Ibu anak 5 hero, Siti Maisarah Saifuddin bertungkus lumus belajar menjahit tahun ini demi menghasilkan sendiri baju baru untuk anak-anak dan suami. Tahun ini biasa saja buat ibu ini. Tiada pun baju baru untuknya. Tapi dia telah menyediakan sendiri baju baru untuk suami dan 5 anak lelaki yang dijahit sendiri dengan kos keseluruhan tak sampai RM100.
Bila anak-anak ramai tentulah ibu akan memikirkan cara mana yang boleh dilakukan untuk berjimat. Mak-mak akan berasa kagum dengan kegigihan ibu ini mahu membahagiakan hati anak-anaknya. Ini adalah hadiah istimewa lagi luar biasa dari ibu untuk keluarganya.
6 Jejak Perlu Disegakkan Serapi Mungkin
Subuh Subuh adik bongsu whatssapp kakak comel dia.
Almaklumlah, kakakmu masih di sini.
Tahun ni paling hectic buat saya..
Paling mencabar emosi dan jiwa.
Paling terasa bila anak sudah memasuki 5 orang.
Bereti 6 orang jejaka perlu disegakkan serapi mungkin.
Betullah bila jadi ibu.
Anak-anak didahulukan.
Tiada satu yang saya beli untuk saya kali ni.
Hanya untuk anak-anak yang excited beraya.
Sebab tahun ni tahun paling semangat berpuasa bagi mereka.
2 bulan lepas, kedai lelong kain.
Harga kain belasan ringgit semeter, jadi rm7 sahaja sebab nak habiskan stok.
BFF kesayangan pula hadiahkan Abaya Sifu warna mustard.
Masha Allah, rezeki!
Mujurlah haritu tergerak gatal tangan beli kain,
Tanpa tak sengaja terjadi tema kuning tahun ni.
Ads
Namun, bukan tema yg saya nak cerita.
Tapi hecticnya tahun ini.
Kali Ini Nekad Jahit Sendiri
Tahun lepas berhabis ratusan ringgit untuk pakaian.
Raya kali ni, nekad nak jahit sendiri.
Drive seorang diri, menuntut ilmu last minit dengan sifu BFF kesayangan Nor Ashikin Hashim.
Mujurlah BFF saya comel dan penyabar, dia layan kita sehabis comel.
Ads
Saya zero bab kurta ni.
Maka sifu ajarkan saya, siap potong ikut pola.
Then merempitlah kita menjahit dengan basic ilmu.
Dah banyak malam tak cukup tidur, demi raya untuk anak-anak.
Kain 7 meter, bajet sekitar rm60-70.
Dapatlah baju en suami, dan 5 hero kesayangan ummi.
Beli kain buat seluar slack dengan bajet rm24, dapatlah 7 helai seluar anak-anak.
Mungkin raya kali ni hanya biasa bagi umi.
Tapi sekurangnya luar biasa bagi anak-anak.
Ads
Dan kali ini umi faham..
Kenapa 20 tahun yang lalu,
Kami 9 beradik sedondon baju raya.
Dan mak yang jahitkan baju kami.
Pagi Ini Airmata Tumpah
Belajar menjadi seorang ibu dari kenangan yang lalu…
Ketahuilah.
Hakikatnya nampak sedondon bukan kerana banyak wang yang dilabur.
Masih ada yang berusaha berjimat.
Kerana umum hanya nampak baju.
Umum tidak tahu, bagaimana pula seorang ibu berusaha melengkapkan..
kasut raya,
kopiah raya,
Perjalanan di hari raya…
Moga lebaran kali ini lebih indah buat semua!
Amin.
Sejak dari sekolah rendah, ibu Rehan Sidik tak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya. Meletakkan dalam hati anak, bahawa guru pertama anak adalah ibunya. Kisah ibu Hajah Norma Abdullah ini dikongsikan sendiri oleh anaknya, Rehan yang kini turut mendidik 4 orang anaknya dengan cara yang sama, tegas penuh kasih sayang.
