Bekas suami buruk siku, tuntut barang kemas hadiah kahwin bengang gaji kena potong nafkah anak. Semasa berumahtangga, awalnya nampak bahagia. Tika itu, mintalah apa saja, semua hadiah akan dapat terutama di awal-awal perkahwinan.
Tapi semakin lama, bau yang wangi menjadi busuk dan pasangan akan bercerai atas pelbagai sebab.
Dalam satu perkongsian dari peguam syarie, Fahmi Ramli, dirinya berkongsi perangai buruk lelaki di mana meminta semula barang kemas hadiah kahwin kerana bengang sebab kena potong gaji untuk nafkah anak.
Berkongsi hal ini, Fahmi Ramli memaklumkan, “kadang dirinya selalu dapat soalan daripada wanita, bagaimana jika bekas suami tuntut semula hadiah kahwin? Contohnya macam gelang emas, rantai, cincin dan lain-lain.
Saya tanya, dah lama puan cerai, kenapa baru sekarang dia mintak?
“Biasa la tuan, tak puas hati sebab saya dapat perintah Nafkah Anak. Gaji dia kena potong setiap bulan masuk akaun saya”.
Pulak dah? Bukan ke Nafkah Anak ni wajib, jadi kenapa perlu melenting sampai nak jadi buruk siku?
Tak mengapalah.
Persoalannya, boleh ke bekas suami nak tuntut semula barang kemas yang pernah diberi sebagai Harta Sepencarian?
Harta sepencarian adalah harta yang dibeli dalam tempoh perkahwinan. Sama ada dibeli oleh suami atau dibeli oleh isteri. Ia dilihat pada sumbangan terhadap pemerolehan harta tersebut.
Kalau dibeli sebelum kahwin?
Jika suatu harta itu dibeli sebelum kahwin, maka ia tak dikira sebagai harta sepencarian. Atau harta tersebut diperoleh secara pusaka, wasiat atau hibah.
Namun, kalau harta tersebut ada dimajukan, maka ia boleh bertukar status kepada Harta Sepencarian. Contohnya, isteri keluarkan sedikit wang untuk renovate dapur rumah yang suami beli sebelum kahwin. Maka, itu dimaksudkan sebagai dimajukan.
Apa harta yang boleh dituntut sebagai Harta Sepencarian?
Ada dua jenis. Pertama Harta yang disifatkan sebagai Harta Tak Alih. Contohnya seperti rumah dan tanah. Ini paling ramai tuntut di Mahkamah Syariah kerana nilainya yang tinggi.
Kedua, Harta Alih.
Secara mudahnya, harta alih adalah harta yang tidak melekap di tanah. Harta yang boleh berpindah randah. Harta yang mudah untuk sebarang transaksi. Contoh harta yang selalu dituntut kereta, motosikal, barang kemas, unit amanah dan sebagainya.
Bagaimana kalau harta tersebut pernah dihibah/dihadiahkan?
Sekiranya harta tersebut telah dihadiahkan, sepatutnya harta tersebut tidak boleh dikira sebagai Harta Sepencarian kerana ia telah diserah milik. Contohnya, suami telah hadiahkan gelang emas sebagai hadiah hari jadi.
Namun, memang kita tak boleh elak daripada perkara tersebut dituntut sebagai harta sepencarian. Bekas suami akan sebut gelang emas itu Harta Sepencarian. Bekas isteri pula jika nak pertahankan itu bukan harta sepencarian, ia perlu dibuktikan bahawa itu hadiah yang telah diberi semasa kahwin.
Kesimpulan,
Menuntut semula harta yang pernah diberi sebagai hadiah perkahwinan sepatutnya tak boleh berlaku. Nampak sangat perbuatan tersebut dianggap buruk siku.
Tapi, nak cakap apa. Ada orang yang tak heran pun kalau gelar buruk siku pada dirinya. Murahnya maruah. Apa pun, beban kepada orang yang menuntut itu tetap ada.
Bukan mudah nak buktikan barang kemas sebagai harta sepencarian. Sudahlah bukti pemilikan pun susah nak bukti. Bukannya ada geran pun kalau beli gelang emas kan?
Usahlah babitkan isu nafkah anak dengan masalah peribadi. Macam mana sekalipun, nafkah itu tetap wajib bapa berikan pada anak. Mengapa nak susahkan bekas isteri yang menjaga anak kita sendiri.
Jangan jadi buruk siku.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Tarik Balik Saman Terhadap Keluarga Ira & Diskaun Tuntutan Nafkah Anak, Lafaz Cerai Puteri Sarah Tak Jadi!
Bila Hidup Tak Sebumbung, Jangan Burukkan Bekas Pasangan Hingga Anak Terbiar Tanpa Nafkah
Nafkah Anak Bapa Dalam Penjara. “Kejarlah” Waris Belah Suami, Itu Tanggungjawab Mereka
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.