Memiliki bibir yang mungil dan seksi menjadi dambaan setiap wanita. Sesetengah orang sanggup untuk melakukan pelbagai cara termasuklah mengambil risiko. Antaranya wanita yang berimpian memiliki bibir yang seksi sanggup untuk menjalani suntikan bagi mendapatkan bibir yang menepati kehendak.
Namun begitu, sekarang terdapat pelbagai alternatif untuk mendapatkan bibir yang mungil iaitu dengan teknik solekan atau pun menggunakan lip plumper. Tanpa perlu anda melalui kesakitan atau pun suntikan. Terserah anda inginkan teknik yang bagaimana untuk mendapatkan bibir impian sama ada melalui jalan singkat atau lambat.
MWTalkshow hari ini membicarakan tentang “Mungilnya Bibir”. Ramai mengatakan bibir yang mungil atau tebal adalah seksi, benarkah?
Menurut Pakar Estetika Anggun Medi-Klinik, Dr Siti Maria Juwaini, setiap orang memiliki pandangan tersendiri atau kehendak terhadap bibir masing-masing. Istilah bibir yang mungil lazimnya berbalik kepada persepsi anda sendiri.
Seperti mana ada wanita yang inginkan bibir saling tak tumpah seperti Angelina Jolie miliki dan segelintirnya pula inginkan bibir yang nipis. Ia bergantung kepada persepsi dan kehendak sebenarnya.
Di Thailand kebanyakan artis terpengaruh dengan trend “Krachap Lip” iaitu pembedahan plastik bibir. Pembedahan ini akan menghasilkan bibir berbentuk seperti tanduk lembu atau kerbau.
“Tahukah anda sekiranya anda kurang bernasib baik ketika menjalani pembedahan, anda akan mengalami pendarahan dan jangkitan kuman. Lebih teruk terjadinya parut yang besar dan juga menyakitkan.
“Selain itu, suntikan bibir juga kebiasaannya akan meninggalkan parut pada bibir. Sekiranya anda mahu membuang parut, pembetulan untuk mengurangkan parut boleh dibuat. Namun ia hanya boleh mengurangkan parut sahaja tetapi tidak boleh mengembalikan bentuk bibir asal.
“Selain itu, ada di kalangan wanita yang memilih untuk memasukkan filler bagi mendapatkan bibir yang montok dan penuh. Filler adalah satu istilah untuk “menyuntik sesuatu”. Sebenarnya terdapat banyak sumber filler seperti silikon, petroleum jelly dan banyak lagi. Ada yang murah dan ada yang mahal,”jelasnya Dr Siti Maria satu persatu.
Tambah Dr Siti Maria, definisi bibir sihat adalah bibir yang mampu mengekalkan kelembapan, tidak kering, tidak merekah, tidak bengkak, tidak lebam dan tiada ulser. Jika bibir anda memiliki semua ciri ini, bibir anda adalah bibir di kalangan bibir yang sihat.
Selain itu, dia turut menjelaskan tentang punca kekeringan bibir. Kandungan atau bahan gincu ini kadang kala terdiri daripada bahan-bahan membuatkan bibir jadi kering dan iritasi.
“Manakala bagi bibir lebam pula disebabkan oleh salur darah yang terdapat pada bibir apabila penggunaan lipstick terlalu lama, terkena cahaya matahari yang terlalu lama dan juga disebabkan oleh pengaruh genetik membuatkan bibir lebam terjadi.
“Selain itu, tabiat menjilat bibir sepatutnya dielak kerana ianya tidak elok. Air liur memiliki enzim berasid membuatkan bibir kering, pecah, jadi ulser dan seterusnya bibir menjadi hitam,”jelasnya lagi.
Dikatakan bibir penunjuk usia, fakta atau mitos? Dr Siti Maria mengatakan apabila mencecah usia 30-an, kolagen aktif berkurangan di samping lemak yang kurang di bahagian bibir disebabkan faktor usia. Oleh itu, kedut di bahagian bibir akan berkedut setelah berusia.
Sarannya di akhir perbualan, minumlah air dengan banyak, jangan merokok serta kurangkan memakai gincu bila perlu sahaja. Sekiranya ingin menjalani rawatan bibir, pastikan anda mendapatkan khidmat doktor yang bertauliah dan cari klinik yang berdaftar. Insyallah semuanya akan selamat.
Bagi yang ketinggalan menonton MW Talkshow tengahari tadi, jangan lupa saksikan siaran ulangan di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 dengan topik Mungilnya Bibir.