Bergaduh Buat Lebih Kenal Pasangan, Simpan Dendam Jadi Barah Dalam Perkahwinan!
Foto kredit Instagram @animaiyuni

Ani Maiyuni pernah mengalami masalah dalam rumah tangganya. Beberapa tahun lalu, ‘kekerasan’ yang dilakukan suami terhadap dirinya telah membawa penyanyi ini melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.

Namun hasil komunikasi dan luahan perasaan antara dia dan suami, perkahwinan tersebut mampu dipertahankan.

Malah jika tidak ujian tersebut, mana mungkin Ani Maiyuni dan suaminya Zairi Azmi dapat melayari perkahwinan mereka dengan lebih baik dan harmoni.

Luahan rasa Ani Maiyuni ini telah diperdengarkan dalam Mingguan Wanita Talkshow musim ketiga di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD.

Mana-mana rumah tangga pasti ada up and down. Saya dan suami pernah separate sekejap.

“Masa itu saya letak kesalahan pada diri sendiri. Suami juga sama. Hanya masa tempoh itu kami saling kenal-mengenali diri masing-masing.

“Ada hikmah atas apa yang berlaku. Kami dapat meluahkan apa yang ada dalam hati masing-masing.”

Tidak Pernah Fikir Hendak Bercerai

Namun begitu menghadapi kemelut rumah tangganya, keputusan untuk bercerai tidak ada dalam fikiran Ani Maiyuni pada masa itu.

Saya tidak pernah fikir hendak bercerai. Daripada pengalaman saya, ini pesanan yang boleh saya berikan kepada pasangan suami-isteri.

IKLAN

“Ada sebabnya kita bergaduh dengan pasangan. Bergaduh dapat membantu kita mengenali satu sama lain.

“Tetapi jangan sampai pergaduhan itu menjadi gunung berapi yang merosakkan. Saya pegang pada prinsip  saya dalam perkahwinan. Saya berkahwin sekali sahaja dalam hidup.

Pesan emak mentua dan ahli keluarga juga membantu dirinya membuat keputusan yang tepat terutamanya jika ia melibatkan rumah tangga yang dibina.

Saya tidak ada mak dan ayah. Hanya mak mentua sahaja tempat saya mengadu. Nasihat emak mentua masih saya ingat.

“Saya tanya apa perlu saya buat? Mak mentua saya tanya pada saya. Ani fikirlah sendiri. Fikir ada tak perasaan dan cinta terhadap suami?”

Ani Maiyuni masih juga ingat lagi kata-kata seorang ahli keluarganya.

Keputusan itu di tangan saya. Jangan fikir kata orang lain. Berharga sungguh pesanan dan nasihat tersebut.”

Mediator Jadi Orang Tengah Cari Jalan Penyelesaian Dalam Rumah Tangga

Mengupas isu Dendam Barah Perkahwinan yang dibincangkan dalam segmen hari Khamis iaitu  Cerita Dalam Kain Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran dari pukul 12.00 hingga 1.00 tengah hari, pakar kaunseling dan motivasi perkahwinan Puan Hajah Aniz Haji Anwar berkata, dendam itu hadir bukan sekelip mata. Ia adalah daripada satu pengalaman.

Jika pasangan anda menegur dan mengulangi teguran dan kesilapan yang anda lakukan sudah pasti ada perasaan dendam dalam hati anda.

Bukan itu sahaja, perjalanan silam juga turut mempengaruhi seseorang itu untuk menyimpan dendam.

Oleh itu ilmu amat penting dalam perkahwinan. Sebab itu penting bagi pasangan yang bakal berkahwin mengikuti kursus perkahwinan.”

Jelasnya lagi, jika ada berlaku masalah dalam rumah tangga, perlulah mencari mediator bagi mendengar masalah agar jalan penyelesaian dapat dicari. Mediator ini bukan ahli keluarga. Itu perlu diingat.

Anda perlu betulkan niat. Apabila mendapat ‘rawatan’ ini bukan sebab mahu lemparkan kesalahan atas pasangan dan sebaliknya tetapi bagi anda dan pasangan menghadapi kelemahan yang ada.”

Bagaimana Mahu Kawal Sifat Marah?

Pesan Hajah Aniz kepada pasangan yang diuji dalam perkahwinan adalah agar jangan cepat melatah apabila diri diuji.

Ambil tempoh bertenang. Fikirkan kenapa perkara ini terjadi.”

Katanya lagi, setiap orang pasti akan menghadapi tekanan dalam diri tetapi jangan biarkan tekanan itu memberi kesan pada perhubungan anda dengan pasangan.

Ketinggalan? Ikuti Siaran Ulangan.

Siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow adalah pada pukul 8.00 malam di saluran Astro Prima 105 dan Astro Prima HD. Selain itu anda juga boleh menonton klip video terpilih di saluran You Tube Mingguan Wanita.