Wanita Ini Amalkan Pemakanan Suku Suku Separuh.

Sewaktu menemubual wanita ini dia berasa cukup merendah diri malah meluahkan belum mencapai berat badan ideal, Nurzafirah binti Mustapha Kamal, 29, sedang berusaha untuk menurunkan 20kg lagi beratnya.

Setahun Setengah Turun 25kg

Namun wanita ini sebenarnya perlu berasa bangga kerana sudah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 25kg dalam tempoh setahun setengah.

Pernah mencecah berat badan lebih 100kg, Nurzafirah hingga kini masih berusaha keras dalam menurunkan berat badannya.

Banyak Makan PEDAS Boleh Bantu Bakar Lemak, Badan Pun KURUS. Betul Ke?

“Sebelum ini masa zaman belajar, berat saya mencecah hampir 110kg. Apabila kerja pula, berat saya mula turun ke 105kg mungkin dengan alasan sibuk bekerja sampai tidak sempat makan.

“Dengan berat 105kg, saya berjaya kurangkan 25kg dalam masa setahun setengah. Dan kini saya sedang berusaha lagi untuk turunkan lagi 20kg untuk mencapai berat badan yang ideal.

“Rahsia saya sama saja seperti insan-insan lain yang dalam proses menurunkan berat badan. Jaga pemakanan dan rajinkan bersenam. Saya juga setkan minda saya bahawa ‘Journey of weight will never end. It is a continuous process of life’,” ungkap Nurzafirah.

IKLAN

Amalkan Pengambilan Suku Suku Separuh

“Saya amalkan ‘suku suku separuh’ seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (suku karbo nasi/mi, suku protein dan separuh sayur). Air pastikan tiga liter sehari. Saya memang tidak mengambil sebarang makanan dan minuman yang tinggi gula.”

Aktif Lakukan Aktiviti Sihat

Apabila diberitahu faktor penurunan berat badan bukanlah subjek utama tetapi aktiviti sihat dan cergas yang diamalkan menjadi tunjang kepada faktor perkongsian bersama pembaca Mingguan Wanita, Nurzafirah terus menguntumkan senyuman dan akui begitu aktif dalam aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan gunung, larian, berzumba dan senam aerobik.

“Saya telah membuat hasrat untuk menyempurnakan pendakian lebih 20 buah gunung di Malaysia. Alhamdulillah, pada tahun 2018, hasrat saya telah dapat dilaksanakan. Saya rasa gembira dengan pencapaian tersebut,” luah Nurzafirah dengan rasa bangga.

Kini mendaki jadi pilihan utama.

Bukan calang-calang wanita boleh mendaki bukit atau gunung, Nurzafirah akui untuk aktif dalam pendakian dia memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Turunkan Berat Badan TANPA Kawal Nafsu Makan, Cuba Cabaran Ini. Gerenti Kurus

“Kadang-kadang saya juga suka melakukan aktiviti mendaki bukit atau gunung pada hari minggu. Aktiviti ini memang agak berbahaya bagi sesetengah orang. Namun bagi saya, sekiranya kita mengikuti peraturan, mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal, aktiviti mendaki ini adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan. Aktiviti ini membantu saya untuk membakar lebih banyak kalori lagi. Di samping itu, kita dapat menenangkan fikiran apabila melihat keindahan alam ciptaan Tuhan,” akur Nurzafirah.

Rakan-rakan Nurzafirah begitu sporting dan jadikan aktiviti lasak ini lebih menyeronokkan.

Mula Dari Ajakan Rakan

Ditanya bagaimana dia mula terlibat dalam aktiviti kecergasan, Nurzafirah menerangkan ajakan dari sahabat-sahabat sekeliling antara faktor dia aktif dalam aktiviti penuh stamina ini.

“Rakan-rakan pencetus idea, bermula dari ajakan mereka saya jatuh cinta dengan aktiviti kecergasan dan kecerdasan ini. Saya suka lakukan senam aerobik dan berzumba serta mendaki. Saya juga sertai kelas aerobik dan zumba di sekitar Hulu Selangor. Kelas tersebut dijalankan pada waktu siang dan juga malam.

“Aktiviti tersebut sangat menyeronokkan kerana dengan lagu-lagu yang didendangkan membuatkan kita bersemangat dan tidak bosandengan gerakan yang dilakukan. Gerakan yang dilakukan ada yang berentak perlahan dan ada juga yang sangat laju. Kita juga harus bijak mengikut gerakan ‘instructor’ di depan kita. Itu yang menjadikan aktiviti zumba dan aerobik adalah aktiviti yang menyeronokkan.

“Aktiviti yang memang saya akan lakukan setiap minggu adalah aerobik atau zumba. Mendaki bukit pula sebanyak dua kali seminggu. Kadang kala saya jadikan aerobik atau zumba ini sebagai medium untuk membina stamina bagi mempersiapkan diri untuk mendaki bukit atau gunung,” sambung Nurzafirah. Dalam tempoh PKP walaupun tidak boleh keluar bersenam anda juga boleh lakukan senaman di dalam rumah.

Maklumat lebih lanjut sila layari: https://www.instagram.com/mingguanwanita/