Puncak Gunung Hijau Setinggi 1449 meter letaknya di Bukit Larut Taiping, Perak. Wanita yang mendaki gunung ini secara solo, Rosnah Bt Mohammed (Cik Ros) pun orang Perak. Aktiviti daki Gunung Hijau ini pun bukan yang pertama dia lakukan. Dah banyak puncak gunung ditawannya. Sebelum ini sekitar bulan April dengan beraninya menjejak Casuarina Inn Taiping yang pernah viral.
“Sebuah rumah rehat tinggalan British yang kini menunggu masa menyembah bumi. Oleh sebab, baru-baru ini viral pasal kawasan ni. Aku pun pergi tengok sendiri sementara tengah “femes” ni. Katanya berhantu.
“Lokasinya belakang penjara Taiping. Belok simpang kanan belakang tandas awam depan replika bola golf Taiping Lake Garden. Jalan cantik…boleh drive kereta sampai pintu.”
“Ada 2 bangunan. Satu mengadap jalan Taman Tasik dan satu lagu (bangunan utama) mengadap penjara. Bangunan utama dua tingkat, kelihatan agak bersih di bawahnya dan banyak bungkusan 3 in 1. Seperti dihuni gelandangan
.”Terkini, cikgu muda ini buat pula catatan pendakian solonya ke puncak Gunung Hijau.
10.30 pagi: Start mendaki dari kaki Bukit Larut.
12.30 tengah hari: Sampai di puncak peranginan (ada cafe dan landskap yang cantik) 9KM.
Sebab tak bawa apa (makanan dan minuman) maka makan di cafe. Nasi lemak yang sedap + teh ais RM10.
1 petang: Mendaki ke menara Telekom (13KM).
2 Petang: Sampai di starting point Gunung Hijau. Jaraknya 200M dari Menara Telekom. Puncak pula 1500M dari starting point. Masuk dengan lafaz bismillah dan tangan kosong. Tawakal sepenuhnya pada Allah.
Trek jelas (terima kasih kepada grup yang buka trek). Turun dan naik treknya. Sesekali kena lalu bawah batang kayu. Banyak kesan tinggalan babi hutan.
2.34 petang: Sampai puncak. Selfie sendiri. Pokok di puncak lebih kurang bukit-bukit lain. Berdaun halus tirus. Tak nampak view Taiping dan laut sebab terlindung pokok. Sekadar intai-intai sekeliling kawasan. Ada laluan turun ke sebelah puncak, tapi sarang labah-labah hutan berlapis-lapis. Tak jadi nak lalu.
2.45 petang: Bergerak keluar.
3.15 petang: Sampai starting point. Terus turun ke bawah. Lepak sekejap di puncak peranginan Bukit Larut.
6.00 petang: Sampai kaki Bukit Larut. Start kereta. Misi mencari Teh Ais.
Kali pertama saya sampai puncak Gunung Hijau. Jika ada pihak nak cerahkan sikit puncaknya dan dapat view yang jelas bandar Taiping dan laut tu lagi bagus dan boleh jadi daya tarikan kepada pendaki-pendaki.
27 September lalu, genap umurnya 34 tahun.
Minat aktiviti lasak sejak zaman sekolah. Sejak kerja stop aktiviti. Tapi aktif semula pada hujung tahun 2016.
Masa itu, saya join wall climbing, flying fox, caving, water rafting, hiking.
Alhamdulillah sepanjang beraktiviti tak pernah jumpa benda pelik. Cuma tak boleh lupa saat lihat awan memenuhi ke puncak gunung/bukit saat matahari mula muncul. Indah sangat.
√ Pastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik. Tahap kecergasan memuaskan.
√ Buat latihan seperti joging 5-10km, 3x seminggu.
√ Ikut kumpulan pendaki yg dipercayai sahaja.
√ Bawa kelengkapan dan keperluan barang-barangan mengikut jumlah hari dan tempat yang nak mendaki. Google sikit gunung/bukit tersebut.
√ Perlu hati-hati dan dengar cakap jurupandu.
√ Atur langkah dengan berhati-hati.
√ Jika perlu memanjat batu untuk gunung/bukit berbatu, lihat pada step orang sebelum kita.
√ Jangan ingkar arahan jurupandu.
√ Apa-apa berlaku… jangan panik dan sentiasa bertenang.
√ Jangan tinggalkan apa-apa jejak, sampah sarap atau apa saja.
1. Untuk kesihatan. Mendaki untuk mengekalkan kecergasan. Saya perlu kekal sihat untuk beribadah dan bekerja.
2. Terapi diri. Memberi 1 kepuasan dan menghilangkan segala tekanan apabila mendaki. Berada di puncak seolah caj energi positif pada diri. Apatah lagi udara yang segar dan tak tercemar.
3. Mendidik diri. Banyak perkara yang dapat dipelajari dari alam.
4. Berkongsi keindahan dengan insan lain. Gambar pemandangan di puncak sangat cantik dan unik. Tidak semua orang diberi peluang untuk sampai ke puncak. Jadi gambar-gambar yang diambil dapat dikongsikan dengan orang lain.
Ramai pasangan suami isteri yang ikut mendaki. Malah ada yang bawa anak-anak. Kawan saya ada yang bawa baby 1 tahun bermalam dalam hutan.
Foto: Cik Ros