Bergelar ibu tunggal, namun Ziana Zain tetap ajar anak wajib hormati bapa mereka. Penyanyi tersohor tanahair, Ziana Zain seperti mana diketahui umum kini hidup solo dan bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan suaminya, Armin Zaharin.
Menerusi perkahwinan dengan bekas suaminya itu, mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, 23; Muhammad Ammar, 21; serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 14.
Walau sudah lima tahun berpisah namun Ziana tidak pernah memutuskan hubungan anak-anak dengan bekas suami. Malaha anak-anak juga masih saling menghubungi serta berjumpa apabila ada kelapangan masa.
“Saya juga selalu bertanya dan mengingatkan anak-anak supaya menghubungi bapa mereka untuk bertanya khabar.
“Apa yang berlaku antara kami dalam perhubungan, tidak ada kena-mengena dengan anak-anak.
“Jadi, anak-anak saya tetap wajib menghormati bapa mereka.
“Saya pun ada ibu bapa dan berdosa besar kalau putuskan hubungan bapa dengan anak. Biar semuanya berjalan baik,” ungkapnya seperti mana dilaporkan Harian Metro.
Malah dirinya juga tidak mahu anaknya bersikap derhaka terhadap bapa mereka.
“Saya tak mahu anak-anak derhaka pada bapa mereka. Jadi, selama ini saya tidak pernah halang pertemuan anak dengan bekas suami,” sambung Ziana.
Berkongsi kisah tentang jodoh, Ziana akui kini selesa hidup sebagai ibu tunggal.
“Sejujurnya saya seronok menjalani kehidupan solo ini. Lagipun hidup saya sudah lengkap bersama anak-anak.
“Tak terfikir pun nak kahwin lagi.
“Cuma tak mahu cakap besar sebab urusan jodoh ini ketentuan Yang Esa. Saya tidak tahu apa yang Allah sudah aturkan untuk saya ke depannya,” luah Ziana yang bersyukur dengan kehidupannya yang bahagia saat ini.
Sumber: Harian Metro
Kredit foto (top image): Instagram Ziana Zain
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.