Teruja penulis tatkala menerima undangan Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd untuk merasai sendiri percutian di atas kapal persiaran mewah, Costa Serena Lines yang menawarkan pelayaran 4 hari/5 malam yang berpatutan dari Pelabuhan Klang, Malaysia ke Phuket, Thailand sepanjang bulan Mac lalu.
Kapal pesiaran Costa Serena ini mampu memuatkan 3,780 penumpang telah berlayar dalam pelayaran empat hari/lima malam dari Pelabuhan Klang ke Phuket, Thailand, sepanjang bulan Mac lalu.
Penulis sememangnya amat teruja menyertai pelayaran ini memandangkan ini merupakan percutian pertama penulis di atas kapal persiaran dan lebih teruja apabila dimaklumkan tentang perkhidmatan yang ditawarkan untuk pelancong Muslim yang terdapat di atas kapal persiaran mewah ini.
Perjalanan kami bermula di Pelabuhan Klang, Malaysia di mana pemeriksaan Imigresen dijalankan untuk setiap penumpang yang bakal menaiki kapal persiaran ini. Usah risau jika anda datang bersama keluarga kerana perjalanan check in yang lancar dari tempat bagasi sehingga ke laluan Imigresen menjadikan perjalanan lebih selesa dan tidak serabut. Laluan khas untuk warga emas dan orang kurang upaya turut disediakan untuk melancarkan proses daftar masuk ke kapal persiaran yang tersergam indah itu.
Sebaik melangkah ke atas kapal megah Costa Serena, bersedia untuk terpesona dengan keagungan seni binaannya yang mengingatkan kita kepada zaman Rome kuno. Malah, sudut memamerkan sebuah karya seni yang megah, dengan lebih dari 5,900 hasil seni menjadi elemen dekorasi sekitar kapal, menjadikan perjalanan anda seperti melewati sebuah muzim seni yang penuh elemen kemegahan Rome!
Pasti ramai yang skeptikal mengenai keselamatan apatah lagi melihat kapal persiaran yang bersaiz besar di depan mata. Mulalah terbayang kisah Titanic dan pengakhirannya. Tetapi usah risau, setiap penumpang akan menjalani latihan kecemasan yang wajib dan berkumpul sebelum beredar ke kabin atau mengambil peluang bersiar-siar di atas kapal mewah ini.
Acapkali apabila memperkatakan tentang percutian di atas kapal persiaran, sudah pasti soal makanan menjadi penghalang utama bagi pelancong Muslim untuk menikmati percutian seperti ini.
Namun usah risau, Costa Serena telah mendapat persijilan halal dari JAKIM atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk memastikan pilihan makanan dan minuman mematuhi garis panduan diet Islam. Berbeza dengan kebanyakan kapal persiaran antarabangsa yang tidak mempunyai restoran halal.
Penulis turut berpeluang menikmati pengalaman menikmati hidangan autentik Itali tanpa perlu terbang ke Itali. Mana tidaknya, penulis berpeluang merasai kuliner Itali yang autentik dengan bahan-bahan yang diimport dari seluruh Itali.
Lebih istimewa, ia disediakan oleh para juru masak Itali (*untuk pelayaran di Malaysia, Chef Eksekutif Costa Cruises, Simone Ingrosso, dan Chef Patiseri Ricardo Bellaera dari ibu pejabat di Genoa berada di atas Costa Serena). Sudah tentu kualiti makanan terbaik menjadi identiti mereka untuk disajikan kepada para pelanggan!
Selain itu, penulis juga berpeluang mencuba menu hi tea yang enak dan sambil menghirup secawan teh earl grey kegemaran penulis!
Malah, ketika pelayaran penulis baru-baru ini, terdapat penganjuran pelayaran islamik yang turut sama menyertai pelayaran kali ini dan ia sekaligus menjadikan percutian di atas kapal persiaran sebagai pilihan terbaik untuk umat Islam merasai sendiri percutian di atas kapal persiaran di samping menjadikan ia sebagai salah satu cara merapatkan ukhwah sesama umat Islam.
Penulis lebih selesa dengan percutian santai di atas kapal di mana ia membolehkan penulis meneroka segenap ruang kapal persiaran ini yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Jika anda bercuti bersama anak-anak, deck yang mempunyai kemudahan kolam renang pasti menjadi tumpuan.
Selain itu, terdapat dua lagi kemudahan kolam renang dan jakuzi yang terdapat di atas kapal persiaran mewah ini yang menjadi lokasi kegemaran untuk bersantai dan menikmati pemandangan laut yang menawan.
Costa Serena bukan sekadar sebuah kapal, malah ia adalah taman hiburan terapung yang memenuhi setiap citarasa dan usia. Dari pertunjukan live yang memukau hingga lantai tarian yang mengasyikkan dan keseronokan yang sesuai untuk keluarga, bersedia untuk dimanjakan dengan hiburan sepanjang masa!
Nak kelihatan cantik di atas kapal persiaran? Jangan risau kerana kemudahan spa turut disediakan di kapal persiaran Costa Serena ini. Selain itu, untuk anda yang tidak boleh hidup tanpa kemudahan gimnasium, Costa Serena turut mempunyai kemudahan gym yang selesa dan menghadap laut yang terbentang luas!
Menyentuh mengenai kabin yang disediakan, Costa Serena menyediakan penginapan dari taraf Grand Suite, Suite, kabin balkoni dan kabin tanpa balkoni yang selesa mengikut bajet percutian anda.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Memandangkan Costa Serena menuju ke Phuket, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Phuket, permata mahkota Thailand yang menjadi lokasi bulan madu penulis kira-kira 20 tahun yang lalu.
Untuk rekod, Phuket pernah dilanda Tsunami pada tahun 2004 dan mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda. Jika hendak berjalan ke beberapa destinasi menarik di Phuket, MyTours yang disediakan di atasCosta Serena menawarkan beberapa pakej yang menarik dan berpatutan.
Pantainya yang bersih, air laut berwarna turquoise, dan landskap yang hijau subur menjadikan pengalaman turun ke bumi Phuket selama beberapa jam sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Kami meninggalkan Phuket dengan seribu memori yang akan dikenang sepanjang hayat.
Seiring perjalanan kami hampir berakhir, kami kembali ke Pelabuhan Klang dengan hati penuh kenangan dan kamera sarat dengan memori yang indah. Paling tersentuh, saat menerima ucapan selamat tinggal daripada Costa Serena dan krunya yang menemani sepanjang empat hari tiga malam dengan penuh kenangan manis.
Mingguan Wanita kongsi beberapa informasi penting supaya percutian lebih lancar:
#CostaSerena #CostaCruises #HwajingTravel