Bentuk Anak Perempuan Yang Manis Sikap Dengan 6 Didikan Ini

Share

Tanggung jawab seorang anak ialah mentaati ibu bapanya. Di antara keistimewaan anak yang soleh ialah anak yang mendengar kata. Kehadirannya di rumah menenangkan ibu bapa.

Wajahnya sejuk mata memandang. Saat anak bersuara, kata-katanya baik dan intonasi sederhana. Di sekolah, dia tekun menuntut ilmu, berdisiplin dan disenangi sekalian rakan dan gurunya

Sebaliknya, anak menjadi negatif sama ada di rumah mahupun di luar kerana hatinya sudah rosak.

Jiwanya penuh dengan keinginan untuk bermain, bersosial dan melepak. Ia boleh mengakibatkan pelbagai masalah sosial dan jenayah, jika tidak dibendung. Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya masalah sosial di kalangan remaja.

Bina Karakter Anak Perempuan

Dalam perkara mendidik anak-anak, ibu bapa wajar bersikap serius untuk membina karakter anak khususnya anak-anak perempuan.

Anak perempuan berbeza dengan anak lelaki kerana anak perempuan sifatnya lemah, memerlukan perlindungan yang lebih dan cenderung untuk mudah dieksploitasi oleh lelaki di luar sana yang kebanyakan berniat negatif terhadapnya.

Pada hari ini, terlalu banyak isu dan cabaran anak-anak yang memerlukan kalangan ibu bapa celik dan berpengetahuan futuristik agar tidak ketinggalan dengan teknologi komunikasi zaman baharu. Contohnya:

Aplikasi WhattApps

Facebook

Twitter

Youtube

E-mel

Live TV

Live Chat

E Video

E Learning

Ibu bapa tidak boleh bersikap berserah pada takdir Ilahi mahupun oleh didikan guru di sekolah anak semata-mata.

Sikap ini jelasnya disebut lepas tangan atau zon selesa atau ambil mudah untuk membiarkan sahaja tanpa ada ibu bapa mengambil inisiatif untuk mempelajari dan mengawal penggunaan komunikasi massa dalam kalangan anak-anak.

6 Cara Bentuk Sikap Anak Perempuan

Beberapa kaedah ibu bapa boleh lakukan dalam usaha membina konsep kendiri unggul di kalangan anak-anak terutama anak-anak perempuan (Muslimah).

Ianya adalah merupakan satu kaedah komunikasi dalam institusi kekeluargaan Islam yang membudayakan nilai-nilai komunikasi terbaik seperti berikut:

1. Mentaati Ibu Bapa

Perintah mentaati ibu bapa serta larangan meninggikan suara dan mengherdik anak-anak jelas dalam al-Quran. Mendidik anak-anak mentaati ibu bapa bukan terletak di tangan guru sekolah semata-mata.

Ibu bapa perlu menerapkan nilai ini semenjak mereka kecil dengan menunjukkan sikap dan contoh teladan yang boleh diikuti oleh anak-anak sendiri.

Gambaran kita sebagai ibu bapa yang melayan baik datuk dan nenek mereka menjadi cermin dan ikutan untuk anak-anak mencontohinya.

Ketegasan ibu bapa kepada perkara yang berkaitan agama, keselamatan dan kehormatan menjadi cermin untuk anak-anak lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu yang merosakkan dirinya.

2. Memohon Keizinan

Islam amat menitik beratkan peraturan dan disiplin dalam kehidupan. Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadikan amalan meminta izin sama ada mahu keluar rumah, jumpa kawan-kawan, pergi tuisyen, pasar, kedai untuk beli-belah sebagai satu budaya mahmudah (Islamik) dalam keluarga.

Para ibu bapa perlu menerapkan amalan meminta izin dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil. Sekiranya ini telah menjadi amalan, lebih mudahlah ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak dan tingkah laku mereka.

3. Bermusyawarah Dalam Institusi Keluarga

Ibu bapa perlu membudayakan amalan bermusyawarah dalam institusi keluarganya. Berbincang boleh dilaksanakan secara tidak formal, misalnya ketika makan tengah hari atau minum petang.

Dengan sistem komunikasi yang bersifat terbuka, anak-anak akan berasa selamat untuk berkongsi masalah dan pengalaman, isu personal atau apa sahaja dengan ibu bapa.

4. Bataskan Pergaulan Lelaki Dan Perempuan

Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan mesti diberi penekanan oleh ibu bapa bagi mengelakkan isu maksiat, zina dan sumbang mahram.

Menjaga adab pergaulan dalam kalangan anak-anak dan membatasi aktiviti sosial dalam kalangan anak perempuan adalah amat dititikberatkan demi menjada maruah dan keselamatan anak-anak perempuan kita.

Jangan jadi ibarat pepatah Sudah terhantuk ditimpa tangga atau mencegah lebih baik daripada merawat.

5. Dekati Rakan Sebaya Anak-anak

Ibu bapa mesti ambil berat tentang siapa rakan sebaya anak-anak. Di antara perkara yang mesti dilakukan ialah mengetahui siapa nama, ibu bapa mereka, rumah mereka, nombor telefon dan sebagainya.

Tujuannya adalah untuk menimbulkan kemesraan dan kejeleketan hubungan perorangan yang merentasi sempadan hubungan komunikasi antara ibu bapa dan rakan-rakan anak sendiri.

Apa yang penting, semasa proses sapaan oleh ibu bapa terhadap rakan atau sahabat anak-anak itu, ibu bapa perlu bersikap rendah hati, bercakap dengan bahasa yang mudah dan nada yang rendah.

6. Bersama Ketika Keluar Rumah

Undang-undang Islam telah menunjukkan konsep melindungi dan mencegah anak khususnya anak perempuan daripada gejala negatif ialah apabila seseorang anak perempuan itu keluar daripada rumah, hendaklah bersamanya ditemani seorang muhrim.

Ini untuk menggelakkan gejala sosial, kecelaruan ummah dan krisis moral dalam kalangan generasi muda.

 

Mak Ayah Itulah Role Model Anak-anak

Proses mendidik anak agar berjiwa rabbani, celik belajar dan berperibadi mulia memerlukan kemahiran, pengetahuan dan penghayatan keagamaan yang tinggi.

Hakikatnya ibu bapa adalah role model kepada kalangan anak-anak. Berkat daya usaha yang tidak mengenal putus asa, sudah tentu ibu bapa akan berjaya melahirkan anak-anak yang cemerlang di dunia dan akhirat. Jangan pernah berputus asa.

Setiap kesulitan hidup pasti menjemput satu nikmat kejayaan pada masa depan.

Dengan kerjasama Pakar : Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga.

Facebook: Ahmad Kamal Ariffin

Published by
Nora