Gara-gara berang dan sakit hati kerana sering ditanya oleh jiran bila beliau akan berkahwin dan dianggap ‘tidak laku’, seorang lelaki bertindak nekad membunuh jirannya yang juga merupakan seorang ibu yang sedang hamil.
Memetik laporan Detik.com, lelaki berkenaan, Alias Nunur, 28, telah membunuh Iis Aisyah, 32, di rumah wanita berkenaan selepas ditemui terbaring di rumahnya di Kampung Pasir Jonge, Desa Sukawangi, Singajaya, Garut di Jawa Barat kira-kira jam 8 malam 19 Januari lalu.
Menurut Pesuruhjaya polis, Budi Satria Wiguna, sebelum kejadian Nunur sedang termenung di depan rumah, mangsa yang ternampak Nunur telah menegur dan menasihatkan beliau supaya cepat kahwin.
Katanya mangsa telah telah mengeluarkan kata-kata;
“Cepat-cepatlah kahwin, orang lain sudah ada anak dua, tiga orang, ini kau belum laku-laku.”
Lantaran rasa dirinya terhina dan tersinggung dengan teguran tersebut, suspek lalu bertindak datang ke rumah mangsa. Nunur kemudiannya dipelawa masuk ke ruang tamu kerana mangsa tidak menyangka suspek memasang niat jahat.
Menurut polis, ketika mangsa menuju ke sebuah bilik, suspek mengekorinya dari belakang sebelum bertindak menolak wanita hamil itu ke atas katil.
Walaupun cuba melawan dengan menggigit jari suspek, itu tidak berupaya melawan tenaga dan kemarahan suspek. Di situ, mangsa telah dicekik hingga mati.
Selain itu, suspek juga telah mengambil telefon bimbit mangsa dan wang tunai berjumlah 800,000 Rupiah (RM230) sebelum melarikan diri ke Jakarta namun pihak berkuasa berjaya mengesan dan telah ditangkap pada 29 Januari lalu. Polis turut menyita beberapa barang bukti lain seperti motosikal, bantal, selipar, baju kemeja dan kain.
Kesimpulannya, hati – hatilah dalam menuturkan kata-kata. Sebaiknya elakkan bertanya perkara- perkara sensitif seperti hal urusan jodoh, anak, penceraian dan sebagainya yang mampu mengguris hati dan perasaan orang lain. Bila emosi dah tersinggung dan mulai terbit rasa dendam, macam-macam boleh berlaku. Ibarat kata pepatah kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Sumber: Astro Awani & News Detik