Beli Durian Kena Ada AKAD JUAL BELI Supaya Tidak Timbul Rasa Tertipu

Share

Sekarang nie musiam durian merata-rata. Durian kampung, Musang King, IOI, Udang Merah menjadi kegilaan orang ramai. Harganya pun bukan calang-calang, maklumlah masih baru ada di pasaran. Tunggulah beberapa minggu lagi, harganya mungkin murah sikit.

Dalam membeli durian, ramai yang tidak puas hati tentang harganya. Nasib tak berapa baik, durian saja besar tapi isi dalamnya hanya beberapa ulas. Lebih sedih bila isinya buruk. Naik angin pulak si pembeli. Tapi, menjadi persoalan bila timbang sebiji durian, memang berkilo-kilo tapi isinya hanya berapa ulas sahaja. Sehinggakan kita sebagai pembeli merasa tertipu.

Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada menjawab soalan tentang perkara ini.

Assalamualaikum, tuan mufti.
Adakah buah durian haram dijual mengikut sukatan kilogram kerana kulitnya lebih banyak dari isi?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,
Kaedah menyebut:
الأصل في العقود هو التراضي
Maksudnya: Hukum asal dalam akad ialah keredhaan dua belah pihak.

Tidak Redha
Dalam jual beli durian selalu yang menjadi masalah ialah apabila dijual beli mengikut timbangan, dan bukannya jenis dan kualiti durian itu. Justeru, berlakulah situasi contohnya isi durian yang mengkal (tidak masak), busuk dan rosak. Di sini, pembeli menjadi tidak redha kerana manfaat yang dibeli tidak diperolehi.

Situasi ini bertepatan dengan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW menegur penjual kurma yang meletakkan kurma yang kering di atas kurma yang basah untuk mengelabui pelanggan.

Sabda Rasulullah SAW:
أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Maksudnya: Apakah engkau sengaja tidak meletakkan yang basah itu diatas takut dilihat orang? Barangsiapa yang menipu maka bukan daripada kalanganku. Hadis riwayat Imam Muslim (102)

Akad Jual Beli
Justeru, digalakkan melakukan akad jual beli durian dengan cara yang lebih jelas. Contohnya, dengan membuka sebahagian durian itu terlebih dahulu diketahui isinya. Cara lain juga seperti yang dilakukan peniaga-peniaga hari ini dengan meletakkan isi buah di dalam bekas yang boleh dilihat oleh pelanggan. Dengan itu, pembeli dan penjual saling meredhai dan hasil jualan juga diberkati.
Wallahua’lam.

Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/rBs4u4

Sumber: Share Jer

Published by
Nora