Bercerai! Bukan Mudah Wanita Terima Kenyataan, Ini 10 Nasihat Mereka Yang Baru Bergelar Ibu Tunggal

Share

Bercerai! Bukan mudah wanita terima kenyataan, ini 10 nasihat mereka yang baru bergelar ibu tunggal. Sememangnya perceraian atau perpisahan dalam perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilupakan. Apatah lagi terhadap kaum wanita. Sememangnya sesuatu yang memeritkan.

Kunci utama untuk memberikan ketenangan hati yang lari adalah bersabar. Namun kesabaran itu bukalah satu perkara yang mudah. Dan bukan semua wanita mampu bangkita semula.

Bercerai! Bukan Mudah Wanita Terima Kenyataan

Puan Dzuriasikim Dzulkefli menerusi perkongsian di akaun Facebooknya memberikan suntikan semangat untuk wanita diluar sana terutamanya mereka yang baru bergelar ibu tunggal.

Puan Dzuriasikim sering memberi kata-kata motivasi buat wanita di luar sana.

Menurut Dzuriasikim ramai wanita, bukan mudah untuk menerima kenyataan selepas berpisah atau bercerai.  Ada yang berasa malu untuk berdepan dengan keluarga dan rakan.  Ada yang tidak boleh menerima kenyataan.  Ada yang rasa dirinya serba kurang dan berasa kerana kekurangan diri itulah dia ditinggalkan.  Ada yang tidak bersedia untuk menjawab banyak soalan yang diajukan.

“Berasa rendah diri, stress, tidak tahu bagaimana mahu bangkit semula.  Ada yang anak-anaknya masih kecil, anak menangis cari ayah, sedangkan bekas suami tidak ambil kisah.  Lebih malang jika wanita itu tidak mempunyai pelajaran, tiada wang simpanan, tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan sendiri, tidak menerima bantuan dari keluarga atau tiada tempat untuk mengadu.

“Hanya dengan sabar kita mampu menerima segala takdir dan ketentuan Ilahi.  Sabar dan redha, menerima tanpa mempersoalkannya… InsyaAllah, satu hari nanti, anda pasti tersenyum kembali.

 

Bertenang dan baca 10 nasihat ini:

