Berangan Nak Jadi Wartawan? Hadap Dulu Situasi Ini!

Share

Soalan pertama orang akan tanya bila tahu saya kerja sebagai seorang wartawan adalah, “seronok tak kerja wartawan? Mesti seronok kan dapat jumpa ramai orang.” Apa jawapan saya?  Ya, memang seronok sebab saya minat dunia penulisan. Tapi, kalau tak tahan cabaran jangan mimpi nak jadi wartawan. Jiwa kena kental, mampu kerja di bawah tekanan, dihimpit deadline. Tak sanggup, bidang ni bukan untuk kamu!

Sepanjang karier lebih 18 tahun berkhidmat sebagai wartawan, bermacam-macam kisah suka duka yang telah dilalui. Bila saya selak satu persatu, ia memberikan 1001 kenangan terindah untuk saya simpan.  Kerjaya sebagai wartawan juga membolehkan saya berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat. Daripada golongan biasa sehinggalah VVIP.

Tak Akan Sama

Setiap tugasan juga ada cabaran tersendiri. Jika berjumpa dengan orang yang kurang bernasib baik, kita jangan meletakkan diri kita lebih tinggi daripada mereka. Cuba selami dan fahami penderitaan dan kepayahan mereka. Kadangkala mereka ada sifat rendah diri yang tinggi. Jadi, sebagai wartawan, perlu bijak untuk membuatkan mereka selesa berdepan dengan kita. Kadangkala kita tak dapat bayangkan situasi apabila kita ke kediaman mereka. Mungkin kediaman mereka terlalu daif. Jangan sekali-kali memperlihatkan diri kita kekok atau tak selesa. Takut mereka kecil hati.

Orang Melayu kita juga kaya dengan budi bahasa. Apabila membuat tugasan yang memerlukan saya ke rumah mereka misalnya, pasti diri akan dilayan dengan cukup baik sehingga kita pula rasa segan. Belum masuk bab dijamu dengan pelbagai hidangan. Hendak menolak, takut tuan rumah berkecil hati pula walau pun ketika itu mungkin kita sedang mengejar masa untuk tugasan seterusnya. Itu menunjukkan mereka meraikan kita sebagai tetamu walau pun itu kali pertama bersua.

Namun nama pun manusia. Ada perangai masing-masing. Pernah juga pengalaman saya, seharian mengadakan fotografi dengan seorang selebriti, dari pagi hingga ke petang di kediamannya. Hanya dihidangkan segelas air sirap saja. Tapi kami tak kisah.  Sebagai wartawan, kami tak pernah minta apa-apa, tak pernah minta kami dilayan bak VIP. Yang penting kerja kami berjalan lancar. Itu belum lagi bab sudah tiba depan pintu rumah, tiba-tiba si selebriti batalkan temu janji. Wartawan, juru foto, juru mekap semua sudah terpacak di depan pagar rumah. Akhirnya, terpaksa kami balik dengan tangan kosong. Memang geram tapi itulah antara di antara cabaran yang terpaksa dihadapi.

Begitu juga bila berdepan dengan golongan VVIP. Ya, kadangkala ada rasa rendah diri bila berjumpa dengan orang yang kaya dan berpengaruh. Hendak melangkah masuk ke kediaman mewah mereka pun dah rasa diri kerdil. Tapi, wartawan kena ketepikan perasaan itu dan bersikap profesional. Tapi, protokol tetap kena dijaga.

 

 

Wartawan juga dikatakan sering mendapat layanan VIP jika ke majlis-majlis. Sentiasa duduk di barisan paling depan. Kami mendapat keistimewaan itu kerana penganjur hendak memudahkan kerja kami. Hadirnya kami ke majlis itu adalah demi tuntutan kerja. Tapi jangan tak tahu. Kadangkala wartawan dilayan seperti kami tak ada nilai diri. Dijemput membuat liputan, tapi tidak disediakan tempat duduk. Tidak dibenarkan masuk ke dewan, dihalau balik dan macam-macam lagi. Kadangkala dijemput ke majlis makan malam, tapi kami tak disediakan makanan walau pun tetamu lain disediakan makanan. Memang kami datang kerja, tapi bayangkan kalau majlis bermula jam 7.30 petang hingga 11 malam, agak-agak kami tak lapar ke?

Skil Berkomunikasi

Apabila hendak menemu bual, wartawan kena bijak untuk memulakan perbualan. Jangan terus ‘terjah’ sahaja. Sebaiknya mulakan dengan perbualan santai untuk mewujudkan mood yang lebih rileks. Barulah orang yang hendak ditemu bual itu juga rasa selesa. Namun, jangan bertanya soalan yang berbaur peribadi.

Sebelum menemu bual seseorang, biasanya saya akan cuba ‘kenal’ dahulu dirinya. Cuba cari maklumat tentang dirinya di internet supaya kita tidak ‘blur’ ketika sesi temu bual nanti. Kena bersedia sebelum menemu bual sesiapa saja. Seeloknya siapkan soalan-soalan sebagai panduan.

Pendek kata, hendak bercerita tentang pengalaman sebagai wartawan memang panjang. Setiap wartawan ada pengalaman masing-masing. Wartawan majalah juga berbeza pengalaman dengan wartawan akhbar. Apa pun masing-masing ada cabaran yang tersendiri dalam merealisasikan tugasan kami. Yang penting, kita minat dengan kerja kita. Apabila dapat menyediakan bahan bacaan yang informatif dan menarik untuk para pembaca, itulah kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tapi kalau nak kerja wartawan sebab nak cari glamor, baik lupakan saja niat kamu itu!

Published by
Shahar