan ‘hidup’.
“Saya tak mahu orang risau tengok muka saya yang mula pucat ni,” kata isterinya. Dia hanya tersenyum.
Ketika isterinya mahu turun daripada katil, dia cuba membantu.
“Tak apa, abang. Saya ok. Kaki saya masih kuat. Insya-Allah. Abang standby saja, kot-kot tiba-tiba saya jatuh. Masa tu baru abang angkat saya,” kata isterinya sambil tersenyum.
Dia membalas senyum isterinya. Ada rasa yang tertahan dalam hati. Ada suara yang tersekat di halkum.
Mereka Tidak Tahu, Dalam Tubuh Isteri Ada Kuman Kanser
Sebelum sempat dia membuka pintu, isterinya memegang lengannya – kejap. “Abang … .”
Tiba-tiba dia panik, bimbang isterinya sakit semula. Segera dia menoleh ke belakang.
Lega sungguh hatinya melihat isterinya masih berdiri sambil tersenyum manis.
“Abang jangan beritahu kenapa saya masuk hospital, ya. Cakap saja saya tak sihat. Lagi satu, abang jangan layan saya macam orang sakit, ya. Saya tak mahu orang tahu saya sakit, dan saya tak mahu orang tengok saya dengan pandangan simpati. Nanti saya rasa macam orang sakit sangat, semua orang layan saya macam orang sakit. Abang pun kena belajar cover muka tu. Kita buat saja macam biasa. Abang jangan risau. Saya ok. Kuat lagi nak jalan laju.”
Panjang lebar pesan isterinya sebelum mereka keluar daripada bilik.
“Iyalah. Insya-Allah.” Itu sahaja yang mampu dibalasnya.
Lalu, mereka keluar bilik bersama-sama dan meraikan tetamu yang datang berziarah. Mereka tahu isterinya baru keluar daripada hospital.
Apa yang mereka tidak tahu ialah di dalam tubuh isterinya, kuman-kuman kanser sedang mengganas dan merebak dengan sangat cepat.
Rahsia itu hanya diketahui oleh mereka berdua dan terbongkar selepas isterinya meninggal dunia beberapa bulan selepas itu.
Lelaki termasuk yang dah kahwin memang suka tengok perempuan lain, sekadar pandang, itu nomal. Selalunya bila keluar bersama pasangan, si dia melirik atau curi-curi pandang wanita lain tentunya membuatkan ramai wanita berasa sakit hati.
Lelaki Termasuk Yang Dah Kahwin Memang Suka Tengok Perempuan Lain
Pantang nampak wanita cantik lalu di depan, mata pasti melirik, memandang dan kadang-kadang depan isteri pun dipuji wanita yang lalu di depan mata. Bagaimana seorang isteri untuk lalui keadaan bila suami mata keranjang?
Menurut Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), mata keranjang itu sendiri adalah simpulan bahasa yang digunakan untuk merujuk kepada lelaki yang suka melihat wanita atau lelaki yang pantang nampak perempuan cantik atau mengayat perempuan.
Sekadar Pandang, Itu Normal
Secara fitrahnya, lelaki memang dicipta tertarik dengan kecantikan dan keseksian wanita. Kalau ada lelaki yang tidak suka melihat wanita cantik dan seksi, itu bukan lelaki normal dan dia perlu mendapatkan rawatan untuk mengembalikan kepada fitrah asalnya.
Walau bagaimanapun fitrah asal itu tifak boleh terlalu ditentang dan tidak boleh terlalu ditatang. Sebaliknya perlu diuruskan dengan sebaiknya dengan ilmu dan iman. Sebab itulah, lelaki yang baik hendaklah menundukkan pandangannya daripada meliar melihat wanita cantik dan menarik dengan bernafsu kerana ia boleh membawa kepada kesan yang lebih negatif.
Melihat untuk berkahwin dan sekadar suka-suka. Itu adalah dua perkara yang berbeza. Secara jujurnya, ada lelaki yang suka melihat wanita cantik bukan untuk tujuan berkahwin.
Isteri, Jangan Lupa Berhias
Fitrah lelaki suka melihat perempuan cantik, jadi kita sebagai isteri boleh mengubah diri kita supaya menjadi seorang wanita cantik, manja, menarik dan seksi. Bila kita tahu, suami suka melihat wanita sebegini, isteri jangan lupa untuk mengubah seperti yang diinginkan.