  1. Cuba sebaik mungkin untuk lupakan kisah silam anda. Anda perlu melangkah ke hadapan. Melihat ke belakang tidak akan mendatangkan sebarang faedah.  Cari kekuatan diri and you need to move on ok!
  2. Fikirkan apa cita-cita anda sebelum ini. Inilah waktu terbaik untuk anda memenuhi segala impian anda.  Cari jalan dan usah sesekali putus asa.  Sekiranya ramai yang memburukkan anda kerana bergelar janda, pekakkan telinga sahaja.  Jika tiada teman rapat, mengadulah kepada Tuhan.  Ingat Dia sentiasa ada dan kasihNya tidak pernah bersyarat.  Yakin akan itu!
  3. Cuba kawal minda anda. Letakkan masalah peribadi dalam satu “kotak” berbeza.  Sentiasa senyum bila berhadapan dengan orang sekeliling terutama anak-anak.  Usah sesekali menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku.  Ini adalah sangat penting untuk membentuk minda dan emosi anak agar tidak terganggu.  Mereka perlukan lebih perhatian. Seburuk atau sejahat manapun bekas pasangan anda, dia tetap ayah kepada anak-anak anda.   Usah heret anak-anak ke dalam emosi.  Minda anak-anak yang positif dan ceria akan mempengaruhi keperibadian serta pencapaian akademik mereka.   You have to be strong ya!
  4. Cari rakan yang positif dan boleh membina. Ianya mungkin sukar. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita serba kekurangan.  Namun, circle yang positif adalah sangat penting dan membantu.  Jika tiada, cuba baca buku-buku yang boleh memberikan inspirasi dan semangat.  Jika tidak mampu untuk membeli buku, cuba buat carian di internet dan baca kisah kejayaan ramai wanita hebat dunia dan bagaimana mereka berjaya bangkit semula dalam hidup.  Bacaan positif begini akan menjadi makanan minda yang sangat baik. Jika tidak mampu untuk membeli data, anda boleh cuba menggunakan wifi percuma yang disediakan di kebanyakan tempat awam.  Sentiasa penuhi masa dengan perkara berfaedah dan elakkan dari termenung.
  5. Jika kurang minat membaca, anda boleh lakukan apa sahaja yang boleh memberikan pulangan wang atau kebaikan. Sebagai contoh, anda boleh belajar membuat kuih,  nanti boleh dijual. Atau tanam pokok, anak pokok yang disemai boleh dijual.  Anda perlu kreatif atau cubalah untuk menjadi kreatif.  Jika memilih untuk menanam pokok contohnya, cuba tanam pokok herba atau yang sukar diperolehi di nursery.  Pasti orang akan beli!  Perlu berkorban tenaga dan waktu untuk berjaya.  Perlu ada kesungguhan dan semangat yang berterusan.
  6. Semat dalam hati bahawa anda boleh berdikari dan bahagia seperti orang lain juga. Sabar sedikit.  Ianya mungkin akan memakan masa.  Orang yang sabar pasti akan memperoleh kemenangan.  Bertahanlah.  Saya yakin anda boleh!
  7. Jika sukar meninggalkan anak untuk keluar bekerja atau mencari rezeki, usahakanlah sesuatu dari rumah sahaja. Ambil upah jahit butang baju pun tidak mengapa.  Ada banyak pekerjaan yang boleh dilakukan selagi kita mahu berusaha.  Upah yang diperolehi itu nanti bolehlah dibelanjakan sedikit dan simpanlah juga (walau sedikit untuk kecemasan dan untuk mengejar impian yang ada).  Susah sedikit tidak mengapa… Buktikan anda boleh hidup dengan berdikari.
  8. Usah mudah jatuh cinta pula. Belajar dari kesilapan lalu.  Jika mahu bernikah lagi, pilihlah pasangan dengan lebih berhati-hati.  Sebaiknya anda berikan sedikit ruang untuk diri sendiri.  Tingkatkan penjagaan dan kualiti diri.  Pastikan anda tampil bersih, berseri, kemas dan rapi. Utamakan kebahagiaan diri dan anak-anak (jika ada). Ingat, alam perkahwinan tidak sama dengan alam bercinta.  Usah tersilap langkah untuk kali kedua.  The best thing to do is self love before falling in love.  Faham kan?
  9. Pilih rakan yang membina dan berkualiti. Tersilap pilih kawan akan membinasakan masa depan nanti.  Ingat, ikutkan hati …mati.  Ikutkan rasa…binasa jadinya.   Usah bersosial dengan teman untuk menghilangkan stress hingga tanggungjawab terhadap anak-anak terabai.  Lagipun, menghilangkan stress dengan cara begitu hanya membazir waktu dan wang serta tidak boleh membantu untuk meningkatkan diri.   Anda boleh bawa anak-anak keluar.  Jika tiada bajet, anda boleh beriadah di taman atau berkelah di sungai.  Sediakan makanan dari rumah.  Nasi putih dengan ayam goreng pun sudah cukup.  Baiklah, jika ayam mahal kita boleh beli ikan.  Atau buat nasi goreng pun sedap juga.   Dulu saya pun tak ada wang untuk bawa anak-anak keluar ke shopping complex.  Atau ke Zoo dan mana-mana tempat berbayar.  Jadi saya akan bawa anak-anak ke sungai setiap hujung minggu without missed!  Ada banyak lagi cara untuk tenangkan minda dan bergembira.   Ia juga boleh membantu untuk divert your attention.  Cubalah!
  10. Saya suka ingatkan. Usah putus asa untuk berdoa.  Jangan lupa bertahajjud.  Sehina manapun kita di mata manusia, hanya Allah sahaja yang menentukan untuk menerima segala amal dan doa kita.  Percayalah, tidak akan sia-sia untuk bangun pada setiap malam dan bertahajjud.  Bersihkan hati. Maafkan orang sekeliling.  Usah sesekali berdendam.  Yakinlah dengan kekuasaanNya.

Sumber / Sumber Foto : Facebook Dzuriasikim Dzulkefli

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
TikTok: https://tiktok.com/@mingguanwanita

Published by
Norhayati Suboh