Bayi Yang Ditinggal Dalam Buaian Meninggal Dalam Kebakaran, Luluh Hati Ibu

Share

Sudah tentu beribu penyesalan apabila anak yang ditinggalkan di rumah sendirian meninggal dunia dalam kebakaran. Namun jangan terlalu cepat menghukum, mungkin mak ini mempunyai alasan yang tersendiri meninggalkan bayinya yang berusia 10 bulan di rumah.

MW mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap keluarga ini tabah menerima kehilangan bayi yang amat disayangi. Al-Fatihah. Bayangkan bagaimana perasaannya melihat bayi yang ditinggalkan meninggal dalam kebakaran, sudah tentu luluh hatinya. 

Luluh hati seorang ibu apabila melihat jenazah bayi perempuannya yang berada di dalam buaian dalam keadaan kedua-dua tangan ke atas seperti meminta diselamatkan selepas kebakaran rumah mereka di Kampung Bangkahulu, Gemas, Tampin, hari ini.

Ibu mangsa, Fatimah Mohamed, 33, sebaik pulang daripada berurusan di Pejabat Pos Gemas, dia nampak asap dari luar kediaman dan terus terbayangkan anaknya.


“Sebaik sampai, saya terus masuk ke dalam rumah menerusi pintu depan dan pada mulanya, mengharapkan bayi selamat.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat menahan air mata sebaik melihat bayi meninggal dunia dengan kesan terbakar di dalam buaiannya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bayi Dibiar Dalam Buai Elektrik

Dalam kejadian 11.35 pagi hari ini, mangsa, Siti Nur Aini Zulimi, 10 bulan meninggal dunia dalam kebakaran di kediaman keluarganya.
Fatimah berkata, dia keluar menaiki motosikal ke bandar Gemas pada 11 pagi bersama anak lelakinya berusia dua tahun.

Katanya, ketika itu, bayinya itu sedang tidur di dalam buaian elektrik di ruang tamu rumah dan sebelum itu, dia berpesan kepada jiran supaya menjenguk bayinya itu.

“Tidak sampai 25 minit apabila kembali semula ke rumah, saya terlihat asap tebal menyelubungi ruang tamu dan berdebar memikirkan nasib anak saya.

“Saya segera menghubungi bomba sekali lagi manakala jiran dan penduduk setempat turut membantu memadamkan kebakaran di ruang tamu.

“Kesan kebakaran di ruang tamu itu turut merosakkan sofa, almari dan televisyen selain pakaian persekolahan anak lain di bilik tidur utama kesan bahang api,” katanya.

Kehilangan Anak Bongsu

Menurutnya, bayinya itu adalah anak bongsu daripada enam beradik membabitkan empat lelaki dan dua perempuan berusia antara 10 bulan hingga 12 tahun.

Katanya, dia tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian itu dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, jirannya, Noor Azila Halim, 28, berkata, Fatimah ada berpesan kepadanya meminta jengukkan bayinya itu kerana ingin berurusan di bandar Gemas.

“Fatimah ada berpesan kepada saya beberapa jam sebelum itu, tetapi tidak menyatakan dengan tepat bila dia mahu keluar dari kediaman untuk ke Gemas.

“Saya turut berasa sedih dengan kehilangan arwah Siti Nur Aini yang montel dan menyimpan gambarnya dalam telefon bimbitnya kerana amat rapat,” katanya.

Jiran Tak Perasan

Menurutnya, dia tidak perasan dan menyangkakan Fatimah masih di kediaman kerana tidak menyedari bunyi enjin motosikal digunakannya ke bandar Gemas.


Katanya, sudah menjadi kebiasaan dia akan menjaga anak Fatimah jika jirannya itu ada urusan memandangkan mereka memang rapat.

Pihak Jabatan kemajuan Masyarakat (JKM) Daerah Tampin turut hadir memberikan sumbangan wang tunai selain pelbagai barangan keperluan asas kepada keluarga mangsa atas bencana berlaku.

Sumber: Harian Metro

MW: Semoga mak-mak di luar sana lebih berjaga-jaga dalam menguruskan anak saban waktu. Awasi anak anda sebaiknya dan utamakan keselamatan anak berbanding perkara lain. Malang tidak berbau. Kejadian ini mungkin dapat dijadikan iktibar kepada kita semua.

Published by
Nur Syazwani Mehat