Kadang-kadang isteri selekeh, memakai mekap bila keluar rumah dan tanpa sedar menjadi tatapan suami orang lain.
Isteri, cantik dan seksilah di rumah
Suami, fokuslah dengan kecantikan dan keseksian isteri di rumah
Lelaki, kawallah pandangan agar tidak melihat banyak tarikan yang boleh mempengaruhi kita untuk bertukar menjadi mata keranjang.
Pesanan Untuk Isteri
1.Yakinlah bahawa kita dipilih oleh suami kita untuk dikahwini dulu kerana kita terbukti cantik di matanya.
2.Elakkan salahkan orang lain yang mengganggu pandangan suami kita, tetapi gunakan kelebihan kita sebagai pasangan yang sah untuk menarik pandangan suami kita.
3.Tahu suami suka melihat wanita cantik, sentiasalah jaga kecantikan kita dan biasakanlah berpakaian yang cantik dan sesuai bila waktu bersama suami
4.Tahu suami kita suka melihat wanita ‘gedik’. ‘Gedik’lah ikut kesesuaian untuk suami kita, pastinya ia tidak lagi memerlukan kepada wanita lain untuk menggembirakannya.
5.Tahu suami kita kadangkala suka melihat wanita seksi, fikirkan cara yang sesuai untuk jadi lebih seksi bersama suami.
6.Sekiranya berlaku sekali sekala, sebaiknya ambil sikap untuk memahami dan menerima dengan tenang, di samping berusaha untuk mengelakkannya dengan melakukan perubahan-perubahan pada diri kita.
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bulan puasa adalah bulan yang terbaik untuk mengeratkan dan memperbaiki serta hubungan yang telah renggang antara pasangan yang berkeluarga. Perhubungan tersebut boleh bertambah erat, bahagia dan lebih harmoni di atas beberapa faktor yang jelas dan yang tersembunyi di bulan Ramadan. Kadang-kadang suami isteri tidak sedar kan kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Jadi, bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk muhasabah diri masing-masing.
Bagi menjayakan keeratan dan hubungan suami isteri, ia memerlukan persefahaman, pemahaman, komunikasi, perasaan emosi kasih sayang, saling hormat-menghormati dan mempunyai budi bicara serta belas kasihan terhadap pasangan. Hubungan suami isteri yang baik, berharmoni dan kasih sayang ini juga boleh dilihat dan ditiru oleh anak-anak apabila mereka berkeluarga nanti.
Di dalam faktor kelakuan diri yang disebut di atas ia hendaklah dilakukan tanpa disedari, dengan perasaan semula jadi tanpa dibuat-buat atau mengada-ngada serta berpura-pura atau dalam paksaan terhadap keadaan di hadapan pasangan sendiri.
Kelakuan harmoni dan kasih sayang semula jadi ini akan dibentuk sekiranya diikuti dengan perasaan kasih sayang secara tulus ikhlas, jiwa pengorbanan pasangan masing-masing dan bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.
Di bulan puasa inilah banyaknya dugaan yang akan ditempuhi seperti kemarahan, ketidak sabaran, membuat sesuatu keputusan terburu-buru, tidak bermuafakat, stres dan berbagai-bagai lagi. Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand Master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat mengupas lebih lanjut.
Ketelusan Perasaan
Ketelusan perasaan hendaklah tetap dan tidak berubah mengikuti keadaan yang dihadapi. Walaupun perasaan itu ada kalanya berubah mengikut keadaan, perasaan kasih sayang tidaklah berubah dengan mendadak hingga boleh menggugat keharmonian atau membuat kesangsian terhadap pasangan. Kasih sayang perlu datang dari hati, minda dan emosi serta dilakukan dengan fizikla. Bermaksud, melakukan sesuatu perkara seperti yang dikata.
Persefahaman
Saling faham dan memahami bermaksud memahami dengan apa yang berlaku dengan apa yang pasangan lalui dan hadapi seperti memahami tentang stres dan kemarahan yang dihadapi di pejabat atau di persekitaran disebabkan kepenatan, kelaparan dan kehausan. Pasangan tidak perlulah menambahkan stres atau menokoh tambah kemarahan dan mengeruhkan keadaan. Memadailah dengan memahami dan mendiamkan diri serta tidak bersuara, jika tidak dipinta.
