Berleter lagi! Aduh, mungkin ramai lelaki yang ‘panas’ telinga dan hati setiap kali mendengar bebelan atau leteran isteri. Terdetik di hati, tak penatkah mereka ni asyik membebel saja? Anda yang mendengar pun naik penat! Pantang ada saja tak kena di matanya, mulutnya mula tak henti-henti berleter.
Berleter selalunya dikaitkan dengan wanita bahkan dianggap sinonim dengan mereka. Apakah puncanya isteri membebel atau berleter?
Apakah isteri suka membebel kerana mereka rasa tertekan dengan sesuatu perkara atau situasi? Ya, mungkin ada juga benarnya. Cuba anda bayangkan situasi ini. Bila isteri penat melayan anak-anak dan melakukan kerja rumah, mulut isteri akan membebel itu dan ini. Pada ketika itu, apa yang anda lakukan?
Apakah sedang membantunya atau sedang asyik duduk di atas sofa sambil menonton TV? Bayangkan pula situasi apabila anda bersama-sama isteri sedang melakukan sesuatu bersama-sama. Apakah isteri anda akan membebel? Mungkin tidak atau sekurangnya tahap bebelannya akan turun mendadak. Pendek kata, bebelan isteri pasti ada sebabnya.
Malah, suami juga sebenarnya boleh untuk mengelakkan isteri dari membebel. Caranya suami pastikan jangan buat benda yang isteri tidak suka dan ringankan tulang membantu isteri membuat kerja-kerja di rumah. Ini antara langkah untuk mengatasi masalah membebel isteri.
Namun, percayakan anda jika dikatakan isteri yang suka berleter merupakan seseorang yang mengambil berat terhadap suaminya. Ketika isteri berleter, kebanyakan disebabkan isteri begitu mengambil berat terhadap suami dan ingin yang terbaik buat suami mereka. Misalnya jika suami ada penyakit tertentu tapi tak berpantang.
Sepatutnya kena kurangkan gula, tapi bergelas-gelas air manis diteguknya. Mana isteri tak membebel. Ini kerana mereka mengambil berat soal kesihatan anda yang menjadi keutamaan mereka. Kalau anda sakit, mereka juga yang kena jaga anda bukan? Mereka sebenarnya sayangkan diri anda.
Begitu juga suami sering kali meletakkan baju kotor merata-rata. Pasti isteri naik angin dan berleter panjang pada anda. Niat isteri agar anda boleh mengubah tabiat itu. Bayangkan jika sikap anda itu dilihat oleh anak-anak dan mereka menirunya? Jadi, sebaiknya mulakan perubahan dari diri anda sendiri.
Sebagai suami, anda perlu menangani perkara ini dengan sebaik mungkin. Cuba fahami sebab isteri anda membebel. Apakah kerana mereka penat, perlukan perhatian dan sebagainya. Jangan anggap bebelan isteri sebagai bebanan.
Selain itu, suami jangan sengaja buat tak tahu. Perkara yang isteri paling geram apabila isteri tengah membebel suami buat tak tahu. Cubalah dengar apa yang nak dicakapkan oleh isteri dan bawa berbincang.
Ada suami yang tidak boleh tahan bila isteri membebel lantas akan terjadinya pertelingkahan. Sebagai suami, sudah semestinya anda tahu sikap isteri anda dan memahami diri mereka. Jika perkara itu boleh menyebabkan pertelingkahan terjadi, lebih elok berdiam diri saja. Malah ada wanita yang membebel tidak suka apabila dia tengah membebel ada yang menjawab. Kalau nak tanya, tunggu hingga dia reda…
Belajar untuk memujuk. Sikap dan tingkah laku seseorang suami boleh menyebabkan isteri membebel tanpa sebab. Jika bergaduh dengan isteri, suami cepat-cepatlah memujuk apabila merajuk itu boleh membuatkan dia mahu membebel.