Bentuk Keyakinan Diri Anak Dengan Agama

Share

Keyakinan diri penting bagi diri seseorang. Dengan keyakinan diri yang kuat, membolehkan seseorang itu menunjukkan potensi diri yang sebenar. Keyakinan ini terbentuk sejak dari awal usia anak.

Panduan

Justeru peranan ibu ayah dalam perkara ini amat penting. Galakan serta kasih sayang yang diberikan amat membantu anak-anak membina keyakinan dalam diri. Walau bagaimanapun, perkara pertama yang harus dilakukan adalah menyediakan serta memberikan penjelasan tentang pegangan dan panduan yang harus memandu hidup anak.

Ini kerana, dengan mengenali asal usul dan peranan mereka dalam kehidupan bukan sahaja membantu anak untuk bertindak malah memberikannya arah dalam menentukan kehidupan.

Walaupun usia anak masih kecil, namun mesej yang ingin disampaikan dalam mendidik mereka harus konsisten. Sedari kecil minda anak menyerap begitu banyak maklumat yang seterusnya akan dikembangkan setelah dewasa dan menjadi makna dalam diri mereka.


Jalan Kehidupan

Peranan kita di awal usia ini adalah memberikan input-input serta maklumat-maklumat yang baik agar sewaktu dia sudah mampu membina sebuah makna, makna tersebut selari dan sejajar dengan shariat dan hakikat hidup beragama. Mengapa perkara ini penting?

Hal ini kerana, agama adalah jalan kehidupan. Ia bukan hanya ritual yang harus diamalkan malah ia adalah panduan untuk mencapai kebahagian hakiki di akhirat. Hakikat kehidupan manusia yang diberikan kehidupan di dunia adalah untuk menyempurnakan janji yang diucapkan dihadapan Allah SWT harus diperjelaskan kepada anak. Agar kehidupan mereka sejajar dengan perlaksanaan ini.

Tahap

Cara penjelasannya adalah mengikut tahap. Jika anak berada dalam fasa pertama kehidupannya, apa yang sering ibu ayah sebut, lazimi dan tunjukkan melalui tingkah laku mereka adalah ladang informasi terbesar buat mereka. Kemudian disusuli dengan penerangan ringkas yang diberikan sedikit demi sedikit.

Analogi bagi menerangkan perkara yang kompleks amat membantu. Anak-anak kecil kita amat suka bercerita dan mendengar cerita, jadi, jadikanlah kekuatan ini sebagai pendekatan utama dalam penyampaian kita.

Anak harus jelas, Allah bukan hanya di tikar sembahyang malah Allah adalah tempat kita bergantung dan berharap dalam setiap perkara. Dia bukan sahaja dirujuk sewaktu kita dalam kesusahan malah tempat kita menyatakan syukur dan kegembiraan. Dalam apa jua perkara kita harus berharap hanya kepada-Nya kerana kita adalah hamba-Nya dan pengakhiran yang diharapkan adalah pertemuan dengan-Nya

Sayang Allah

Bagaimana perkara ini membantu membina keyakinan dalam diri anak? Ia terjadi apabila anak jelas mengetahui bahawa kehidupannya di dunia adalah sebagai hamba Allah dan dia hanya harus mengharapkan Allah sayang dan suka kepadanya bukan orang lain dan bukan juga perkara lain. Orang dan perkara lain yang ada dalam kehidupannya adalah perkara yang harus diuruskan dengan baik sebagaimana yang Allah kehendaki.

Dengan pengetahuan bahawa ada jalan yang harus diikuti dan adanya Allah yang sentiasa menerima keadaan hamba-Nya tanpa syarat maka di sini anak tidak sekali-kali akan menumpukan perhatiannya kepada perkara yang sia-sia.

Bahkan perkara-perkara ini tidak menjejaskan jati diri dan keyakinannya dalam menempuh kehidupan. Malah dia akan terkesan jika melakukan perkara yang menyalahi syariat kerana pada kefahamannya Allah tidak suka dan segera memperbaikinya. Malah dengan mengetahui Allah menyukai hamba-Nya yang berusaha memperbaiki kesilapannya maka keyakinan dirinya akan cepat kembali.

Perhatian Serius

Perkara ini harus diberikan perhatian serius dalam mendidik anak-anak. Mereka harus mengetahui bahawa ada jalan yang harus diikuti dalam menelusuri kehidupan mereka sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.

Di sinilah sumber keyakinan yang sebenar. Keyakinan yang didasarkan dengan kekuatan ini akan lebih lama bertahan daripada keyakinan yang didasarkan oleh sumber luaran dan persekitaran.

Realiti Dunia

Justeru, segmen pendidikan tauhid ini harus terlebih dahulu diberikan agar dalaman dan cara pandangnya terbentuk lebih dahulu sebelum dia berhadapan dengan realiti dunianya yang begitu mencabar. Ini bagi menyediakan jati diri yang jitu sebagai seorang Muslim yang mampu berhadapan dengan dunia yang penuh cabaran.

Rakan penjaga yang dihormati, dahulukan perkara perlu didahulukan dalam mendidik anak-anak. Agar dia tidak tersasar daripada jalan syariat dan mampu memahami hakikat yang penting dalam dirinya dan kehidupannya. Jati diri sebagai seorang Muslim yang mempunyai tujuan kehidupan ini harus menjadi pegangan yang kuat dalam dirinya kerana ini jugalah sumber keyakinan hakiki. Wallahuallam.

Artikel ini dikongsikan oleh Dr. Nurul Asiah Fasehah bt. Muhammad, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, juga penulis tetap ruangan PERMATA HATI di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.

Published by
Nurul Azwa Abu Bakar