Bayi 4 Bulan KOMA Didera Pengasuh, Kepala Dipukul, Badan Dihempas & Digoncang!

Share

Bayi 4 Bulan KOMA Didera Pengasuh, Kepala Dipukul, Badan Dihempas & Digoncang! Luluhnya hati mak ayah, apabila pengasuh bertindak kejam sanggup melakukan perkara sebegini kepada bayi yang baru berusia 4 bulan.

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Burok di sini, pada Rabu lalu.

Darah Beku Dalam Kepala

Bayi tersebut yang mengalami kecederaan serius iaitu pendarahan di dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kejadian disedari bapa mangsa berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan ketika mengambil bayinya di pusat jagaan tersebut.

“Mangsa didapati berada dalam keadaan lemah dan kesakitan lalu dibawa ke hospital.

“Hasil pemeriksaan menunjukkan terdapat darah beku dalam kepala bayi itu dan bapa mangsa membuat laporan polis pada hari sama,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Terengganu di sini pada Selasa.

CCTV Jadi ‘Saksi’

Susulan laporan itu kata Rohaimi, pihaknya telah memanggil pengasuh pusat jagaan terbabit untuk membantu siasatan, namun menafikan berlakunya penderaan selain memberikan keterangan meragukan.

Bagaimanapun katanya, siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek telah memukul bahagian kepala mangsa dengan tangan, menghempas dan menggoncang tubuh mangsa.

Jelas beliau, mangsa baru sahaja didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak itu selama tiga hari sebelum kejadian berlaku.

“Susulan itu, polis telah menyerbu pusat jagaan kanak-kanak itu dan menahan tiga wanita tempatan berusia lingkungan 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh pada Isnin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu kesalahan menganiaya atau mencederakan kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

TIGA suspek kes dera bayi lelaki berusia empat bulan direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Zaid Salim

Mesti Baca:Budak Lelaki 4 tahun Meninggal Dunia Disyaki Didera 5 Rakan Kakak, Ibu Bapa Dipenjara Sebab Dadah
Baca Lagi Di Sini:Ayah Dera Anak 9 Tahun Sampai Maut, Selamba Tanam Mayat Tepi Jalan!
Artikel Menarik:Mak Ayah Yang Tinggalkan Anak Dengan Pengasuh, Amalkanlah Doa Yang Pernah Diajar oleh Ustaz Dr. Haron Din Ini

Mingguan Wanita: Aduhai kasihan sungguh pada bayi yang tidak berdosa ini. Tergamak sungguh bertindak kejam sehingga bayi koma sebegini. Ini yang membuatkan mak ayah cukup risau nak hantar anak dibawah jagaan pengasuh di pusat jagaan.

Sumber: Sinar Harian

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab