“Beritahulah Apa Saja Cara, Namakan Petua & Rawatan, Sebut Saja Kaedahnya, Beliau Terus Mencuba,Tanpa Henti”-Rozi

Share

Ramai peminat yang menumpang rasa gembira dan turut bersyukur dengan berita kehamilan penyanyi kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza Tarudin baru-baru ini. Ternyata penantian selama 11 tahun penyanyi ini untuk hamil bukanlah perkara yang mudah. Laluan dan pengorbanannya penuh berliku, demi mendapatkan cahayamata yang diimpikan. Namun berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, rezeki penyanyi ini untuk hamil dan bakal bergelar ibu bakal menjadi kenyataan.

Perkongsian catatan peribadi oleh Pengurus Peribadi yang juga merupakan kakak ipar Datuk Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak di laman instagramnya, menceritakan ‘perjalanan’ dan pengorbanan yang perlu dilalui oleh penyanyi ini sebelum berjaya disahkan hamil.

Rozi merupakan antara individu yang paling rapat dengan Datuk Siti Nurhaliza, sepanjang tempoh 20 tahun bersama Siti sejak tahun 1999. Rozi juga bertanggungjawab menyelenggara jadual persembahan nyanyian, acara undangan, strategi syarikat Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan sudah pasti penasihat utama Siti.

Berikut merupakan catatan tersebut;

“Sebelum @ctdk berkahwin, kami merancang untuk bercuti ‘pantang’ bersama-sama. Maklum saja, kami sering bekerja bersama dan bercadang untuk bercuti pantang juga bersama. Memang agak lucu tetapi begitulah perancangan kami.

Bulan demi bulan, tahun demi tahun, belum ada rezeki beliau untuk dikurniakan cahayamata dan anak bongsu saya juga kini sudah berusia 10 tahun. Saya ringkaskan cerita panjang @ctdk, beritahulah apa saja cara, namakan petua dan rawatan, sebut saja kaedahnya, beliau terus mencuba, ya, tanpa henti.

Perubahan Saiz Badan

Bila orang bercakap tentang saiz badannya selepas berkahwin, saya kata, wanita di luar sana mesti faham. Tubuh wanita pasti akan mengalami perubahan saiz kerana inilah proses rawatan kesuburan, mungkin anda boleh ‘google’ jika mahu mengetahui lanjut namun saya tahu, ramai yang faham dan maklum.

Tidak timbul soal tidak diet dan sebagainya, malah beliau aktif beriadah, senaman dan menjaga pemakanan (sesuai saranan doktor) namun dalam masa yang sama rawatan ini juga memungkinkan saiz badan akan bertambah.

Pengorbanan

Beliau berkorban jika ada acara besar seperti konsert, mengenepikan rawatan dan kembali melangsingkan badan untuk lebih ‘presentable’ di atas pentas. Kemudian beliau mencuba lagi, lalu kembali fokus kepada acara besar dan meninggalkan sebulan dua rawatan. Begitulah rutin beliau selama 11 tahun ini.

Bukan sekali dua beliau berehat, namun kami bijak mengatur jadual lalu beliau kelihatan selalu aktif, walhal sedang di dalam rawatan. Apabila keputusannya negatif, beliau kembali bekerja seperti biasa.

Inilah pengorbanan wanita, demi mendapatkan cahayamata dan zuriat. Berita beliau hamil telah menggerakkan ramai wanita di luar sana menghubungi dan bertanyakan tentang rawatan yang @ctdk lakukan. Berita ini memberikan semangat dan harapan kepada wanita-wanita yang belum dikurniakan cahayamata. Nikmat sabar itu indah. Teruslah berusaha, setiap apa yang Allah uji kita ada hikmahnya”.

Semoga ia mampu menjadi inspirasi buat wanita yang masih menanti kehadiran cahayamata agar tidak henti berputus asa.

Sumber: rozisangdewi

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab