Bekas Suami Culas Bayar Nafkah Anak, Ibu Tunggal Mulakan Tindakan Pastikan Kepatuhan Dikembalikan

Share

Bekas suami culas membayar nafkah anak. Ramai ibu tunggal yang buntu dan persoalan ini sentiasa menjadi tajuk perbincangan hangat. Seperti mana persoalan yang ditujukan oleh wanita malang ini kepada Peguam Syarie.

“Tuan, bekas suami saya ni tak bayar nafkah anak-anak saya tuan, berhempas pulas saya nak bayar sewa rumah, duit makan anak, duit sekolah anak duit pakaian mereka. Penat saya tuan ingat diceraikan saya makin senang walaupun dah ada perintah mahkamah anak-anak saya tetap tidak mendapat hak mereka,” soal Kinah.

Foto: Canva

Seperti mana yang dicoret oleh Peguam Syarie: Amirul Akmal di bawah ini beliau menerangkan panjang lebar mengenai penyelesaian yang boleh dilakukan oleh ibu tunggal yang senasib dengan Kinah.

Peguam Syarie Amirul Akmal

Islam menetapkan bahawa tanggungjawab untuk menyara nafkah anak adalah kewajipan seorang bapa sepertimana firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 233:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan.”

Bekas Suami Culas Bayar Nafkah Anak, Jika Tidak Dilaksanakan Dikira Hutang

Namun begitu sekiranya berlaku penceraian tanggungjawab menanggung nafkah anak oleh seorang bapa itu tidak terputus oleh kerana penceraian yang berlaku. Akan tetapi timbul pula isu di mana bekas suami culas mahu membayar nafkah anak. Nafkah anak sekiranya mahkamah telah mengeluarkan perintah jika tidak dilaksanakan ia dikira sebagai satu hutang. Hutang tersebut perlulah di selesaikan oleh bekas suami tersebut samaada beliau masih hidup atau beliau telah meninggal dunia.

Akan tetapi sekiranya ibu-ibu tunggal yang ditinggalkan suami atau diceraikan memerlukan bantuan nafkah anak. JKSM melalui Bahagian Sokongan Keluarga telah membuat suatu inisiatif bantuan nafkah untuk membantu para ibu tunggal untuk mendapatkan pembiayaan nafkah sementara bagi diri dan anak-anak apabila pembiaya nafkah (suami) mengabaikan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Bantuan ini diberikan dalam bentuk hutang dan pembiaya nafkah (suami) perlu menjelaskan semula hutang tersebut kepada BSK. Walaubagaimanapun, kadar nafkah yang boleh dipohon melalui BSK adalah berdasarkan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan.

Seperkara lagi,sekiranya berlaku ketidakpatuhan kepada perintah nafkah yang telah dikeluarkan oleh mahkamah. Maka pihak isteri boleh mengambil tindakan penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan kepatuhan dapat dikembalikan.

Foto: Pexels

Beberapa Tindakan Buat Seseorang Yang Tidak Patuh Perintah Nafkah

Bertitik tolak dari perkara ini, berdasar daripada peruntukkan undang-undang, terdapat beberapa cara yang membolehkan seseorang mengambil tindakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah

Cara Pertama: Mengarahkan pihak penghutang membayar keseluruhan jumlah nafkah semasa atau membayar jumlah tunggakan nafkah berdasarkan perintah dan mengikut cara yang ditentukan oleh mahkamah sama ada membayar secara sekali gus atau ansuran bulanan; atau

Cara Kedua: Mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak atau isteri; atau

Cara Ketiga; Mengenakan hukuman penjara ke atas pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut; atau

Cara Keempat: Perintah penyitaan dan penjualan harta alih atau harta tak alih; atau

Cara Kelima: Prosiding hiwalah.

Walau apapun peruntukan tersebut, pihak yang diabaikan pemberiaan nafkah tersebut perlu hadir dan mengadu mengenai pengabaian tersebut supaya tindakan penguatkuasaan dapat dimulakan. Tambahan pula, peruntukan mengenai tanggungjawab untuk membayar nafkah secara jelas telah diperuntukkan oleh undang-undang yang sedia ada. Begitu juga dalam hal sekiranya berlaku pengabaian atau ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah.

Buat Aduan Di Mahkamah Syariah

Foto: Pexels

Walaupun undang-undang telah memperuntukkan tindakan yang boleh diambil sedemikian rupa, bagi membolehkan tindakan tersebut diambil terhadap pengabaian perintah nafkah, ia tidak akan terlaksana sekiranya pihak yang diabaikan tidak memberikan maklumat atau membuat aduan di Mahkamah Syariah.

Justeru, bagi membolehkan isu pengabaian perintah diselesaikan, pihak yang diabaikan perlu tampil ke hadapan untuk memulakan tindakan. Tanpa adanya laporan atau aduan, pihak yang bertanggungjawab tidak dapat memulakan tindakan terhadap bapa atau suami atau ‘orang yang bertanggungan’ yang mengabaikan perintah nafkah.

Semoga penerangan ini dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca sekalian.
#celiksyarie
#ketahuihakanda

Sumber: Facebook Peguam Syarie: Amirul Akmal @PeguamSyarieAmirulAkmal  · Divorce & family lawyer

Sumber Foto: Canva & Pexels 

Follow kami di :

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Published by
Norhayati Binti Suboh