Keputusan Bersama
Dalam bulan puasa ini, membuat keputusan bersama adalah penting, ia boleh dilihat bermulanya di dalam memilih juadah untuk berbuka puasa. Perasaan kasih sayang akan bertambah sekiranya pasangan sama-sama membuat pilihan dan keputusan.
Seterusnya, apabila anak anak melihat ibu bapa mereka bersama, bermesra, saling bantu-membantu serta mengeratkan hubungan keluarga dengan kasih sayang, tanpa disedari akan mengikut jejak langkah ibu bapa apabila mereka telah berkeluarga. Dari segi psikologi apa yang di lihat itulah yang akan mereka lakukan dan ikuti.
Berkomunikasi adalah faktor penting di dalam bulan puasa. Pasangan tidak berdiam diri dengan mengharapkan pasangan boleh memahami tanpa berkata apa apa. Jangan sesekali bersuara tinggi, dalam keadaan menjerit-jerit atau menyuruh.
Perasaan pasangan akan cepat terasa dan terguris jika sesuatu yang dikatakan itu menyakitkan hati dan memperkecil-kecilkan perasaan pasangan. Menyelami dan memahami hati pasangan anda. Hindarilah dari berkata-kata dengan perkataan yang curiga dan menyakiti hati. Di samping itu kedua-duanya juga hendaklah mengurangkan ego masing-masing agar menghormati di antara satu sama lain.
Budi Bicara
Pada bulan puasa ini, perasaan kasih sayang bukan sekadar percakapan atau perasaan sahaja, ia hendaklah diikuti dengan perbuatan seperti mengambil hati pasangan dan membantu membuat kerja rumah, mengemas, menukang atau menghiasi isi dalaman rumah.
Ia menambahkan lagi keharmonian keluarga, jika pasangan menitik berat tentang apa yang terjadi dan berlaku di sekeliling keluarga mereka. Ini termasuk menggunakan budi bicara dengan bijaknya. Budi bicara juga adalah keputusan diri yang dibuat sendiri untuk kebaikan keluarga. Gunalah kebijaksaan agar tidak mementingkan diri sendiri dan juga memberi manfaat pada keluarga.
Buka & Sahur Bersama
Berbuka dan bersahur bersama pasangan dan keluarga pada bulan puasa adalah sangat-sangat diperlukan. Di ruang makanlah suami dan isteri boleh memahami di antara satu sama lain dengan perbincangan dan perbualan. Banyak masalah yang remeh dan sulit boleh diselesaikan dengan segera dengan perbualan terutama sekali hal-hal rumah tangga, hal anak-anak, perancangan masa depan dan kewangan. Setiap permasalahan di bincang bersama demi mengeratkan dan mengukuhkan lagi komunikasi bersama.
Solat Berjemaah
Sembahyang maghrib dan isyak berjemaah serta bertahajud bersama isteri memberi suatu perasaan kasih sayang yang tidak terhingga bagi kedua-dua pasangan. Suami isteri bukan sahaja meraih pahala dengan berjemaah tetapi ia juga dilakukan di dalam bulan puasa. Berjemaah suami isteri juga memberi perasaan kasih sayang, saling memohon kemaafan di akhir solat di antara satu sama lain dan tidak perlu menunggu pada pagi hari raya.
Keputusan untuk bersolat bersama di masjid adalah idaman untuk para isteri dan melalui perjalanan ke masjid bersama sambil berpimpin tangan juga memberi ikatan dan perasaan kasih sayang yang tidak terhingga. Ia juga membuat perasaan kita rasa sejuk bila melihat pasangan berjemaah dan mengumpul pahala di masjid seperti mengaji al-Quran, mendengar tazkirah pada bulan Ramadan bersama serta membuat amal kebajikan.
Membantu Kerja Rumah
Seringkali kerja rumah dilakukan oleh para isteri. Tetapi tidak salah sekiranya suami memberi pertolongan atau bantuan dengan sama-sama membuat kerja rumah tanpa disuruh atau diminta, sudah tentu isteri akan lebih menyayangi suami kerana merasakan tugas dan beban yang dihadapi dipikul bersama atau diberi bantuan tanpa di minta atau disuruh serta si suami memahami apa yang si isteri hadapi.
Inilah masanya untuk suami mendapat ganjaran lebih dalam bulan Ramadan. Namun, jangan hanya menunggu bulan Ramadan kerana hari-hari biasa pun suami perlu membantu bagi meringankan tugas isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...