Beras ini lebih mahal nilainya dari baju raya, ibu 4 anak hanya mampu pakai baju lama di Aidilfitri. Kurang beberapa hari lagi, umat islam akan meraikan Aidilfitri. Bagi kebanyakan keluarga yang mampu, sudah menyediakan pakaian raya sebelum Ramadan menjelang dan tak kurang ada yang sudah berbelanja untuk persiapan raya.
Namun di saat kita bergembira ada insan yang berduka kerana lebih mementingkan perut untuk diisi berbanding membeli baju raya yang harganya paling tidak mencecah RM50 bagi baju jenis kurta dan RM99 bagi sepasang baju Melayu.
Berlainan dialami oleh ibu kepada empat anak dari Kampung Pisang, Peringat di Kota Bharu yang menyifatkan sumbangan beras yang diterimanya lebih ‘mahal’ daripada baju raya.
Rosni Mohd Napi, 44, berkata, sumbangan beras 10 kilogram (kg) itu dapat digunakan pada sambutan Aidilfitri sekali gus meringankan bebannya sekeluarga.
“Suami hanya bekerja buruh dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Dalam keadaan ekonomi hari ini, kami terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri bagi memastikan dapur terus berasap.
“Cukuplah pakai baju raya lama sahaja, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kongsi Rezeki, Sebar Bahagia di Masjid Imanul Fa’izin.
Memetik laporan Sinar Harian, pada majlis itu, sebanyak 15,000 kilogram (kg) beras disumbangkan oleh RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) yang diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Dr Azizan Osman bersama pengasas Noir Health & Beauty Sdn Bhd (Noir), Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu.
Bagi Siti Nurellyana Abdullah, 33, pula dia bersyukur terpilih sebagai salah seorang penerima beras yang disifatkan rezeki terpijak menjelang Aidilfitri.
Ujarnya, ketika ini pendapatan keluarga terjejas apabila suami tidak dapat keluar bekerja.
Dia memberitahu, Aidilfitri kali ini dia hanya membuat persiapan untuk dua anaknya yang berusia sembilan dan 11 tahun sahaja.
“Saya dan suami cukuplah pakai yang mana ada. Asalkan anak-anak berbaju baharu dan beras masih ada untuk dimasak,” katanya.
Sementara itu, Madammu berkata, beliau dan suaminya sangat bersyukur dengan kesempatan berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan di sini.
“Siapa sangka, saya yang dulunya hanya seorang suri rumah kemudian mula berniaga dari situ hingga sekarang dapat bantu ubah hidup ramai wanita di luar sana melalui perniagaan,” katanya.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :–Lebih 10 Tahun Jadi Ibu Tunggal Masih Menunggu Jodoh Kiriman Tuhan “Tak Pernah Terfikir Hidup Solo Selamanya”
Kecewa Enggan Pakai Baju Warna Sedondon Yang Dijahit, Isteri Bakar Baju Raya Suami!
Suami Meninggal Tiba-Tiba, Jadi Ibu Tunggal Sekelip Mata Segera Bangkit Demi Anak!
Bergelar Ibu Tunggal, Namun Ziana Zain Tetap Ajar Anak Wajib Hormati Bapa Mereka