Begini Caranya Buat Kek ‘MATA LEMBU’ Yang Comel & Sangat Sedap!

Share

Jika sebelum ini pernah viral Kek Span Basuh Pinggan, kali ni Kek ‘Mata Lembu’ pula yang menjadi perhatian. Rupa kek ini seakan-akan telur mata, memang sangat comel dan sedap untuk dijadikan sebagai pencuci mulut. Boleh dinikmati bersama keluarga mahupun dibuat jualan. Jika mak-mak suka ‘baking’ memang berbaloi mencuba resipi kek telur mata yang dikongsikan ini.

Perkongsian resipi yang dikongsikan oleh Puan Dyzah Sulaiman ini boleh dijadikan panduan.

Cerita semalam. Nak juga try buat Kek Mata Lembu. Saya guna resepi kek cheese salji sebab dia ringan. Boleh guna apa-apa jenis kek. Ikut kesukaan masing-masing. Sebelum buat kek, kita buat puding kuning dulu.

Bahan Puding:

1 peket agar-agar serbuk clear
3 cawan air
1/2 cawan susu cair
3/4 cawan gula(kalau tak suka manis boleh kurangkan)
2 sudu makan jus oren Sunquick@ mangga
2 sudu teh warna kuning telur
1 sudu makan tepung kastad cairkan dengan sikit air kira² 3 sudu makan.
(Boleh guna serbuk dadih perasa mangga atau oren, tapi saya belum pernah cuba lagi)

Cara Membuat:

Campur semua bahan dalam periuk dan kacau-kacau supaya tak bergentel. Masak atas api dan kacau selalu. Masak hingga mendidih dan sejukkan sebentar, baru tuang dalam acuan telur. Sejukkan bawah kipas. Dah sejuk baru masukkan dalam peti sejuk selama 30 minit.

-Acuan bulat beli dekat kedai Ninso/ ECO saiz 9 1/2 inci.

*Kek Cheese Salji

Bahan-Bahan:

6 biji telur gred B
100g tepung naik sendiri
60g tepung jagung
100g gula kaster
50ml air suam
1/2 sudu makan ovalet
1 sudu teh vanila
75g butter dicairkan

* Boleh guna apa-apa resepi kek

Cara Membuat:

1. Panaskan oven dulu 160°C selama 10 minit guna api atas bawah. Boleh masukkan butter tadi untuk dicairkan.
2. Campur semua bahan dalam satu bekas kecuali butter cair. Mixer sehingga putih dan gebu. Pastu baru masukkan butter cair tadi.
3. Sediakan acuan bulat sederhana(seperti dalam gambar). Sapu sikit butter dalam acuan tu.


4. Tuang adunan 3/4 dari acuan tu. Bakar selama 35 minit guna api atas bawah 160°C. Ikut kesesuaian oven. Nak tau dia masak cucuk dengan lidi satey. Kalau tak melekat masak lah tu.

Bahan Toping Atas Kek

Bahan-Bahan:

250g cheese Tatura
500g fresh cream
125g gula ising (boleh kurangkan kalau tak suka manis)
2 sudu makan perasa oren Sunquick atau mangga
3 sudu makan susu segar (nak bagi lembut sikit)* tak bubuh pun tak apa.

Cara Membuat:

Campurkan kesemua bahan dalam satu bekas. Hancurkan dulu cream tartura guna sudu makan sebelum diputar. Putar semua bahan hingga halus dan berkrim. Dah siap putar sapukan atas kek tadi dan letak puding telur atas kek. Dah siap boleh masuk peti sejuk sebentar. Kalau tak masuk peti sejuk pun boleh.

 

 

Selamat mencuba.

Baca Lagi Di Sini:
Resipi MUDAH Kek Span Cuci Pinggan VIRAL, Guna Loyang 9×11 Dapat 6 Biji

Pukul Adunan Sampai Bertanduk, Rahsia Kek Span Gebu Dan Lembut

MW: Menarik resipi resipi Kek ‘TELUR MATA’ yang dikongsikan ini. Meskipun agak renyah ada 3 langkah kena buat, tapi hasilnya memang berbaloi sebab sangat comel dan sedap. Sesuai untuk makan sendiri bersama keluarga mahupun dibuat jual.

Sumber: Dyzah Sulaiman

Published by
Suhaidah Abd Wahab