Bawak Anak Kecil Pergi Rumah Orang, Awas Jangan Sampai Tuan Rumah Rimas!

Share

Hari raya bakal menjelma, pasti banyak undangan rumah terbuka untuk dihadiri. Memang seronok setiap kali hari raya dapat berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan sambil menikmati juadah enak yang dihidangkan oleh tuan rumah. Pernah tular suatu ketika keletah anak-anak kecil yang menimbulkan masalah ketika berkunjung ke rumah terbuka. Untuk ibu-ibu khususnya yang mempunyai anak-anak yang sedang membesar atau lasak, perkara sedemikian perlu diambil kira supaya keselesaan bukan sahaja oleh tuan rumah yang menjemput malah keluarga anda yang diundang ketika rumah terbuka.

Dalam hal sebegini anak-anak tidak boleh disalahkan kerana mungkin mereka belum boleh membezakan apa yang baik dan buruk. Justeru sebagai ibu atau bapa memainkan peranan penting untuk membentuk akhlak dan adab anak-anak sejak dari kecil.

Selain daripada menekankan adab-adab ketika berkunjung ke rumah orang lain, ada beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk mendidik dan mengawal anak-anak ketika beraya atau menghadiri rumah terbuka kelak.

  1. Bawa barang permainan dari rumah

Anak-anak kecil memang suka berebut barang permainan. Jadi tak hairanlah kalau pergi ke rumah orang saudara mara yang turut mempunyai anak kecil, adegan berebut akan berlaku. Paling tidak pun mereka akan mencari sesuatu dalam rumah yang dikunjungi untuk bermain. Jadi bagi mengelakkan hal tersebut berlaku, bawalah barang permainan yang menjadi kegemaran mereka Bersama. Barulah anda pun boleh berborak dan menikmati hidangan enak tanpa gangguan daripada anak yang meragam.

  1. Selalu ingatkan anak untuk berkelakuan baik

Jangan terlalu asyik bersembang sehinggakan tak ambil tahu apa yang anak anda sedang buat di rumah orang. Sesekali jelingan mata anda mungkin membuatkan mereka rasa gerun. Jika mereka buat sesuatu yang tidak baik di mata seharusnya anda menegur dan bukan membiarkan sahaja anak dengan kelakuan tersebut. Tak perlu menegur dengan kasar, sebaliknya memberitahu mereka dengan tegas supaya anak kecil anda tidak mengulangi kesalahan yang sama.

  1. Pilih rumah yang sesuai untuk dikunjungi dan hadkan masa kunjungan

Ibu dan ayah pasti sudah arif dengan keletah dan perilaku anak masing-masing ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau teman-teman. Ada yang teruja setiap kali berjumpa orang ramai membuatkan mereka bertindak agak agresif daripada biasa. Jangan terlalu lama bertandang ke rumah orang lain kerana mungkin sahaja anak kecil anda cepat berasa bosan dan memerlukan perhatian dari anda. Rumah yang bakal anda kunjungi juga pasti sudah diketahui pemiliknya siapa, jadi jika perlu menolak undangan tersebut, berilah alasan yang baik dan munasabah. Pasti mereka faham dengan situasi anda.

  1. Pujuk anak

Jika anak anda meragam atau mengamuk di rumah orang, jangan cepat melenting dan marah kerana itu akan membuatkan mereka lebih memberontak. Ibu dan ayah perlu pujuk si kecil dan tenteramkan mereka. Alih perhatian si kecil dengan memberikan minuman sejuk atau makanan kegemaran mereka. Jika amukan terlalu teruk, peluklah anak anda dan pujuk dengan lembut agar mereka rasa lebih tenang.

  1. Sentiasa berfikiran positif dan sabar

Ini adalah perkara paling penting bagi yang bergelar ibu bapa. Bukan mudah untuk menangani anak yang sedang membesar. Macam-macam hal yang perlu ibu bapa perlu hadapi dengan sabar untuk membesarkan seorang anak. Jangan risau kerana semua ini boleh diatasi dengan ilmu dan kesabaran. Lagipun, perkara sebegini adalah normal bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan bukan selamanya anak-anak akan bersikap begini.

Jangan pula disebabkan anak-anak, kita berasa stress nak keluar beraya. Risau jika anak tumpahkan air, bergaduh, mengamuk, dan macam-macam hal lagi. Lagipun, perkara ini adalah normal dan ianya sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mendidik si anak agar menjaga perlakuan dan adab sejak dari kecil. Maka, didiklah anak sewajarnya.

 

 

 

 

 

Published by
Shahrina Azlin