Bayam merupakan sumber vitamin A dan K, magnesium, asid folik, serat, protein, kalsium dan sebagainya. Ia juga rendah kalori.
Terdapat dua jenis yang sangat popular di Malaysia iaitu bayam hijau dan merah. Selain dimasak sebagai lauk, macam-macam hidangan boleh dimasak dengan menggunakannya. Jom cuba resipi-resipi yang berasaskan bayam ini. Memang sedap, tak nyesal punya!
LEMPENG BAYAM
Bahan-Bahan:
3 gram bayam – dicencang halus
150 gram tepung gandum serba guna
1 sudu makan gula
2 sudu teh serbuk penaik
¼ sudu teh garam
1 biji telur – dipukul
200 ml susu segar
2 sudu makan minyak masak
Cara Membuat:
- Satukan tepung, gula, serbuk penaik dan garam di dalam satu bekas. Ketepikan.
- Di dalam bekas berasingan, satukan telur, susu dan minyak masak dan tuang ke dalam adunan tepung tadi. Gaul sebati dan masukkan bayam yang telah dicencang. Gaul hingga adunan sebati. Ketepikan.
- Panaskan kuali leper dengan api sederhana dan sapukan sedikit minyak di permukaan kuali. Tuang sedikit adunan membentuk bulat leper. Biar sehingga bahagian tepi pankek kering dan ada gelembung udara, terbalikkan pankek dan biar sehingga perang kedua-dua permukaan pankek.
- Angkat dan ulangi langkah hingga selesai. Sedia dihidangkan suam.
Ini Resipinya!…
Tart Bayam Dan Bawang
Bahan Kulit Tart:
230 gram tepung gandum
100 gram mentega
30 ml air
Garam secukupnya
Bahan Inti:
70 gram bayam – cencang halus
1 labu bawang – cencang halus
4 biji telur
150 gram susu segar
20 gram keju parmesan
1 sudu makan minyak zaitun
Garam dan lada hitam secukup rasa
Air secukupnya
Cara Membuat:
- Panaskan oven dengan suhu 200⁰C. Ketepikan.
- Satukan tepung, mentega dan garam. Ramas hingga menjadi seakan serbuk roti.
- Masukkan air dan uli hingga menjadi doh.
- Bahagikan doh beberapa bahagian dengan berat lebih kurang 30 gram setiap satu dan tekan pada acuan tart mengikut saiz yang dikehendaki.
- Biarkan ia di dalam peti sejuk sementara membuat inti.
- Untuk membuat inti: Celurkan bayam di dalam air panas hingga layu, toskan dan cencang halus. Ketepikan.
- Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bawang hingga layu dan masukkan garam dan lada hitam secukup rasa. Kemudian masukkan bayam dan gaul sekata. Angkat dan biarkan sejuk seketika.
- Dalam bekas berasingan satukan telur dan susu dan kacau sekata. Masukkan bawang dan bayam yang ditumis tadi. Kacau sekata dan seterusnya masukkan keju parmesan.
- Keluarkan kulit tart daripada peti sejuk. Tuangkan ke dalam kulit tart dan bakar pada di dalam oven 35-40 minit hingga kulit tart perang dan inti masak. Keluarkan dan biarkan seketika. Sesuai dihidangkan dalam keadaan suam.
Permesan Spinach Souffle
Bahan-Bahan:
60 gram bayam – cencang halus
60 gram keju parmesan
30 gram mentega
1 ½ sudu teh tepung gandum
150 ml susu segar
3 biji telur – asingkan kuning dan putihnya
2 sudu makan serbuk roti
Cara Membuat:
- Cairkan mentega di dalam kuali menggunakan api sederhana dan masukkan tepung gandum. Biarkan sehingga berbuih dan setelah itu masukkan susu. Gaul sebati hingga pekat.
- Masukkan pula bayam dan kacau hingga bayam layu dan alihkan dari api. Biarkan sejuk sedikit.
- Kemudian masukkan keju parmesan dan gaul sebati. Masukkan kuning telur dan gaul hingga adunan sebati.
- Pukul putih telur hingga kembang. Masukkan putih telur ke dalam adunan tadi dan kaup balik putih telur di dalam adunan tersebut. Ketepikan.
- Sapu sedikit mentega pada bekas ramekin dan taburkan serbuk roti pada keliling bekas ramekin.
- Tuang adunan ¾ penuh ke dalam bekas.
- Bakar dengan suhu 200⁰C selama 25 minit hingga permukaan atasnya perang keemasan.
- Keluarkan. Sesuai dihidangkan dalam keadaan suam.
Info tambahan: Taburkan sedikit keju parmesan di atas soufflé bayam semasa menghidang.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI