Tentu ada segelintir besan yang kalau nak cari menantu, mestilah syaratnya bakal menantu itu ada kerjaya yang stabil. Apalah hendak diharap dengan mereka yang belajar tinggi tapi balik kampung tanam sayur.
Bayangkan lelaki ini, graduan universiti, elok dah makan gaji di agensi kerajaan. Tiba-tiba ambil keputusan balik kampung, bertani di kampung.
Tidak kah keputusan sebegitu buatkan ahli keluarga susah hati. Tentu ada yang cakap-cakap susah nak dibuat menantu.
Tapi itulah tekad lelaki ini, Azizul Julirn yang menjadikan bapa sebagai inspirasi. Itulah idola nya yang menguatkan tekadnya.
Bapa saya seorang petani. Seluruh hidupnya sejak tamat sekolah darjah 6 adalah bertani sepenuh masa. Rezeki bertani inilah dibuat biaya kami 4 beranak dan belanja kami 2 beradik belajar sampai habis universiti.
Tahun 2015, Daerah Ranau dilanda gempa bumi. Bapa saya antara petani yang terjejas teruk. Sumber air utama ke kebun telah musnah dihanyutkan kepala air pasca gempa tadi.
Tahun yang sama, saya ambil keputusan berhenti kerja makan gaji di agensi kerajaan dan balik kampung mau jadi usahawan tani, bapa saya nda larang dan nda juga sokong. Diam saja.
Ya begitulah kebanyakan bapa-bapa pun. Kerisauan itu tetap ada sebab kerjaya petani pada 6 tahun lepas adalah sangat nda trendy bahkan dianggap pekerjaan kelas bawahan.
Baca sini : Dikelilingi Gunung Dan Tanaman Sayuran, Bapa Usia 62 Tetap Produktif Bekerja
Pendapatan bertani ni nda tetap, main selut, pegang cangkul, berpanas berhujan dan lain-lain. Apatah lagi kalau graduan universiti. Belajar tinggi-tinggi, balik kampung tanam sayur. Siapa mau kasi jadi menantu kalau begitu? Huh!
Tapi saya tetap percaya, dengan usaha keras dan sikap yang betul, rezeki berbudi pada tanah itu sentiasa ada sebab depan mata saya ada bukti yang hidup, itulah bapa saya.
Tahun 2016 saya mulakan Kundasang Aquafarm. Daripada skala eksperimen di IPMB, UMS sehinggalah ke skala komersial di Mesilou, Kundasang. Ramai pihak yang terlibat dalam proses menjayakannya.
Agensi-agensi kerajaan, keluarga, para guru dan mentor, rakan-rakan seperjuangan dalam keusahawanan dan lain-lain.
Namun, penyokong No.1 saya tatap bapa saya.
Beliaulah yang jadi chief engineer, arkitek, kontraktor, quality control, big bos dan jadi partner sparring antara kami berdua. Soal kerja, berselisih pendapat itu soal biasa.
Balik rumah, beliau tetap bapa saya.
Alhamdulillah selepas 6 tahun, sekarang bapa saya sudah boleh pencen dan buat apa yang beliau suka.
Dan saya pula, mewarisi kerjaya bertani tersebut secara sepenuh masa disamping beberapa bidang perniagaan lain yang sedang saya bangunkan.
Kawan saya pernah cakap, orang dulu-dulu mungkin nda berpeluang sekolah tinggi-tinggi macam kita sekarang.
Dari segi ilmu, pengalaman, IQ, kemahiran, sikap dan ketekunan yang diorang miliki, jauh lebih hebat. Itulah yang saya nampak ada pada bapa saya, Daddy Joe.
PKP 3.0 lepas, kampung kami 2 kali kena PKPD. Maknanya sebulan nda boleh keluar dari kawasan kampung. Saya membawa diri tinggal di rumah kebun. Bapa saya pula buat apa?
Nah! Dalam gambar inilah antara kerja bapa saya masa PKPD. Beliau buat kebun hidroponik vertical di kawasan sekangkang gajah di halaman rumah kami. A to Z beliau bikin sendiri.
Sejak Julai lepas, ini pusingan tanaman yang ke 4. Belakang rumah pun ada lagi. Belum masuk lagi projek-projek DIY beliau yang lain.
Semoga bapa-bapa kita semua sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan tenang menjalani kehidupan.
#mydadmyhero #verticalgarden #verticalfarming #kundasang #kampunglife #mountainpeople
Sumber/Foto : Azizul Julirn