Beranak ramai atau sikit bukan bergantung kepada kekuatan mental, tapi itu adalah ketetapan Allah.
Kadang-kadang ibu yang beranak ramai ini segelintirnya bukan mereka berkehendak begitu. Tetapi ketetapan Allah SWT mengatasi segalanya.
Beranak Ramai Atau Sikit
Saya lelaki, tapi saya faham satu perkara.
Beranak ramai atau sikit ni bukan ditentukan oleh mental kuat atau tak.
Semua itu ketetapan Allah kerana ujian ibu mengandung, bersalin dan berpantang ini tak sama setiap orang. Berbeza setiap anak.
Hanya yang lalui sendiri saja yang tahu, keperitan yang dirasai dari awal hingga berpantang.
Bukan Bergantung Kepada Kekuatan Mental
Ada kawan cerita. Lepas pengalaman bersalin anak kedua, dia sudah serik untuk mengandung dan beranak lagi.
Masa mengandung anak kedua itu, dia kena alahan teruk, muntah-muntah sampai kena tahan wad. Semasa berpantang, baby dia menangis non-stop selama 3 bulan.
Dengan diri sendiri belum terurus, sakit bersalin belum hilang, luka belum kering, tenaga hilang belum berganti, nak kena bersabar dengar tangisan anak. Koyak teruk mental kawan saya tu.
Setiap hari air mata tumpah. Setiap hari nangis seorang diri masa mandi untuk legakan hati.
Berubat? Dah tak tahu nak berubat di mana.
Doktor? Dah tak tahu nak pergi jumpa doktor mana.
Dah tak tahu nak buat apa dah.
Ads
Sampai satu tahap, satu hari tu anak nangis non-stop. Dia mesej suami,
“Boleh tak nak simbah je baby ni?”
Tapi Itu Ketetapan Allah
Mujur Allah masih sayang dia dan anak dia, tak jadi apa-apa perkara buruk. Suami berjaya tenangkan dia dan kembalikan kewarasan.
Di sini kita belajar bahawa suami juga main peranan bantu dalam hal ni.
Sebenarnya, mengandung, bersalin, berpantang ni, bukan isteri saja yang perlu menanggung.
Yang silapnya, ramai fikir isteri saja yang kena hadap semua itu.
Dari mula mengandung sampai berpantang, orang lelaki boleh teruskan hidup seperti biasa. Boleh keluar “ngeteh” dengan kawan sampai lewat malam. Tinggalkan isteri dengan baby dengan alasan susu cap gantung sudah ada tak perlu bancuh. Sumbat terus keluar.
Bukan! Bukan macam tu.
Maaf cakap, dulu pun saya fikir macam itu juga. Tapi selepas lihat sendiri betapa seksanya Surihati saya melahirkan tiga zuriat kami, saya faham suami selaku orang paling rapatlah yang kena main peranan bantu isteri lalui fasa dari mengandung sampai pulih sepenuhnya semula.
Jika nak isteri beranak ramai,
Isteri tengah mual dan muntah, tolonglah gosok dan usap belakang dia. Biar lega. Picit kepala dengan minyak, biar hilang pening.
Isteri kena “cramp” (tarik mengkarung) malam-malam, tolonglah betulkan kaki dia. Kendurkan semula urat betis tu. Sapu dan gosok minyak biar kurang rasa tegang otot tu.
Isteri dah mula rasa sakit contraction tu, tolonglah berada di sisi, pegang kedua tangan dia, bagi kata-kata semangat. Lap peluh yang menitik di dahi dia.
Isteri sudah disorong masuk wad bersalin tu, tolonglah ada di tepi katil bacakan surah, doa dan zikir. Lihat sendiri badan isteri terangkat-angkat, dada turun naik tahan seksanya saat zuriat anda nak lalui bukaan kecil tu. Amati sendiri betapa banyak darah isteri yang telah tumpah. Betapa letih dan lelah nak lalui semua ni.
Isteri dalam pantang, tolonglah beri sepenuh perhatian kepada isteri. Pakaikan dan ikat barut. Masakkan lauk berpantang. Carikan tukang urut. Bakar dan tungkukan. Pakaikan stokin.
Ads
Isteri nak menyusu, tolonglah bagi sokongan dan semangat. Buat urutan dibelakang badan. Tolong hilangkan bengkak susu. Bantulah sendawakan dan tidurkan baby.
Bekerjasama Dengan Isteri
Banyak? Tak banyak pun.
Semua tu benda yang para isteri kena lalui. Semata-mata nak beri zuriat dan keturunan buat suami.
