Kelahiran anak-anak kembar pastinya dinanti-nantikan bagi setiap pasangan suami isteri. Melihat keletah anak-anak yang comel, bergaya sedondon dan membesar bersama-sama. Kembar dua dan tiga mungkin perkara biasa, namun bagaimana jika ditakdirkan hamil dan bersalin kembar 9 sekaligus? Memang tak dapat dibayangkan situasinya.
Seorang wanita dari Mali, Halima Cisse,26 yang memecahkan rekod dunia baru-baru ini dengan melahirkan sembilan bayi kembar atau dikenali sebagai nonoplet secara pramatang pada Mei lalu, dilaporkan kini bersiap sedia untuk pulang ke negara asalnya.
Lapor Daily Mail, sekeping gambar memaparkan Cisse bergambar bersama suaminya, Abdelkader Arby, 35 dan sembilan anak kembarnya didedahkan buat pertama kali.
Kehamilan isteri kepada tentera laut ini menarik perhatian ramai apabila wanita itu selamat melahirkan sembilan anak kembarnya menerusi pembedahan di klinik Ain Borja di Casablanca, Maghribi, Mei lalu.
Cisse turut memecahkan rekod dunia dipegang oleh Nadya Suleman yang melahirkan lapan anak kembar, 2009.
“Saya lega semuanya berjalan lancar dan saya gembira dapat menjaga mereka.
“Anak saya semakin kuat setiap hari dan mereka mungkin dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi. Jadi kami boleh bawa mereka pulang ke rumah,” kata Cisse.
Sembilan bayi kembar itu terdiri daripada lima perempuan dan empat lelaki. Empat bayi lelaki tersebut dinamakan Oumar, Elhadji, Bah dan Mohammed VI.
Manakala lima bayi perempuan tersebut pula diberi nama Adama, Oumou, Hawa, Kadidia dan Fatouma.
Dilaporkan, semua anak kembar Cisse mempunyai berat badan antara 500 gram hingga 1 kilogram (kg) semasa dilahirkan dan mereka terpaksa diletakkan dalam inkubator di unit rawatan rapi (ICU) hospital selama beberapa bulan.
Kembar luar biasa ini pada awalnya dijangkakan mampu bertahan 50-50. Bagaimanapun, semuanya kuat semangat, berjaya melepasi tempoh sukar dan kritikal hingga bebas inkubator sejak Ogos lalu.
Namun kini, semua anak kembar wanita itu bertambah berat badan dan terus menunjukkan perkembangan kesihatan baik yang bermakna mereka boleh pulang ke Mali tidak lama lagi.
Susulan itu, bayi-bayi berkenaan berpindah ke sebuah pangsapuri berdekatan hospital bagi memudahkan dipantau kakitangan perubatan.
Memiliki bayi yang ramai, Cisse terpaksa menggunakan 100 keping lampin pakai buang dan menyediakan enam liter susu sehari.
Kandungan kembar sembilan menjadi perhatian dunia selepas Cisse hamil tanpa sebarang rawatan kesuburan. Pada awalnya dia dikatakan hamil kembar tujuh sahaja. Berat perut Cisse juga dikatakan mencecah 30 kilogram, termasuk air ketuban.
Bayi-bayi tersebut dilahirkan pada usia pramatang melalui pembedahan caesarean. Cisse difahamkan berada diambang maut selepas bersalin kerana kehilangan banyak darah.
Lapor Daily Mail, bil hospital sahaja cecah RM5.71 juta yang mana sebahagiannya ditanggung kerajaan Mali.
Halima Cisse dan suami terdahulu memiliki anak sulung perempuan, Souda berusia dua tahun setengah.Pasangan ini tinggal di kediaman mereka di Timbuktu, Mali yang mempunyai tiga bilik tidur.Untuk itu, mereka merancang untuk membesarkan rumah bagi menampung keperluan anak seramai 10 orang.
Sebelum ini, rekod kelahiran bayi kembar paling ramai dipegang wanita bernama Nadya Suleman dari Amerika Syarikat.Wanita tersebut melakukan rawatan kesuburan untuk hamil dan dikurniakan bayi kembar lapan pada 2009.
Baca Lagi Di Sini:
Wanita Mali Dijangka Hamil 7 Bayi, Rupanya Selamat Bersalin Kembar 9!
8 Tip Peluang Hamil Anak Kembar, Perkongsian Oleh Dr Hamid Arshat
Ayah Namakan Anak Ke-19 Baru Lahir, ‘Cukuplah’
Mingguan Wanita: Kebesaran tuhan.Hebatnya mampu mengandung dan bersalin anak kembar 9. Semoga ibunya anak-anak kembar yang dilahirkan membesar dengan sihat dan sempurna. Selamat pulang ke rumah!
Sumber: Sinar Plus, Daily Mail
Mingguan Wanita juga boleh diikuti di
YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita
Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita