Bila nak minta cari barang, panggil orang rumah. Dahaga air, panggil isteri juga. Serba serbi isteri sampaikan nak tarik nafas sekejap pun tak sempat!
Kemudian, suami kata, “Awak bolehlah duduk rumah, berehat. Saya yang kerja di pejabat ni rasa macam hendak pengsan.” Agak-agak, kalau dengar suami berkata begitu, apa respons anda.
Sedih, marah, tersinggung dan macam-macam lagi. Rasa seperti hendak lari dari rumah pun ada. Manakan tidak, sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, isteri bekerja 24 jam sehari tanpa cuti. Itu pun ada di antaranya terpaksa korbankan waktu tidur di tengah malam kerana menyusukan bayi. Berehat? Rasanya susah bagi para isteri untuk realisasikan istilah itu.
Kalau Boleh, Suami Bantulah Orang Rumah…
Sebagai suami yang berhemah, jangan terus beri tuduhan. Ingat, isteri bukan robot untuk diarah itu dan ini. Mereka punyai perasaan. Ada ketika boleh jatuh sakit jika bekerja melebihi kemampuan. Pada masa yang sama isteri tidak dianggap berdosa sekiranya tidak lakukan kerja-kerja rumah disebabkan itu bukan skop tugas isteri yang sebenar. Berdasarkan Mazhab Imam Syafie dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kewajipan isteri hanya satu yakni melayan suami. Kerja-kerja yang selebihnya semua menjadi kewajipan suami.
Terkejut? Sila bertenang kerana inilah hakikatnya. Urusan rumah tangga seperti mengemas, membasuh pakaian, mencuci pinggan mangkuk, menjaga anak sampaikan memberi susu kepada anak pun dikategorikan sebagai tugas suami. Jadi, jika isteri menolak untuk susukan anaknya maka suami tidak boleh paksa. Suami harus cari ibu susuan atau fikirkan alternatif yang lain. Walau bagaimanapun, tidaklah tergamak seorang ibu mahu membiarkan anaknya kelaparan. Kasih sayang Allah membuatkan si ibu rela melakukan apa sahaja demi anak yang dikandung selama sembilan bulan.
Cuba bayangkan jika isteri ambil cuti dari ‘kerjanya’. Tak usah lama, cukup satu minggu sahaja. Agak-agak, bagaimana keadaan rumah dan anak-anak? Pasti kelam-kabut kerana sebelum ini diteriak isteri itu, isteri ini. Apabila isteri ambil MC, mulalah kecoh satu rumah. Hari pertama mungkin keadaan masih terkawal tetapi lihat pada hari kedua, ketiga dan seterusnya. Apabila perut yang lapar diisi dengan masakan kedai, baju di dalam bakul semakin bertambah akibat tidak dicuci, rumah ibarat tongkang pecah, anak-anak menjerit ke sana sini. Aduh! Cepatlah balik isteriku!
Nah, kala itu mungkin para suami baru memahami apa yang suri rumah tangga lakukan. Boleh dikatakan sepanjang masa menyelesaikan kerja. Hendak lelap mata pun terfikir ada lagi kerja yang berbaki. Sebab itu jika isteri tidak sempat bersolek, bau badan pun kurang menyenangkan, muka dah macam guna minyak masak, para suami jangan cepat merungut.
Cermin diri dahulu kerana masalah ini berpunca daripada anda. Bila masa isteri hendak ke spa jika anak yang berderet semua ‘bergayut’ dengan ibunya. Bila masa pula isteri hendak berwangi-wangi jika kain baju dan lauk pauk masih belum dibasuh serta dimasak untuk ‘santapan’ suami nanti. Sedangkan siapa sepatutnya menyelesaikan kerja-kerja ini? Jawapannya ada pada anda.
Untuk mengindahkan sebuah perkahwinan keduanya haruslah saling lengkap melengkapi. Saling membantu dalam keadaan susah mahupun senang. Benar, banyak tugas digalas oleh suami namun terasa lebih manis jika isteri turut menghulur pertolongan. Lakukan dengan hati yang ikhlas bagi mendapat redha Allah dan keberkatan dalam rumah tangga. Apabila badan penat menyelesaikan kerja, mulalah mulut merungut tentang apa yang dilakukannya.
Jangan, dari elok mendapat pahala nanti kelak mengundang dosa. Lebih teruk apabila suami pula dimarahnya. Pernah disebutkan bahawasanya ramai penghuni neraka terdiri daripada kaum wanita dan antara sebab yang menjerumuskan mereka ke situ adalah mulut. Sebahagiannya kerana leteran dan mungkin yang lain-lain berpunca daripada keletihan. Apabila direnungkan seketika, ini sudah jadi kes aniaya. Disebabkan suami, isteri pula menanggung derita.
Perkara Yang Suami Boleh Tolong
1. Buat senarai siap-siap
Buat senarai kerja untuk seminggu dan nyatakan siapa yang perlu buat tugas ini tugas itu. Beri keutamaan pada tugas yang selalu dibuat. Tentukan siapa yang kena buat supaya kita tahu yang mana tugas yang hanya melibatkan suami sahaja, kita sahaja atau kedua-duanya.
2. Cakap apa yang nak ditolong
Jangan nak berharap suami boleh baca apa yang anda fikir ye. Tak minta tolong, mana dia tahu kita perlukan pertolongan dan kita pun tak tahu sejauh mana dia boleh tolong. Lainlah kalau suami anda psikik. hehe. Tapi isteri ni kadang-kadang malas nak cakap, jenis yang tak sampai hati. Jadi, kalau dah tengok isteri susah payah sorang-sorang, apa kata anda tawarkan pertolongan. Tak jatuh ego seorang lelaki tolong isteri buat kerja rumah pun kan.
3. Beri peluang dan sabar
Mungkin ambil masa nak jadikan tabiat baru sebagai satu rutin. Suami yang tak pernah buat kerja rumah sepanjang hidup dia mungkin alami kesukaran dalam mengingat kerja-kerja rumah. Jadi, sebagai isteri kena banyak sabar, dan biasakan mengingatkan suami tentang kerja-kerja yang disenaraikan. Lama-kelamaan, suami akan biasa.
4. Bahagi Kerja
Bahagi tugas supaya anda dan suami sama-sama buat kerja.
Contoh: isteri memasak, suami basuh pinggan. Isteri basuh baju, suami sidai baju. Isteri menyapu, suami mengemop. Ada yang dah buat begini? Senang kerja kan?
5. Ucap terima kasih
Bila dia dah tolong jangan pula lupa berterima kasih sesama sendiri. Suami isteri yang sama-sama menyumbang tenaga mengekalkan keselesaan dalam rumah, jadi wajar lah anda berdua memberi penghargaan di antara suatu sama lain. Lepas ni si dia pun suka buat kerja bila rasa dihargai.
Hidup zaman suami isteri keluar cari rezeki kena sama-sama tolong apa yang patut, tak bolehlah nak harapkan orang rumah buat semua benda sendiri. Sekali pun orang rumah tak kerja, suami kena bantu uruskan anak-anak. In shaa Allah emosi stabil dan hubungan tak makin suram dek kerana terbeban dengan hal rumah tangga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI