Setiap orang memiliki perjalanan dan aturan hidup yang berbeza-beza. Jika selama ini kita sering rasa kagum dan membandingkan diri dengan kehidupan orang lain, berhentilah.Ada baiknya menikmati kehidupan sendiri yang kita lalui. Banyakkan bersyukur, mempunyai suami dan anak-anak disisi, dikala ramai yang lain yang mengharapkan kehidupan yang sama seperti kita.
Jemput baca perkongsian daripada Puan Shafizah Manini yang wajar menjadi renungan;
Buka IG Story.
Tengok kawan satu Universiti yang belum kahwin, dorang berbuka puasa di restoran hipster.
Wow, impress gila.
Terus rasa bestnya life dorang.
Menu berbuka pun saya tak tahu apa nama dia.
Dengan periuk sekali dihidang, pastu pelayan restoran terbalikkan periuk tu.
Kemudian, keluar lah nasi goreng (mungkin), mix dengan sayur dan ada cheese.Saya pun tak pastilah.
Kemudian, dorang lepak-lepak kejap minum minuman yang saya tengok banyak kali pun saya tak dapat teka..
“Adakah itu teh tarik? Adakah itu milo campur aiskrim vanilla? Atau… Eh, tak tahu lah”
Rasa macam “Wow nya hidup dorang”.
Ads
Then, ada lagi satu kawan ni pergi melancong kat China masa bulan puasa. Hebat
Dengan gunung salji kat belakang ber-ootd.
Ambil gambar lagi kat taman bunga yang bunganya tiada kat Malaysia (saya rasa ?).Rasa macam, eh bestnya dia ni melancong dengan kawan-kawan.
Apa Yang Aku Fikir
Kemudian, saya tutup dan letak phone atas meja.Saya tengok atas meja makan.Ada nasi goreng dan ayam goreng dengan air oren sunquick yang suami bancuh kan tadi.
Anak pula duduk atas riba, suap nasi goreng kat mulut sampai tertumpah sikit nasi di luar piring dan jatuh atas lantai.
Saya senyum dan geleng kepala.Ya Allah, apa yang aku fikir tadi.
Ini lah kehidupan aku.
Ini lah kegembiraan aku.
Ads
Suasana berbuka yang bising dengan suara anak-anak..
Makan nasi yang dimasak sendiri..
Dengan air oren suami bancuh..
Paling penting, dapat berbuka dengan suami & anak-anak di rumah sendiri.
Allah, syukur Alhamdulillah.
Betul, hidup kawan kita lihat.
Kita boleh rasa wow.
Kita boleh rasa kagum.
Tapi kita jangan rasa kenapa la hidup aku ni macam suram ja.Macam tak menarik ja.Sebab kalau mahu tahu, kehidupan yang kita ada sekarang ni adalah kehidupan yang diinginkan oleh orang lain diluar sana.
Ads
Berapa ramai yang nak berbuka puasa dengan suami & anak-anak.
Berapa ramai yang mahu makan bersama-sama dengan isteri & anak-anak.
Berapa ramai yang terpaksa berbuka puasa seorang diri di luar rumah atas sebab kerja.
Berapa ramai yang tak makan semasa berbuka puasa? Sedih bila fikir yang ni.
Jadi, saya belajar bersyukur.
Walaupun, hidup tak hipster, hidup tak menarik la kata orang haha
Tapi, hati senang jiwa tenang.Suami dan anak-anak depan mata, sihat walafiat.. Itu dah cukup untuk saya.
Pernah ada satu Mentor kata,jangan terpedaya dengan apa yang kita nampak.
Dari situ, saya berhenti nak kagum dengan kehidupan orang lain.
Dan, saya menikmati kehidupan sendiri.
Masih sibuk pandang kehidupan orang lain?
Dah tiba masanya untuk berhenti.Mula fokus pada kehidupan diri sendiri.Pasti hidup lagi tenang dan seronok!
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Setuju sangat dengan apa yang dikongsikan. Hentikan membanding-bandingkan kehidupan orang lain dengan kehidupan kita. Aturan jalan hidup setiap orang berbeza-beza, apa yang penting perbanyakkanlah bersyukur diatas apa juga nikmat yang telah diberikan pada kita.
Bukan mudah untuk menerima kehadiran orang baru dalam keluarga. Beginilah yang dialami oleh gadis bernama Aimi, melahirkan kerisauan maknya bakal berkahwin lagi dan dia bakal mendapat ayah tiri. Luahan hati gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang gadis berusia 27 tahun dan bekerja sebagai akauntan. Masih bujang dan anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Di dalam adik-beradik, hanya saya seorang saja yang masih belum berkahwin.
Saya juga seperti gadis lain, yang ingin bergelar isteri dan ibu. Namun setakat ini, rezeki saya belum tiba. Bukan tidak berusaha tapi mungkin belum tiba masanya. Pernah sekali gagal dalam percintaan dan kami terputus hubungan selepas SPM. Masing-masing bawa hal sendiri demi mengejar cita-cita.
Harapan Mak
Sejak kehilangan ayah kira-kira 20 tahun lepas, saya memang rapat dengan mak. Mungkin ayah pergi ketika saya masih lagi kecil, jadi mak lebih memberikan perhatian sepenuhnya pada saya. Tambahan pula, saya amat rapat dengan arwah dan mak tak ingin saya rasa kehilangan selepas ayah tiada. Jika mak perlu bekerja di luar daerah, apabila cuti sekolah, saya akan menemani mak kerana saya tinggal di rumah bersama mak, manakala kakak dan abang tinggal di asrama. Jarang benar saya ditinggalkan bersama pembantu rumah.
Sebagai anak bongsu, saya rela memilih sebuah universiti tempatan yang berhampiran dengan kampung, membolehkan saban minggu saya balik rumah. Demi mak, saya rela melepaskan impian untuk belajar di luar negara walau pun telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di United Kingdom kerana keputusan cemerlang saya. Demi mak juga, saya rela melepaskan cita-cita asal saya ingin menjadi seorang jurutera demi meneruskan legasi mak yang merupakan seorang akauntan. Kalau ikutkan saya sukakan kerjaya yang lasak. Kata mak, perempuan tak payahlah cari kerja yang lasak sangat. Mak umpama sahabat baik saya. Banyak saya kongsikan dengan mak.
Lelaki Baru
Pertengahan tahun lepas, mak ada bercerita dengan saya, dia bertemu kembali dengan seorang rakan lelaki lamanya, ketika belajar di universiti dahulu dalam satu majlis reunion. Sejak itu sering kali mereka berhubung dan sering kali juga saya akan bercakap dengan lelaki itu menerusi telefon. Lelaki itu, uncle Zack, rupanya sudah lama menetap di Australia dan berkahwin di sana. Punya seorang cahaya mata. Selepas kematian isteri dua tahun lepas, dia mulai tawar hati untuk tinggal di sana kerana rindukan kenangan bersama arwah isterinya. Manakala anak tunggalnya pula sedang belajar di sebuah universiti di sana.
Saya tak pernah halang mak berhubung dengan Uncle Zack kerana sedar mereka sama-sama kesunyian. Lagi pun, saya rasakan hubungan hanya sekadar itu saja. Tak sangka, ketika hari jadi mak Mac lalu, uncle Zack turut hadir ketika majlis makan-makan di kediaman kami. Kali pertama lihat uncle Zack, orangnya masih segak dan handsome walau usianya sudah pertengahan 50-an. Ramai tetamu mengusik, sepadan dengan mak yang masih lagi lawa. Hati saya mula rasa tak sedap.
