Bawa Isteri Beraya Di Rumah Ibu Ayahnya, Itupun Jiwanya Dah Cukup Bahagia

Share

Ego suami tinggi melangit, langsung tak mahu jejak rumah mentua setiap kali tiba hari raya. Selepas anaknya kau nikahi, kau ambil dia hinggakan hari besar Aidilfitri pun kau tak bawa isteri ke rumah ibu ayahnya.

Dari mula kahwin sampailah beranak pinak, isteri terpaksa rela ikut suami di rumah mentua. Susah sangatkah nak bawa isteri ke rumah ibu ayahnya sendiri? Ibu ayah yang pernah membesarkan isteri mu wahai suami?

Nasihat Ustazah Asma Harun ini untuk para suami yang sejenis tidak mahu memahami. Ketahuilah suami yang meraikan kebahagiaan hati isterinya, Allah akan ganjarkan hati yang tenang lagi bahagia.

Suami Bahagiakan Hati Isteri, Bawa Beraya Di Rumah Ibu Ayahnya

Duhai para Suami, bahagiakanlah isteri kalian, insan yang paling setia meredah susah perit jerih bersama.

Bahkan sanggup menggadaikan nyawanya demi melahirkan zuriat kalian, sebaik lahir si anak nama kalian yang di bin atau di bintikan.

Saya mendoakan kepada para suami yang mengenepikan perasaan isteri setiap kali eidulfitri, yang sengaja membutakan mata hati daripada melihat air jernih mengalir di pipi. Namun tetap tega hanya membiarkan, malah kalian tetap senyum bahagia di eidulfitri.

Saya doakan tahun ini, setelah bertahun-tahun, bahkan sepanjang pernikahan, kalian bawalah si isteri menikmati bahagia. Mendengar alunan takbir raya pertama di rumah ibu ayahnya.

Di rumah itulah dia diasuh dibesarkan sehingga akhirnya diserahkan kepada kalian untuk dicurahkan keringat baktinya.

Yakinlah, suami yang membahagiakan isteri akan dibahagikan oleh Allah, begitulah sebaliknya. Kemuliaan seorang suami bukan terletak pada nilai ketaatan seorang isteri.

Tetapi sejauh mana kalian menjaga amanah yang Allah berikan, memimpin isteri ke Syurga dunia dan akhirat, kebajikannya dijaga dan perasaannya dihargai.

 

Bertahun Kahwin, Suami Tak Pernah Beraya Rumah Mak Ayah Isteri

Saya rasa sedih bila menerima banyak mesej luahan rasa yang dipendam sekian lama. Sepanjang pernikahan belasan tahun, bahkan ada yang lebih lama.

Sehingga telah pergi selamanya si ayah atau si ibu. Suami tidak pernah mahu menyambut eidulfitri hari pertama kedua di rumah si isteri. Tidak ada istilah giliran tidak ada rasa kasihan.

MW : Semoga tahun ini ada kesedaran di hati suami, turunkan egomu itu dan raikanlah hari bahagia ini dengan membahagiakan hati isteri yang banyak berkorban jiwa raga.

Sumber/Foto : Asma Harun

Published by
Netty Ah Hiyer