Bagaimana Saya Melihat Dunia Hari Ini
Adalah bagaimana ibu saya memperkenalkan dunia kepada saya 30 tahun yang lalu.
Corak saya berfikir, diasuh dengan begitu kreatif oleh ibu yang sangat kreatif.
Beliau guru pertama saya, menulis dan membaca. Pada usia saya 7 tahun, saya pernah memenangi pertandingan bercerita peringkat negeri Kelantan. Masya Allah, dengan segala ‘props’ dan persiapan pentas, beliau sendiri yang hasilkannya.
Siang malam, saya dilatih untuk membiasakan diri bercakap di khalayak. Pada usia 7 tahun saya mampu berbicara dengan petah, menyanyi dan menari, bermain alat muzik dan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di pentas.
Anak.. Bila ibunya sangat gigih, anak juga akan turut serta. Mula-mula terpaksa, lama kelamaan, akan jadi terbiasa. Dari sekolah rendah, semua tugasan saya ada sentuhan dari mak. Begini dan begitu.
Mak nak hasil kerja saya sempurna. Kami akan buat sama-sama. Kadang-kadang saya mengeluh untuk ubah balik kerja, tapi mak cukup sabar.
“Kita mahu hasilkan sesuatu yang terbaik, sabarlah”.
Masuk Sekolah Menengah, Cara Kerja Makin Teratur
Bila tiba masa saya ke sekolah menengah, saya dah dapat rentak bekerja cara beliau. Semuanya mesti sempurna dan dalam keadaan yang teratur. Mesti cantik dan smart. Dan apabila anak mula berdikari, itu lah masanya mak menunggu hasil-hasil yang lebih baik untuk dikongsi bersama.
Alhamdulillah.
“Hari ini, saya amat menghargai dirinya, sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan doa dan sokongan, seorang sahabat yang sangat memahami, dan seorang pejuang yang tidak pernah luntur semangat juangnya. Kami ke Pesta Buku Bologna Italy bersama. Bergandingan sebagai rakan sekerja.”
Saya mengangkat beliau sebagai penulis.
“Tulislah mak, tentang segala pengalaman, suka dan duka.. moga-moga setiap dari kami dapat mengambil segala iktibar dari kisah hidupnya yang penuh inspirasi.”
Tahun Kejayaan Rehan Sidik
Di sini, di Rome, Italy, kami berdiri. Bersaksikan bangunan Colosseum yang penuh sejarah. Ini juga sejarah buat kami penulis-penulis IDEAS & TINTA MUALIM. Apalagi kami berkesempatan mempromosikan pelbagai cerita yang berkonsepkan budaya Malaysia dengan penuh bangga.
Saya tidak pernah lupa, di mana saya bermula.
Pada tahun 2015, saya menyertai Program Pengkarya Guru di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, seliaan Lynn Rahman.
Sokongan tanpa henti diberikan sehingga saya bersama 12 Pengkarya Guru yang lain berjaya menghasilkan buku ilustrasi kanak-kanak kami Kids Book by IDEAS yang pertama dan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2016.
Seterusnya pada tahun 2017, saya menyiapkan 100 guru Kelantan yang juga mempunyai harapan yang tinggi untuk menjadi penulis, juga tercapai. Terhasillah 3 Antalogi Cerpen Tinta Mualim. Syukur. Berkat doa dari semua.
2018 adalah langkah saya untuk mengantarabangsakan penulis-penulis. Langkah ini bukan mudah. Dan semua pengalaman-pengalaman berurusan dengan pelbagai ragam manusia ini, membuka mata hati, akal dan iman saya agar terus kuat dengan segala ujian yang Allah berikan.
Terima kasih sahabat-sahabat yang sentiasa bersama.
Terima kasih Kak Lynn kerana terus memberikan kata-kata nasihat dari hati ke hati.
Rehan Sidik juga merupakan pengasas Tadika Permata Raudhah yang mempraktikkan Quranic Early Childhood Practitioner.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada siapa yang menduga dalam usia 35 tahun, dialah ketua keluarga yang perlu menyara anak-anak selepas kematian suami yang dicintai.
Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tapi kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan hidup bersama 6 orang anak yang disayanginya. Dialah tempat untuk anak-anak bergantung harapan.
Sebagai ketua keluarga, ibu tunggal langsung tidak menyalahkan ketentuan takdir. Apa yang berlaku ini akan dipikul tanpa sebarang keluhan mahu pun penyesalan.
Dalam temubual eksklusif, Salasiah Matudi, 35 tahun memberitahu, beliau kehilangan pasangan hidup yang dicintainya pada 9 April tahun lalu akibat kegagalan fungsi jantung.
Pemergian arwah Kamaruddin Ahmad sangat meragut jiwa dan mindanya kerana arwah menghadap ILAHI pada usia masih muda iaitu 32 tahun dan meninggalkan enam orang zuriat.
Lebih menyentuh perasaan, ketika itu, beliau sedang hamil empat bulan.
“Hati mana yang tidak luluh. Bohong kalau saya katakan apa yang terjadi ‘tidak sakit‘. Namun, demi anak-anak, saya sesekali tidak akan menitiskan air mata di hadapan mereka. Biarlah kedukaan ini saya pendam sendirian,“ tutur beliau.
Penceritaan Salasiah terhenti seketika tatkala mula mengisahkan detik akhir suaminya ‘hilang‘ dari pandangan mata buat selama-lamanya.
“Sebaik arwah menghela nafas terakhirnya, saya meminta pihak hospital untuk membenarkan anak-anak melihat wajah arwah buat kali terakhir agar mereka tahu ‘ke mana pergi‘ ayah mereka pergi. Keadaan pada masa itu juga agak kalut kerana Perintah Kawalan Pergerakan baru dikuat kuasakan.
“Anak-anak saya rata-ratanya masih kecil, tetapi nampaknya mereka seperti memahami bahawa seseorang yang hidup, pasti akan ‘diambil‘ ILAHI,“ katanya sambil cuba menahan linangan air mata.
Cekal Tanpa Keluhan
Mengunjungi kediamannya yang terletak di Kampung Kemensah, Ampang Jaya, Selangor, membuatkan emosi penulis bergejolak. Perasaan sayu dan simpati menyentuh sanubari ini.
Masakan tidak, bukan sahaja kediamannya kelihatan usang, kedudukannya juga terletak berhampiran dengan anak sungai. Ia memungkinkan segala musibah yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa.
Namun, kata Salasiah, beliau tujuh beranak sudah buntu dan tidak tahu ke mana hendak dituju.
“Sebenarnya, rumah ini adalah ihsan pemilik tanah yang membenarkan saya sekeluarga menetap di sini. Biarpun berlantaikan papan dan bahagian dapur kadangkala basah dek kerana terdapat kebocoran air, tetapi kami gembira dapat tinggal di rumah dua bilik ini.
“Memang betul, sesekali air sungai deras jika hujan lebat, tetapi syukur tidak ada tanah runtuh atau banjir berlaku setakat ini. Alhamdulillah anak-anak juga bijak dan tidak ke sungai, apatah lagi bermain-main di kawasan sekitarnya kerana kesemua mereka lebih senang bermain dan duduk di dalam rumah,“ ujarnya.
Walaupun hidup tanpa dilingkari kemewahan, Salasiah berkata, pelajaran anak-anak tidak akan diabaikan.
Seorang anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Keramat, manakala tiga yang lain ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Permata.
Pada saat kerajaan melaksanakan sistem pendidikan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), mereka hanya bergantung kepada sebuah telefon bimbit milik arwah, beritahu Salasiah.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak guru bahawa sukar anak-anak untuk belajar dengan hanya sebuah telefon bimbit. Saya bimbang jika mereka ketinggalan dalam pembelajaran, tetapi apa daya, itu saja yang kami termampu,“ katanya.
Keresahan ibu tunggal itu seolah-olah didengari apabila terdapat pihak yang prihatin memberi sumbangan telefon pintar kepadanya termasuk talian internet untuk memudahkan pembelajaran anak-anak.
Dengan kemudahan itu juga, Salasiah berkata, beliau mula berjinak-jinak melakukan perniagaan dalam talian dengan menjual tudung dan cadar demi menambah pendapatan.
“Saya harap usaha ini diredai-NYA dan taklah saya terlalu bergantung dengan ihsan semata-mata. Orang memang boleh tolong, tetapi sampai bila? Jadi, saya perlu mencari jalan lain sebagai sumber rezeki demi membesarkan anak-anak.
“Saya memang tak pandai teknologi, anak-anak yang bantu. Saya juga gembira kerana kadangkala penduduk sekitar datang membeli tudung dan cadar yang saya jual,“ katanya.
Kepada penulis, Salasiah tidak henti-henti mengungkapkan ucapan terima kasih kepada jiran dan masyarakat di Ampang Jaya.
“Saya sangat berterima kasih dengan segala bantuan yang diberikan mereka terutamanya Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati.
Keprihatinan mereka juga membolehkan saya mendapat bantuan zakat dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang secara tidak langsung meringankan beban,“ kata wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kepada anda yang prihatin untuk membantu ibu tunggal enam anak yang terus gigih menjalani kehidupan meskipun tidak henti dilanda ujian, boleh menghulurkan sumbangan ikhlas melalui akaun bank Maybank di 162200112382 atas nama Salasiah Matudi.
Kredit: Sinar Plus
Mingguan Wanita : Semoga ibu tunggal ini tabah dalam meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Minat Mohd Yusof Ali, 39 tahun ini lain dari orang lain. Sejak tahun 2008, dia sudah mengumpul koleksi barangan Milo. Dari suka-suka, sampai akhirnya jadi sentimental value yang susah nak dilepaskan.
Anak kelahiran Klang ini bermula dengan mengumpul cawan dan mug, bertambah sampai ke tin, barangan percuma, stiker pelekat sampailah replika motor menghiasai kediamannya.
“Bukan sekali, dua, pernah juga seorang kenalan ingin membuka sebuah kopitiam, dia tawarkan puluhan ribu untuk membeli kesemua barangan yang saya ada untuk dipamerkan di restorannya.
“Memang terus-terang saya tolak. Biar tawaran berganda namun ianya tidak mampu membeli kepayahan dan kesabaran yang saya lalui selama 10 tahun untuk menyimpan koleksi sebanyak ini.
“Bukan mudah untuk saya lepaskan barangan ini kepada orang lain begitu sahaja kerana ada sesetengah barangan memang sukar untuk ditemui.
“Lebih-lebih lagi barangan milo yang dikeluarkan sekitar tahun 1960-an. Kalau saya jual pada orang, mungkin saya tidak akan dapat balik barang tersebut.
“Beza jika saya memiliki sesuatu koleksi lebih daripada satu, saya akan menjual jika harga yang ditawarkan berpatutan.
“Kadang-kadang saya juga banyak berkongsi pengalaman dan pendapat dengan pengumpul Milo yang lain,” ungkapnya satu-persatu.
Sehingga hari ini, hampir 1000 jenis koleksi yang telah terkumpul. Dirinya juga sanggup menjelajah ke Johor dan Ipoh untuk mencari barang idaman yang masih belum berada dalam koleksinya.
Keunikan hobinya itu, setiap produk yang dikeluarkan berbeza ikut tahun dan negara sejak tahun 1930-an lagi.
Tak Mudah Nak Jumpa Yang Rare
Hobinya itu juga antara alasan untuknya mengenang kembali nostalgia dengan almarhum bapanya, Ali Kader sejak dirinya masih bersekolah.
Sebenarnya bapanya merupakan pemilik restoran, jadi saban bulan stok Milo akan dihantar ke kedai. Dari situ, Mohd Yusof akan menerima hadiah percuma atas pembeliannya.