Terus Terang
Rupa-rupanya uncle Zack sudah kembali menetap di Malaysia sejak awal tahun ini. Puan, daripada gerak geri mereka, saya dapat tangkap mereka berdua saling menyukai antara satu sama lagi. Saya tak tahu apa perasaan saya ketika itu. Saya rasa sedih memikirkan kasih mak bakal beralih kepada lelaki lain. Tak cintakah lagi mak pada arwah ayah? Selama ini mak boleh setia, kenapa sekarang tidak?
Saya sedar saya tak patut halang mak mencari kebahagiaannya setelah 20 tahun bersendirian tapi entahlah. Saya susah nak terima kenyataan ini. Tapi saya tak cakap apa-apa pada mak kerana tak nak dia kecil hati. Cuma sekarang ini saya sengaja menjauhkan diri daripada mak. Bila mak ajak keluar bersama, jarang saya terima sedangkan kalau dulu kami macam belangkas. Mak tak syak apa-apa kerana kebetulan saya juga sedang mengambil sambung pengajian, memang agak sibuk.
Saya sedar, hubungan mak dengan uncle Zack makin serius dan saya dapat rasakan ada sesuatu yang abang dan kakak sembunyikan daripada saya. Hati saya kuat mengatakan yang mak dan uncle Zack akan berkahwin tak lama lagi namun semua orang belum memberitahu saya apa-apa. Puan, saya sayangkan mak saya dan nak dia bahagia. Tapi saya juga risau saya akan ‘hilang’ dia seperti saya hilang arwah ayah saya dulu.
Aimi, Subang Jaya, Selangor.
Pendapat Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Semoga pada masa kini saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah. Apabila membaca kisah saudari, alangkah bertuahnya saudari punya seorang ibu yang amat menyayangi saudari. Sedangkan ramai anak yang tiada punya kasih ibu… sama ada ibu membiarkan tanpa didikan, diserahkan anak kepada orang lain hanya kerana memburu kehidupan lain, atau membuang anak kerana dosa yang dilakukan dan anak yang kematian ibu bapa.
Pengorbanan Mak
Bagi pihak ibu saudari pula…bayangkan seorang wanita yang telah kehilangan suami mengambil keputusan tidak berkahwin hanya semata-mata tidak mahu kasih yang dimiliki anak berumur 6 tahun hilang kasih sayang daripada ibunya pula setelah pemergian ayah yang terlalu rapat dengannya. Pengorbanannya selama 20 tahun hanya semata-mata untuk kasih kepada anaknya yang bongsu tidak dinafikan sesuatu yang hebat. Kekosongan dalam hidupnya tanpa berteman yang dinamakan suami telah sekian lama tidak diisi. Hanya kerana kasihkan anak dan memberi keutamaan dalam segala hal mengatasi keperluan sendiri.
Ramai juga saya temui ibu yang tidak berkahwin apabila kematian suami dengan alasan tidak mahu kasih terhadap anak terabai jika berkahwin lagi. Pada ibu sebegini, kasih terhadap anaknya mengatasi segalanya. Namun sering juga saya lihat anak yang sebegini ramai yang hanya memikirkan tentang dirinya sahaja, bukan untuk ibunya (maafkan saya, bukan bermaksud saudari). Ini pengalaman yang saya lihat. Mungkin disebabkan terlalu sayangkan anaknya, mungkin anaknya tidak tahu menghargai…mungkin juga kurang matang dalam erti kata membalas jasa dan pengorbanan.
Berbalik kepada kisah saudari, saya boleh menyimpulkan daripada apa yang saudari lahirkan. Frasa lebih kurang seperti .. “saya sayangkan mak dan mahu dia bahagia…dan tidak mahu dia kahwin kerana takut kehilangan kasih”. Boleh saya andaikan beberapa analogi seperti “saya nak anak sendiri, tetapi tidak mahu mengandung”…atau “saya nak dapat ijazah tetapi tak nak belajar di Universiti”. Atau beberapa anologi yang kita boleh simpulkan bahawa kalau mahukan sesuatu tidak boleh ada apa-apa syarat dikenakan. Rasanya bolehkan kita mendapatkannya? Mungkin ada, namun terlalu jarang.
Beri Keizinan
Kalau saudari boleh bayangkan pengorbanan ibu saudari, dan mahukan dia bahagia, pastinya saya rasa saudari akan memberi keizinan kepada ibu untuk berkahwin. Bahkan kalau saudari seorang yang bijak dan matang serta bersifat pengasih, maka sejak dari dulu lagi saudari akan menyuruh ibu berkahwin.
Saudari seorang terpelajar, cuba takrifkan apa maksud sayang dan mahu orang yang disayangi itu bahagia? Memang benar kalau kita sayangkan seseorang itu, kita mahu dia bahagia. Dan pastinya kita tahu apa yang membahagiakannya …dari segi keinginan dan hajatnya …Ramai orang melihat sayang itu dari kaca mata dirinya……dia melihat dari perspektif dirinya yang mahukan segala-galanya…. bukan sangat dari kaca mata orang yang disayangi. Tidak tidakkah itu namanya “hanya fikirkan tentang dirinya “? Mungkin saudari tidak tergolong dalam kategori itu.
Namun, cuba fikirkan semula. adakah sebenar-benarnya saudari sayangkan ibu atau saudari hanya fikirkan tentang diri bahawa jika ibu berkahwin kasih itu akan hilang? Dan lagi adakah ibu saudari melakukan dosa besar? Tahukah saudari jika saudari menghalangnya bermakna saudari boleh membawa ibu saudari melakukan dosa dengan menghubungi lelaki yang bukan mahram, walaupun berhubung secara kenalan biasa? Terjaminkah hubungan itu sebagai kenalan biasa? Mahukah saudari lihat ibu saudari diundang dosa? Saya rasa saudari boleh membuat analisis sendiri.
Urus Emosi
Sekarang saya membuat andaian saudari mengizinkan ibu berkahwin. Maka saya bantu saudari untuk belajar bagaimana menguruskan emosi saudari untuk tidak merasa kehilangan kasih ibu. Pertama, fikirkan yang positif sahaja, usah difikir takut kepada kehialngan. Fikirkan saudari telah dewasa dan matang, fikirkan bahawa sudah sampai masanya saudari boleh urus emosi dan diri sendiri. Fikirkan bahawa jika ibu bahagia, dia juga akan membahagiakan saudari. Telah 20 tahun dia membahagiakan saudari. Tidakkah cukup? Pada masa inilah saudari perlu buat persiapan menuju alam dewasa.. perlu belajar urus diri, urus fikiran dan emosi. Ini penting apabila saudari berkahwin nanti.
Walaupun belum ada pasangan, tetapi persiapan ini amat penting. Dalam pengalaman yang saya lihat, salah satu masalah rumah tangga yang dihadapi oleh wanita yang baru berkahwin adalah kerana kurang bijak urus fikiran dan emosi . Dan ini salah satunya disebabkan ibu bapa yang terlalu menyayangi anaknya hingga menhyebabkan anaknya tidak pandai urus emosi dan “tidak pandai memberi kasih”. Sejak kecil dia hanya disayangi, tetapi tidak diajar bagaimana menyayangi. Bila dia terlebih disayangi, dan tidak tahu bagaimana menyayangi, maka apabila timbul masalah atau ujian, dengan sendirinya dia rapuh dan cepat kecewa kerana orang yang hampir dengannya (orang yang dikahwininya) tidak seperti ibu atau bapanya.
Belajar Menyayangi
Dalam hidup kita perlu banyak belajar “memberi” dan “menyayang”. Belajar menyayangi ibu bapa khususnya, makhluk-makhluk lain dan pastinya mengasihin Allah yang paling utama. Ini kerana jika dia mengasihi Allah, maka dia akan banyak memberi kerana itu yang Allah suka. Malah Allah amat menyukai anak yang membahagiakan ibunya, bukan yang mengabaikan, melukakan atau menderhaka kepadfa ibunya. Mungkin saudari pernah mendengar pepatah; ”lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita dapat”.