Kalau rasa penat dan tak mampu,
Ketahuilah….
Isteri juga penat untuk lalui semua ini. Namun sayangnya Allah kepada wanita bergelar isteri, Dia jadikan mereka kuat dan tabah untuk harungi semua ini.
Isteri tak minta pun ditukarkan suami yang kena mengandung ,bersalin dan lalui semua tu.
Isteri hanya minta suami yang faham, ambil berat.
Untuk sama-sama berpayah tempuhi saat sukar ini.
Malah, untuk sama-sama berperit harungi saat jerih ini.
dan untuk sama-sama bina keluarga bahagia yang diimpikan selama ini.
Itu sahaja.
Silakan follow saya —> Azlan Noor untuk baca posting-posting terbaru setiap hari. TQ.
Mingguan Wanita : Anak ramai atau sedikit pasti ada ujiannya. Segalanya berbalik kepada sikap dan penerimaan suami, isteri dalam menerima kehadiran cahaya mata.
Sebelum berkahwin, ‘pantang’ telefon berbunyi pasti pasangan akan bertanya. Begitu juga bila awal-awal perkahwinan. Kadang-kadang pasangan boleh rimas dengan perasaan cemburu itu, walhal semua itu hanyalah kawan sahaja dan tiada ada yang lebih daripada itu.
Ini cerita sebelum dan di awal perkahwinan. Hakikatnya, selepas lebih daripada 10 tahun perkahwinan, perasaan cemburu itu semakin hilang. Adakah ini bermakna, pasangan tidak lagi ada perasaan sayang. Atau adakah kerana perkahwinan yang dibina selama berbelas tahun ini tidak ada rasa cinta tetapi lebih kepada kepercayaan pasangan dan tanggungjawab pada keluarga semata-mata. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat.
Ada beberapa sebab yang mudah menimbulkan rasa cemburu. Antaranya, bila pasangan kita menunjukkan kasih sayang kepada orang lain, ataupun bila dirasakan kasih sayang pasangan mulai berkurangan kepada kita, sedangkan perhatiannya diberikan kepada orang lain. Cemburu ini baik, malah Rasulullah s.a.w menganggap suami yang tiada rasa cemburu apabila isteri ada hubungan dengan lelaki lain sebagai dayus.
Namun, cemburu yang berlebihan akibat tiada rasa kepercayaan kepada pasangan akan menyebabkan salah faham dan rasa dikongkong serta tidak dihargai. Biasanya, situasi begini tidak membahagiakan, sama ada untuk suami ataupun isteri.
Hilang Rasa Cemburu
Tidak dinafikan kemungkinan hilang rasa cemburu disebabkan berkurangnya kasih sayang terhadap pasangan, tetapi ukuran kasih sayang hubungan suami isteri tidak boleh dinilai dengan cemburu semata-mata.
Secara fitrahnya, manusia biasa akan ada sifat cemburu. Ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kesan trauma emosi, fitrah songsang, ataupun kadang kala ada yang hidup dalam ‘denial’ terhadap diri sendiri.
Ada juga yang boleh menguruskan fitrah mereka dengan baik, sokongan kebijaksanaan untuk mengenepikan rasa cemburu yang ditakuti memberi kesan negatif dalam hubungan. Sebenarnya dalam diri kita tetap ada fitrah rasa cemburu, bergantung bagaimana kita menguruskannya. .
Perlu Ada Rasa Cemburu
Perkahwinan yang sudah menjangkau masa yang lama, perlu ada walaupun tidak sekuat di awal perkahwinan. Rasa cemburu ini lebih stabil apabila kepercayaan kita semakin tinggi tetapi disebabkan penghargaan kepada pasangan kita sebagai pasangan yang terbaik, sudah tentu tetap ada rasa cemburu andainya orang yang kita sayang dan membahagiakan kita berkongsi dengan orang lain.
Walau bagaimanapun, cemburu secara matang dan praktikal pastinya dapat mengenalpasti sempadan yang perlu dicemburui ataupun ditoleransikan. Pengalaman dan kematangan akan menstabilkan rasa cemburu yang berpatutan. Malah, ia mungkin semakin menyusut bagi pasangan yang hidup subur dalam kepercayaan antara satu sama lain.
Tanda-tanda Cemburu
Berlaku perubahan fizikal, emosi dan sikap – Pasangan jadi lesu, diam, tidak sihat kesan daripada perubahan fizikal yang terhasil. Perubahan emosi yang terlalu prejudis, risau berlebihan, membebel.
Perubahan sikap acuh tidak acuh, lebih pendiam, meninggikan suara dan sebagainya.
Bukan Tidak Sayang – Cemburu adalah salah satu tanda sayang, tetapi tidak bermakna bila tidak cemburu itu tidak sayang. Malah kalau cemburu keterlaluan boleh merimaskan dan mengganggu keharmonian hubungan.
Suami – Bercakap lemah lembut, cakna, ‘sweet’ melayan perasaan isteri, semua ini adalah antara pengorbanan oleh suami bila menyayangi isterinya.
Isteri – Akur setiap kali keputusan suami dengan hormat, tidak melawan, menjaga kecantikan, sentiasa ada bila suami memerlukan, merendah diri dan mengalah walaupun kadang kala tidak berpuas hati, semua ini adalah pengorbanan oleh seorang isteri yang melawan fitrahnya semata-mata untuk membahagiakan suami.
Tip Kekalkan Hubungan Kasih Sayang Suami Isteri
Suami isteri perlu suburkan rasa saling mempercayai. Elakkan prejudis dan suka
mempersoalkan setiap perkara sehinggakan perkara kecil menjadi isu prejudis.
Jaga kepercayaan pasangan dengan berterus terang agar hubungan kita tidak terganggu dengan hubungan lain yang boleh menimbulkan curiga dan cemburu. Sentiasa utamakan hubungan bersama dalam rumah tangga.
Isteri, elakkan penghormatan kepada lelaki lain. Suami, elakkan keprihatinan kepada wanita lain. Ini mudah menimbulkan rasa cemburu pada pasangan.
Elakkan daripada sikap suka ambil tahu semua perkara kerana mudah menimbulkan salah faham, apatah lagi bila lebih percayakan orang ketiga.
Hargailah pasangan di saat kita merasa bahagia dengannya dan bersabarlah ketika kita berkorban untuk membahagiakannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menjadi menantu ‘favourite’ antara yang menjadi idaman ramai para isteri. Bertuahlah wanita yang apabila berkahwin punya hubungannya sentiasa wangi dan mesra dengan mak mentua.
Sebaliknya bagi menantu yang sentiasa ‘panas’ sahaja bila bersama mak mentua, tentunya ia satu situasi yang menyedihkan. Amat pedih bagi mereka yang hubungannya sentiasa tegang.
Tip Jadi Menantu ‘Favourite’
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya. Kita semua nanti akan dapat rezeki jadi mak mentua. Moga Allah mudahkan.
INI TIP BERGUNA KHAS UNTUK MAK MENTUA
1. Kalau anak perempuan, minta sahajalah menantu beri mas kahwin semampunya. Tak payah minta hantaran. Kahwinkan anak dengan ringkas sekali. Kalau menantu itu anak Sultan Brunei, tak apa. Buatlah kenduri 40 hari 40 malam. Tak ada siapa kisah.
2. Jangan bagi anak dan menantu tinggal di rumah lebih dari 2 bulan. Bulan ketiga kahwin, suruh sahaja mereka keluar rumah dan cari tempat lain.
3. Tak perlu masuk campur hal anak menantu. Suka hati mereka hendak susun perabot macam mana, nak potong sayur style apa, nak masak nasi pakai dapur apa! Biarkanlah mereka!
4. Menantu kalau perempuan, biarlah dia nak buat apa di rumahnya. Nak mandikan anak ke atau mandikan anak 2 hari sekali ke. Biarlah. Kalau cucu masam sangat, mandikan sendiri.
5. Biar anak kita hidup dengan orang yang dia sayang cara dia. Kalau anak lelaki kita nak tolong isteri dia masak dan mengemas, biarkan. Dia sudah besar, tahulah dia nak hidup macam mana.
6. Tak perlu gosip dengan anak-anak yang tentang menantu. Ingat! Anak kita pun menantu orang juga.
7. Kalau anak dengan menantu bergaduh, beri tahu anak, tak perlu mengadu. Selesaikan sendiri.
8. Kalau menantu jenis orang susah tak berduit, jangan dibezakan dia. Mana tahu masa depan nanti dialah yang basuhkan berak kencing kita sebab dia yang paling ada masa. Menantu yang kaya sibu bekerja. Jangan menyesal pula.
9. Jadilah mak mentua yang waras dan beriman.
10. Jangan buat tak tentu dengan anak orang. Allah itu tidak lupa.
Usah Cemburu Dengan Mak Mentua
10 cara jadi menantu favourite
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mentua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mentua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mentua dan ipar-duai yang lain.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mentua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mentua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Murah hati
Untuk mengambil hati mentua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mentua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Usah cemburu dengan ibu mentua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mentua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mentua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mentua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mentua anda gembira.
