“Bayi yang dibawa ke hospital cedera di kepala dan muka.” Seorang bapa cuba menipu anaknya ditendang lembu, padahal anaknya itu cedera disebabkan kecuaian dirinya.
Sebenarnya kejadian malang itu berpunca apabila sang bapa mengundur kereta dan terlanggar anaknya.
Seorang bapa cuba menipu apabila mendakwa bayi perempuannya berusia setahun yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, cedera di kepala dan muka akibat ditendang lembu.
Namun, bayi warga negara Myanmar itu rupa-rupanya dilanggar lelaki berusia 27 tahun itu ketika mengundur kenderaan dipandunya, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku malam tadi di kediaman mereka di daerah Kubang Pasu dan petugas HSB pada 10.56 malam dimaklumkan bayi itu cedera akibat ditendang lembu ketika bermain di luar rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk G Suresh Kumar berkata, bagaimanapun hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati mangsa dipercayai dilanggar oleh bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka.
Beliau berkata, bayi perempuan terbabit cedera di kepala dan muka melecet dan keadaan terkini mangsa dilaporkan stabil, tetapi masih di bawah pengawasan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSB.
Artikel Berkaitan:
Enam Jam Panik Anak DiCulik, Mak Ayah Menangis Syukur Anak DiTemui Selamat
“Susulan kejadian itu, satu kertas siasatan dibuka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.
“Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suresh Kumar berkata, siasatan juga dilakukan bagi kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, bagi kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan sebat tidak kurang dari tiga sebatan.
“Bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mingguan Wanita : Jika bapa ini tak bersalah, mungkin dia tidak akan cuba menipu. Semoga kejadian ini memberi pengajaran buat mak, ayah di luar sana dan sentiasa memantau keselamatan anak di rumah.
Sumber : myMetro