Maka lagi banyak kasih yang saudari beri kepada alam sejagat ini khusunya ibu, maka akan lebih banyak kasih yang saudari akan dapat, dan akan membahagiakan saudari. Dan apakah yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang? Iaiitu apabila hatinya tenang … bagaimana untuk mendapat ketenagan itu ? Dengan banyak mengingati Allah…dan ingat apa yang Allah suruh…antaranya berbuat baik kepada orang tua… siapa yang beri ketenangan itu? Pastinya Allah. Maka saudari tidak perlu risau jika ibu berkahwin. Ingatlah bahawa kehidupan seorang anak itu menjadi tidak ternilai apabila ibunya meredhainya kerana Allah ada menyatakan bahawa redhaNya bergantung kepada redha ibu bapa terhadap anaknya.Maka pohonlah agar saudari diredai Allah melalui redha ibu terhadap saudari dengan cara membahagiakan ibu…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan dalam drama Jangan Benci Cintaku saja kes suami curang boleh berlaku tetapi dalam dunia realiti pun sama naik! Lagi teruk sampai ada yang sampai terlanjur, baik dengan isteri orang atau wanita bujang.
Para isteri yang terlibat, ada yang cuba mencari ketenangan dengan membaca pelbagai buku, blog dan laman web untuk merawat hati yang dah hancur luluh, agar mampu bangun dan menghirup udara Allah ini dengan kekuatan baru dan tidak terusan kecundang dalam penderitaan.
Dalam masa yang sama, pelbagai persoalan timbul dalam benak fikiran masing-masing, apakah mahu diteruskan perkahwinan ini? Jika tidak, bagaimana dengan nasib anak-anak?
Sebenarnya jodoh dan pertemuan adalah di tangan Allah SWT. Sekiranya jodoh kita telah tiada, maka jalan ke arah itu amat mudah dan dilorongkannya tanpa banyak onar. Namun jika jodoh masih panjang, maka usaha kita mahu memutuskannya akan dipenuhi dengan pelbagai masalah dan rintangan.
Ada isteri yang berfikir dan mengambil kira nasib anak-anak lalu berniat untuk meneruskan perkahwinan dan mahu menerima kembali suami mereka walau mengetahui kecurangan suami. Namun yang menjadi halangan untuk hidup kembali seperti dahulu adalah emosi yang tercalar dan hati yang dah terluka. Bagaimana mahu merawatnya?
Setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita, Allah SWT telah menjadikan atas sesuatu asbab dan punya hikmah yang tertentu. Tidak ada suatu pun yang dijadikan-Nya dan yang ditakdirkanNya berlaku itu dengan sia-sia dan tanpa perancangan.
Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allahlah yang hebat dan yang pasti berlaku. Kita merancang untuk hidup bahagia, daripada mula bercinta sehingga ke akhir hayat. Namun Allah merancang untuk menjadikan perkahwinan kita sebagai medan ujian untuk melihat sejauh manakah kita mengaku menjadi hamba-Nya.. Namun dosa dan kebaikan yang kita lakukan adalah dengan pilihan kita sendiri dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Allah mengizinkan dan Dia yang Maha Mengetahui.
Untukmu isteri…
Paling utama untuk semua isteri bagi merawat hati yang terluka di atas tindak tanduk suami adalah memikirkan dahulu dosa sendiri. Jangan fikir dosa suami dan dosa orang lain. Nampakkan ‘peranan’ kita dalam ‘mendorong ‘suami yang berdosa untuk muhasabah diri kita, kenapa Allah SWT uji kita begitu.
Tiada guna kita asyik fikir kenapa suami sampai hati melakukan dosa, tidak takut kah dengan Allah, tidak ingat kah pada anak-anak. tidak sayang kah pada kita dan pelbagai.-bagai lagi. Ini kerana ia bukan penyelesai masalah. Malah makin mengeruhkan suasana dan membuatkan kita semakin menderita sedangkan kita tidak mampu berbuat apa-apa.
