Bergaduh Dengan Isteri, Punca Lelaki Rampas Pesawat Biman Airlines!

Share

Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan rampasan pesawat Biman Airlines milik negara Bangladesh, hinggakan ia terpaksa mendarat cemas. Tak sangka rampasan pesawat tersebut hanya berpunca daripada isu pergaduhan suami isteri dalam rumahtangga.

Gaduh Dengan Isteri

Seorang perampas yang mati ditembak oleh pasukan komando Bangladesh didapati membawa pistol mainan dan memberitahu perunding bahawa dia mahu mengambil alih pesawat menuju ke Dubai tersebut kerana bergaduh dengan isterinya, kata beberapa pegawai semalam.

Lelaki berumur 25 itu mati akibat cedera parah ditembak selepas menjadikan serang anak kapal Biman Airlines sebagai tebusan, memaksa pesawat tersebut mendarat cemas di Lapangan Terbang Chittagong lewat kelmarin.

Kira-kira 134 penumpang dan 14 kru penerbangan itu dibebaskan tanpa sebarang kecederaan selepas operasi pasukan komando yang mengambil masa tidak sampai 10 minit.

Kecelaruan Mental

Pengurus Lapangan Terbang Chittagong, Sarwar-e-Jaman berkata, perampas itu mengalami ‘kecelaruan mental’.

“Punca dia merampas pesawat adalah kerana dia mempunyai masalah dengan isterinya dan dia mahu bercakap dengan Perdana Menteri, Sheikh Hasina,” kata Sarwar kepada agensi berita AFP.

Penerbangan BG147 berlepas dari Dhaka ke Dubai melalui Chittagong apabila insiden rampasan berlaku.

Lelaki itu yang hanya dinamakan sebagai Mahadi, dilaporkan membawa sepucuk senjata api di dalam kabin pesawat dan cuba menyerbu kokpit, memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas.

MW: Pesanan buat suami isteri, jika ada sebarang masalah dalam rumahtangga, kawallah emosi dan selesaikanlah dengan baik.Tak perlulah sehingga melibatkan malah menyusahkan orang lain pula.

Sumber: Kosmo

Published by
Suhaidah Abd Wahab