Sudah ajalnya, penuntut lelaki jurusan Sains Univeriti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor maut selepas jatuh dari tingkat empat bangunan asramanya ketika berbual menerusi telefon bimbit.
Namun sebelum belaku kejadian ini, ayahnya ada rasa sesuatu yang pelik pada arwah anaknya. Ini seperti yang diceritakan olehnya sendiri apabila anaknya meluahkan rasa nak belanja kawan-kawannya makan rambutan.
“Ayah, bawa buah rambutan banyak-banyak, Addin nak belanja kawan-kawan satu blok.”
Pesanan itu masih terngiang di telinga Azmi Alias, 54, bapa kepada Allahyarham Nik Muhammad Addin, 18, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asramanya, malam tadi.
Azmi ketika berkongsi saat akhir bertemu anaknya berkata, Addin baru tiga minggu berada di Universiti Teknologi Mara, Dengkil mengikuti kursus Sains Asasi.
“Semalam, saya bersama isteri (Nik Azizon Nik Tauran) dan abangnya (Nik Muhammad Aliff) mengajak Addin ke rumah pakciknya di Port Dickson untuk makan durian namun Addin memaklumkan tidak dapat ikut kerana banyak tugasan dan kertas kerja yang perlu disiapkan.
“Dia berpesan meminta kami singgah apabila dalam perjalanan pulang dan meminta agar saya membawa buah rambutan sebanyak yang mungkin.
“Saya berikan satu plastik penuh rambutan, tetapi Addin beritahu tidak cukup kerana dia ingin belanja semua kawan-kawannya. Saya pelik kerana dia baharu sahaja berada di situ selama tiga minggu tetapi sudah mempunyai ramai kawan.
“Kami berempat kemudian ke kompleks beli belah untuk membeli baju untuk arwah anak saya. Sebelum kami pulang, ibunya sempat berpesan kepadanya supaya belajar rajin-rajin, dan dia hanya tersenyum kepada isteri saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4, Petaling Jaya, hari ini.
Mengimbas kembali ketika menerima berita sedih kejadian menimpa anak bongsunya, Pakar Teknikal di syarikat swasta itu berkata, isterinya menerima panggilan kira-kira 11 malam.
“Saya kemudian memandu kereta selaju yang mungkin. “Sebaik tiba, saya lihat anak saya terbaring dan ditutup dengan kain, saya meminta isteri saya yang juga seorang doktor untuk memeriksa nadinya. Isteri saya mengesahkan Addin sudah meninggal dunia.
“Arwah seorang budak yang sangat baik, bila saya memberikan khabar sedih ini kepada jiran dan sesiapa yang mengenali, semua sedih. Dia tidak pernah cerita buruk mengenai orang lain, dan dia seorang anak yang boleh diharap.
“Hati saya rasa berat dan sedih sangat. Saya menjaganya daripada dia masih kecil, setiap hari saya hantar dia daripada mula masuk tadika hinggalah ke sekolah menengah. Bila dia masuk ke UiTM, tidak sampai sebulan, kami kehilangannya,” katanya.
Allahyarham Nik Muhammad Addin disembahyangkan di Surau Al Husna, Taman Medan Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4.
Menurut keterangan rakannya yang juga saksi kejadian, mangsa sedang berbual menerusi telefon bimbit sambil duduk di atas palang besi balkoni menghadap ke luar bangunan.
Mangsa tergelincir daripada besi itu sebelum terjatuh dari ketinggian tingkat empat bangunan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Abdul Aziz berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Info: Harian Metro Dan Astro Awani