Muhasabah diri kita, apa yang tidak beres dalam hubungan dengan suami. Apa yang dia benci tapi kita tetap buat walau telah ditegur atau ada suami yang pendiam tidak bersuara walau tidak berkenan dengan perangai isteri.
Adakah kerana mulut yang kuat berleter dan menjawab?
Adakah kerana muka yang mudah masam dan memuncung?
Adakah kerana lidah yang lincah mengeluarkan kata-kata yang pedih, penuh sinis dan sindiran?
Anggaplah itu kerana kafarah dosa kita sendiri atau sebagai ujian dari Allah untuk menaikkan martabat kita.
Apa Yang Perlu Buat
Untuk merawat hati yang terluka, kita perlu fokus pada diri kita, dosa kita dan hubungan kita sendiri dengan Allah SWT Tidak boleh sekali-kali kita merasionalkan hati kita bahawa kita perlu fikir tentang dosa dan tindak tanduk suami. Tidak akan terubat hati kita kerana fikirkan dosa suami, hanya akan menarik bisikan syaitan, hawa dan nafsu yang tidak pernah menjanjikan penyelesaian sebaliknya kemusnahan yang besar.
Nampaklah Allah SWT dalam segala hal. Anggaplah ini sebagai kasih sayang Allah SWT agar kita tidak terusan lalai, agar kita tersedar daripada tipu daya dunia yang tak pernah alpa menarik manusia untuk terusan melupakan kehidupan yang sebenar di akhirat nanti.
Insya-Allah, carilah ilmu atau rawatlah diri dari belenggu emosi dan bisikan buruk dalam hati kita. Sesungguhnya dunia ini hanya sementara. Anak dan suami adalah tempat kita berbakti sebagai bekal di akhirat nanti.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak suka nak meluah tentang emosinya, tetapi kalau perempuan penat sangat dia akan bertukar jadi garang. Serius, bukan tak nak berkongsi apa yang terbuku di hati tetapi selagi boleh mak-mak akan berusaha mudahkan urusan anak-anak dan bahagiakan perut suami.
Inilah pengorbanan seorang siteri dalam rumah tangga. Pendek kata, tanpa seorang isteri, rumah tak akan naik serinya. Nak merasa suasana kucar kacir, cubalah hantar isteri balik kampung. Haaa… kemas ke tak semua benda dalam rumah.
Namun apa yang peliknya, isteri ini mulutnya sahaja bising. Selagi boleh bangun, tangan dia laju buat keja rumah. Malah kalau dia jenis keluar bekerja sekali pun, makan minum anak-anak tetap dia fikir. Sekali pun tak masak, dia dah beli siap-siap waktu balik dari tempat kerja. Punyalah dia prihatin pada orang sekelilingnya. Dari mana kekuatan itu datang pun, kadang tak tercapai dek akal.
Percayalah, isteri mungkin tak akan cakap tahap mana kepenatan yang dia lalui, tetapi andai nampak perangai ini dalam rumah, cepat-cepatlah ambil alih tugasnya.
1. Benda kecil pun dia bising
Ini biasa, benda sekecil apa pun boleh jadi punca isteri untuk mengamuk dan membebel tak tentu pasal. Contoh mudah, pasal air tumpah pun boleh buat kaum mak-mak marah macam nak terbalik dunia. Punyalah dia stres! Lagi teruk, cerita jadi panjang sebab dia mula mengungkit sejarah yang lepas-lepas.
2. Mudah menangis
Menangis sendirian di dalam bilik tanpa sebab. Betul, bila isteri penat sangat dia akan menangis sendiri. Jadi suami kena lah faham. Waktu solat berjemaah, cubalah tanya keadaan isteri dan apa aktiviti harian isteri. Silap-silap, isteri boleh mengadu dan siap menangis sebab badan tak cukup rehat.