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa peka apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mentua. Fikir sebelum bercakap!
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mentua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mentua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mentua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mentua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mentua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016 & Normaliza Mahadi
Jodoh setiap orang tak sama. Apabila Allah sudah menetapkan jodoh dengan wanita berusia, itulah ketentuanNya yang perlu anda terima. Semua itu adalah rahsia Allah. Cuma Dia yang tahu alasan, sebab dan musababnya, mengapa isteri lebih berusia jadi jodoh anda.
Jangan menolak ketentuanNya. Sekali anda sudah memiliki jagalah pasangan dengan sebaik-baiknya. Ada yang kata rezeki akan jadi lebih murah. Anda juga akan jadi lebih tenang dan sabar. Wanita berusia ini matangnya lain macam. Haa. sebab itu kena selalu positifkan diri.
Wahai suami, jika wanita berusia sudah menjadi jodoh anda nak pastikan agar hubungan jadi lebih mesra dan lebih bahagia cuba ikuti 7 tip yang dikongsikan ini.
1. Cari Sisi Matang Isteri
Sebagai suami, anda bertanggungjawab kepada kerukunan rumah tangga yang dibina. Fahami isteri anda dan jadikan diri lebih matang. Itu tidak bermaksud anda harus tinggalkan perangai ‘gila-gila’. Anda masih boleh menjadi diri anda, cuma perlu ‘mendewasakan’ sedikit pemikiran dalam beberapa perkara.
2. Kenal Rakan Isteri, Akan Kenal Juga Isteri Anda
Mungkin semasa bercinta anda tidak memahami sepenuhnya sifat isteri anda. Untuk membantu anda menilai dirinya disarankan mendekati rakan-rakannya.
Dari situ anda dapat melihat bagaimana perwatakan isteri anda. Selain itu, elakkan sikap cemburu buta apabila isteri anda meluangkan waktu bersama rakan-rakannya.
3. Tak Salah Pun Nak Bersaing Dengan Kematangan Isteri
Berkahwin dengan isteri lebih tua miliki tuahnya yang tersendiri. Mana tidaknya, isteri lebih ‘makan garam’ berbanding anda yang lebih berusia muda.
Namun jangan harap isteri anda tahu semuanya dan mengambil semua tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh anda. Jadi apa salahnya untuk menyaingi ilmu dan pengalaman yang ada pada isteri.
4. Masa Ini Dah Kena Bergaul Cara Orang Dewasa
Sebagai suami, anda mesti menghadapi masalah untuk memasuki zon atau era zaman isteri. Untuk membantu anda memahami isteri apa kata anda buat perubahan sedikit pada diri.
Bergaul dengan golongan yang jauh lebih berusia, secara tidak langsung anda akan mula terikut-ikut cara ‘orang dewasa’ bergaul. Jadi, lebih mudah anda mengenalinya.
5. Awas! Isteri Matang Sensitifnya Lain Macam
Ini apa yang harus anda harungi, perlu lebih sensitif apabila berkata-kata. Jangan mudah terikut-ikut darah muda, ada kalanya mudah melatah dan suka cakap lepas.
Mungkin bagi kawan-kawan sebaya ia tidak menjadi masalah kerana mereka faham trend ketika itu dan hanya dianggap gurauan. Tetapi harus diingat tidak semua orang boleh terima cara itu, lagi-lagi bagi orang yang berjiwa sensitif. Fahami jiwa isteri anda.
6. Bertolak Ansurlah..
Bertolak ansur dalam perhubungan membuatkan rumah tangga anda aman. Ia bukti yang boleh ditunjukkan betapa besarnya kasih sayang anda padanya. Jika anda berdua mengamalkan perkara ini, percayalah, hubungan anda akan sampai ke akhir hayat.
7. Bersabar.. Jangan Cuba Ubah Suami
Memang rumit ada sahaja yang tidak kena, lagi-lagi bila isteri anda cuba mengubah anda menjadi seseorang matang. Tidak salah jika anda banyakkan bersabar dan cuba ikuti caranya.
Tetapi, jika isteri anda cuba mengubah diri anda sepenuhnya, rasanya lebih elok anda berhenti. Mungkin untuk masa terdekat isteri anda suka dengan perubahan itu, namun lama-kelamaan ia akan bosan apabila anda tidak ada jati diri dan pegangan hidup.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!