Banyak barangan percuma yang dia perolehi termasuklah kotak pensel dan bekas minuman.
Sejak itu dirinya terbiasa dengan barangan ini. Sememangnya ia bukan sekadar barangan lama sebaliknya menyimpan kenangan manis zaman kanak-kanaknya.
“Saya memilih barangan Milo juga kerana jenama ini begitu dikenali tidak kiralah di kalangan kanak-kanak atau golongan dewasa.
“Jenama itu sendiri cukup evergreen dan kekal sepanjang zaman. Malah Milo juga menjadi produk minuman coklat dalam negara ini sejak dahulu lagi.
“Koleksi yang paling lama saya kumpul adalah set cawan dan tin Milo yang dikeluarkan sekitar tahun 1960-an. Saya memang teruja setiap kali dapat memilikinya. Bukan mudah nak dapat.
“Sesetengah barangan contohnya set cawan dan piring saya perlu masa bertahun untuk kumpul. Kadang-kadang perlu membeli cawan pada orang lain dan piringnya pula pada orang lain.
“Saya juga tak berkira jika mahukan sesuatu dan telah lama mencari barangan tersebut. Kerana minat yang mendalam saya sanggup keluarkan sedikit bajet,” ceritanya panjang lebar.
Dari Tahun 2016 Orang Dah Mula Datang Ke Galeri Di Rumah
Saat anda melangkah kaki ke kediamannya, sudah pasti anda akan teruja melihat susunan tin, cawan, mug dan barangan percuma Milo yang lainya tersusan kemas dan rapi di atas rak. Barangan Milo menjadi latar dekorasi kediamannya.
Tidak dinafikan saudara-mara dan rakan-rakan yang datang ke terataknya begitu teruja melihat koleksinya yang separuhnya tidak pernah mereka temui selama ini.
Mohd Yusof beruntung isterinya, Zaiton Sulaiman, 36 tahun juga turut menyokong minatnya dan sama sekali tidak menyekat kemahuan Mohd Yusof yang tegar mengumpul barangan Milo.
Malahan kadang-kadang dia turut sama turun padang membant suaminya mendapatkan barangan Milo.
Dalam masa yang sama, bagi mengekalkan kondisi barangan Milo agar terjaga, pemuda ini turut menghabiskan masa senggannya dengan mengelap dan mengemas setiap koleksinya agar tidak kotor dan berhabuk.
Sejak dibuka kepada orang ramai pada 2016 yang lalu, Mohd Yusof tidak lokek berkongsi keterujaannya dengan orang yang datang berkunjung.
Di samping itu, dirinya turut memasang impian untuk membuka sebuah galeri yang lebih besar dan selesa agar lebih ramai dpat berkunjung dalam satu-satu masa. Maklumlah sekarang galeri Milonya berpusat sementara di rumah, jadi waktu melawat adalah terhad, lagi pula dirinya bekerja.
Kelab Peminat Pun Ada
Tambahnya, semua koleksinya adalah hasil pengumpulannya sendiri dan sesetengahnya pula dibeli dari komuniti barangan Milo. Bagi memudahkan pengumpul barangan Milo berkongsi pengalaman, Mohd Yusuf turut menubuhkan Kelab Peminat Barangan Milo Malaysia dan aktif di laman sosial, Facebook.
Kelab ini dapat dijadikan platform bagi ahli-ahli yang telah mencecah 3000 orang untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat dan apa sahaja berita berkaitan barangan Milo.
Selain mendapatkan barangan yang dikehendaki menerusi kelab ini, malahan Mohd Yusof merasakan ianya menjadi medan untuk mendapatkan kawan baru yang memiliki minat yang sama.
Bagi mengeratkan hubungan silaturahim, selaku Presiden kelab ini turut mengadakan perjumpaan semula saban tahun buat 200 ahli yang aktif dari seluruh negara.
Foto : Mohd Izari Rosli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!