3. Mudah jatuh sakit
Kerap demam, sakit badan, migrain.. itu tanda isteri penat sangat. Dia penat fizikal dan emosi juga. Jadi, suami berilah peluang untuk isteri berehat. Contohnya, dalam seminggu berikan cuti memasak bagi dia.. suami pula ambil alih tugas tu.. pasti dia suka.
4. Nampak lesu dan tak bermaya
Wajah kusam, banyak jerawat dan tak bermaya.. itu tanda penat melampau. Kalau bersolek sekali pun, wajah tetap tak akan naik serinya. Sebab letih sangat. Tapi kalau penat sangat mana mampu nak make up bagai. Jadi, suami kena faham jdan mulut kena jaga. Jangan tahu nak kritik soal kecantikan isteri.
5. Selera makan melampau, berat bertambah
Bila badan terlampau penat, akan hilang selera makan atau selera makan meningkat melampau lampau. Ada yang jenis asyik nak makan tetapi boleh jadi isteri tak lalu nak makan sebab terlalu PENAT. Jadi, ini menyebabkan dan punca badan isteri kurus atau gemuk tanpa sedar.
Kalau saiznya dah berubah, jangan pula ditegur atau kritik. Nak selamat, terus cari jalan penyelesaian. Contoh mudah, ajak dia join keluarkan peluh bersama. Lama-lama nanti dia sendiri seronok dan sekali gus dapat amalkan cara hidup yang sihat. Banyak senam, tubuh badan bebas daripada segala penyakit dan tekanan.
6. Anak Jadi Mangsa
Selalu tinggikan suara tanpa sebab pada anak-anak. Kasihan kalau anak-anak jadi tempat isteri melampiaskan tekanan emosi.
Haa… apa yang suami boleh bantu?
Bila isteri penat buat kerja, peluklah dia dengan penuh kasih sayang. Ambil alih tugas buat kerja rumah atau lakukan kerja rumah bersama-sama. Bila dia tengah memasak, suami tolong lah jaga anak. Isteri basuh baju, suami tolong sidaikan. Itu saja sifirnya.
Nak lagi bahagia, suami kena berikan ruang untuk isteri lakukan apa yang dia suka. Satu lagi cara mudah, ajak isteri shopping. Tak payah tempat mahal pun, ajak pergi pasar malam atau kedai RM2 pun dia dah seronok!
Cara Rasulullah Ajar Fatimah Hilangkan Penat
Salah satu cara untuk mengenyangkan roh dan mengatasi kepenatan adalah petua yang diajarkan oleh Rasulllah SAW kepada puterinya, Fatimah.
Tatkala Fatimah mengadu kepada suaminya, betapa penatnya membuat segala kerja rumah. Saidina Ali menyarankan Fatimah berjumpa bapanya, Rasulullah SAW untuk meminta seorang pembantu.
Namun, Rasulullah tidak memberikan sebarang pembantu, sebaliknya sekalung zikir yang dipanggil ‘Zikir Fatimah’, khas untuk anaknya yang kepenatan menguruskan keluarga.
Tasbih, Subhanallah 33 kali Tahmid, Alhamdulillah 33 kali Takbir, Allahu akbar 33 kali
Rasulullah SAW menyuruh Fatimah mengamalkannya setiap kali merebahkan diri untuk tidur. Sabda Baginda bahawa itu jauh lebih baik dari seorang khadam.
Maka umak-mak yang selalu kepenatan di rumah, amalkanlah zikir Fatimah setiap malam sebelum tidur. Semoga esok pagi bangun dalam keadaan ceria dan gembira!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Abby dedah perkahwinan dengan Norman terbina dek kerana lelaki itu kecewa dengan wanita lain.Konflik keluarga Abby Abadi belum berkesudahan, terbaru pelakon itu mendedahkan perkahwinannya...