Wanita yang melibatkan diri dalam industri ‘lorong gelap’ atau pelacuran sering dianggap hina serta dipandang rendah dalam mata masyarakat.Namun sebaliknya berlaku di New Zealand, apabila seorang aktivis yang juga bekas pekerja seks tersenarai untuk menerima gelaran kehormat New Zealand hari ini sempena ulang tahun Ratu Elizabeth II, sebagai mengiktiraf jasanya dalam industri pelacuran itu.
Catherine Alice Healy yang menerima anugerah “Dame Companion of the New Zealand Order of Merit”, memainkan peranan penting dalam ‘menghalalkan’ pekerja seks New Zealand pada 2003 serta memperkenalkan undang-undang pelacuran paling liberal di dunia.
Healy, 62, terkejut dengan penghormatan itu yang melayakkannya menerima pengiktirafan New Zealand Order of Merit.
“Ia sesuatu yang bukan saya jangka. Malah, saya sentiasa mengatakan, saya menjangka ditahan pada awal pagi, bukan penghormatan seperti ini dan saya amat terharu,” katanya kepada Radio New Zealand.
Healy mengetuai Kolektif Pelacuran New Zealand sejak 1989 dan ucapan penghormatan menyebut, beliau membangunkan penyedia kesihatan awam dihormati di peringkat global. Beliau menerajui kempen untuk pembaharuan undang-undang 2003 yang membenarkan rumah pelacuran dan pelacur jalanan beroperasi secara sah.
Pembaharuan itu bermaksud, pekerja seks mendapat liputan manfaat pekerjaan, kesihatan dan undang-undang keselamatan, memberi mereka hak yang tidak pernah dinikmati sebelum ini. Healy berkata, gelaran baharunya menunjukkan berapa banyak sikap sudah berubah.
New Zealand memberi penghormatan dua kali setahun iaitu sempena Tahun Baharu dan ulang tahun rasmi Ratu Elizabeth II pada awal Jun.
Penerima lain termasuk bekas Perdana Menteri Bill English yang dianugerahkan kesatria.