Berdepan Detik Cemas Panik Tertelan Air, Alia Cabar Diri Nak Menyelam Di Dasar Laut Lagi!

Share

Tidak dinafikan aktiviti menyelam dasar laut atau memilih kerjaya sebagai juruselam agak berisiko tinggi dan mempunyai cabarannya yang tersendiri. Istimewanya, golongan wanita turut tidak terkecuali menceburi bidang ekstrem ini, atas minat yang mendalam serta menikmati keindahan hidupan karangan laut.

Menyelami kerjaya penyelam skuba wanita dan aktiviti menyelam di dasar laut Pulau Tioman, baru-baru ini, itulah tugasan yang diberikan kepada salah seorang Finalis Top 9 Pencarian Hos Mingguan Wanita, Nur Alia Ajeerah Azimi, 28 tahun yang berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Perlu Kekuatan Mental & Fizikal

Bukan mudah untuk menjadi seorang penyelam skuba wanita. Perlu ada ciri-ciri tertentu yang melayakkan diri untuk melibatkan diri dalam kerjaya ini, terutama dari segi kekuatan mental dan fizikal.

“Saya dapat saksikan untuk menjadi penyelam wanita ini, kena ada keberanian yang tinggi, kena ada kekuatan fizikal dan mental, perlu tenang dan jiwanya memang kena kental, sebab nak masuk dalam laut tu kita tak tau apa yang ada disana”

“Sebagai dive master atau instructor, dia berperanan untuk tenangkan orang-orang sekeliling dia juga, orang-orang dibawah kendalian dia. Jadi saya nampak, kena ada satu ketengangan, keberanian dia untuk bagitau, untuk ubah persepsi orang lain bahawa dilaut sana itu semuanya cantik, semuanya ok sahaja, tak payah takut lemas, tak payah takut tak boleh bernafas,” jelas Alia.

Detik Cemas, Tertelan Air

Menurut Alia, dirinya berhadapan dengan detik cemas iaitu tertelan air dan membuatkan dirinya panik ketika menyempurnakan tugasan tersebut.Sewaktu berhadapan situasi ini, Alia dapat merasakan dive master tersebut memainkan peranan penting dalam menenangkan dirinya, dengan mengawal emosi, mental agar bertenang dan pada masa yang sama turut menenangkan dirinya sendiri.

“Saya rasa wanita-wanita yang berminat dan dah lama berkecimpung dalam dunia menyelam skuba ini, saya rasa mereka sangat hebat, kerana mereka tak biar emosi mengawal mereka di bawah sana dan mereka sentiasa tenang dan cuba untuk mengawal apa-apa benda negatif yang berlaku disekeliling mereka,” jelas Alia

Cabar Diri Masuk Menyelam Atasi Ketakutan Diri

Tambah wanita ini, pengalaman melihat batu karang dan hidupan di dasar laut sangat indah dan cantik.Meskipun pernah berhadapan detik cemas, Alia ingin mencabar diri untuk menyelam lagi bagi mengatasi ketakutan dalam dirinya.

“Sejujurnya kalau ingat balik pengalaman saya, saya masih rasa takut. Saya pun tak pasti nak membuatnya lagi. Tapi saya tahu untuk menjadi seorang wanita yang kuat macam Dive master saya tu, saya nak mencabar diri saya nanti untuk masuk menyelam lagi dan mengatasi ketakutan saya,” ujar Alia.

Adakah ALIA memenuhi ciri-ciri hos Mingguan Wanita yang anda suka? Saksikan secara langsung pengumuman pemenang di Mingguan Wanita Talkshow, 28 Mac 2019, 12 tengahari.

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab