Batal Nikah Kerana Tunang Curang, Gadis Ini Masih Simpan Derita

Share

Hanya Tuhan saja yang tahu betapa peritnya andai dikhianati dan dicurangi oleh orang yang kita sayang. Begitu yang terjadi kepada gadis ini, masih menahan derita di jiwa akibat dicurangi tunang seminggu sebelum nikah.

Luahan hati ini gadis ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan wanita.

Assalamualaikum puan. Saya berusia 30 tahun dan seorang penjawat awam. Saya masih bujang. Hati saya tertutup untuk bercinta lagi selepas putus tunang ketika baru tamat belajar. Seminggu sebelum ijab kabul, dia tiba-tiba memutuskan pertunangan. Rupa-rupanya dalam diam, tunang saya (ketika itu) telah bercinta dengan perempuan lain juga sehingga terlanjur. Ia merupakan tamparan hebat buat diri saya kerana dia cinta pertama saya. Sukar untuk saya melupakan kenangan pahit manis kami bersama.

Tak Memilih

Orang sering kata saya terlalu memilih termasuk saudara mara saya sendiri. Kata mereka, saya ada rupa dan kerja yang stabil, takkan tak ada lelaki yg sudi. Tapi kenapa sampai sekarang saya masih belum juga berkahwin.

Terus terang, saya sedih kerana tanggapan begitu kerana saya bukan memilih. Tapi ia berkait soal hati saya yang masih terluka walaupun hampir lima tahun peristiwa itu berlalu.

Minggu pertama Ramadan, saya dan lima sahabat baik berbuka bersama di sebuah hotel. Mereka datang dengan suami dan anak masing-masing. Hanya saya yang masih bujang. Walaupun kawan- kawan faham keadaan saya dan tak pernah guriskan hati, tapi saya sendiri yang terasa. Alangkah bahagianya mereka kerana sudah memiliki keluarga mereka. Ada suami sebagai tempat bermanja dan anak-anak sebagai penyejuk hati. Tapi, diri saya juga yang masih keseorangan.

Tepis Duka

Puan, bagaimana saya lupuskan terus rasa sedih dan kecewa saya ini? Saya juga nak ada keluarga sendiri. Lebih-lebih lagi saya anak sulung daripada empat beradik. Semua masih belum berkahwin. Saya syukur kerana mak ayah dan adik-adik faham situasi saya. Tapi saya sedar saya perlu move on namun setakat ini saya belum mampu…

Mungkin di mata orang, saya kelihatan gembira, seolah-olah tak berbekas langsung dengan cakap-cakap orang sekeliling. Tapi saya juga manusia biasa, punya hati dan perasaan. Jauh di sudut hati, saya sering kali rasa sedih dengan pandangan orang lain terhadap diri saya yang seolah-olah terlalu memilih dalam mencari pasangan hidup.

Sudah pasti pada usia begini saya ingin memiliki suami dan seterusnya memiliki anak-anak sebagai pelengkap hidup. Tapi tiap kali saya cuba buka pintu hati untuk menerima mana-mana lelaki, saya tak mampu. Saya takut dikecewakan lagi…

Gadis pendam kecewa
Ipoh perak.

Jawapan:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…

Assalamualaikum saudari yang dirahmati Allah.. Perasaan sedih , luka dan kecewa adalah lumrah dan boleh berlaku kepada ,mana-mana manusia. Sedih, luka, kecewa adalah penyakit rohani. Seperti penyakit jasmani, penyakit rohani boleh diubati. Cara bagaimana untuk mengubati ada pelbagai cara dan bergantung kepada kekuatan dalaman seseorang.
Ada ubat tertentu untuk mengubatinya. Semua manusia ada hak untuk bersedih dan kecewa, Namun perasaan itu perlu diatasi bagi membolehkan kita untuk terus hidup dengan lebih bermakna dan menikmati kehidupan yang Allah berikan kepada kita.

Tak Mungkin Kembali

Saudari yang dirahmati Allah. Secara logiknya, jika kita terus menerus memikirkan perasaan kecewa dan luka, adakah sesuatu atau keadaan akan berubah menjadi lebih baik? Atau adakah dengan cara melayan kesedihan dan kekecewaan itu boleh mengembalikan apa yang dihajatkan?

Saudari telah mengalami kekecewaan akibat dicurangi itu hampir lima tahun. Adakah luka itu telah terubat dengan melayan perasaan kecewa dan sedih itu? Saudari yang mengalaminya…hanya saudari yang boleh menjawab – adakah kehidupan saudari lebih ceria atau cepat terasa dalam hal mencari jodoh dalam hidup, khususnya apabila bertemu dengan rakan-rakan yang telah punya keluarga sendiri.

Saudari yang dirahmati Allah. Banyak juga kes lain yang saya temui yang kecewa dan terluka yang berpanjangan boleh membawa penyakit-penyakit yang lain seperti insomnia, tidak bermaya untuk hidup, dan boleh juga membawa kepada stres, darah tinggi, jantung dan sebagainya.

Lakukan Perubahan

Jika saudari mahu melupakan luka yang melanda saudari, maka saudari perlu buat perubahan pada diri. Saudari menyebut bahawa saudari terluka kerana perbuatan teman lelaki lima tahun yang lalu.

Dan luka itu belum sembuh sehingga saudari menutup pintu hati untuk menerima lelaki lain dalam hidup. Cuba saudari lihat dari sudut yang lebih positif. Ditakdirkan saudari berkahwin dengannya seperti yang dirancang, tidakkah kecurangan sebegini boleh berlaku? Dalam masa hampir untuk ijab kabul pun dia boleh curang kepada saudari hingga berlaku perzinaan, adakah lelaki sebegitu yang diidamkan? Sebenarnya Allah sayangkan saudari…sebab itu saudari tidak dijodohkan dengannya, mungkin ada hikmahnya seperti yang saya sebutkan di atas. Cuba renung…

Warna Kehidupan

Saudari yang dirahmati Allah. Hidup kita ni perlu kepelbagaian untuk mewarnainya agar lebih ceria dan lebih bermakna. Tidak semestinya apa yang hilang itu tidak baik bagi saudari, malah hikmah yang saudari tidak tahu nantinya. Saudari perlu belajar untuk melupakan kekecewaan dalam hidup…jangan dibiarkan dalam tempoh masa yang lama. Sekarang ni pula jodoh sukar ditemui, apatah lagi kalau sudah lanjut usia.

Jika ada pemuda yang diperkenalkan oleh saudara mara, atau rakan, atau saudari sendiri yang kenal, beri peluang pada diri. Jangan terlalu rigid, bersifat terbuka dan terima seadanya. Asalkan lelaki itu mendirikan solat, punya pekerjaan walaupun tidak setaraf saudara, dan bertanggungjawab serta terpelihara akhlaknya itu sudah memadai. Rupa tu asalkan tidak cacat, maka sudah boleh dijadikan calon suami.

Berlandaskan Agama

Kalau orang kata memilih mungkin ada betulnya, mungkin juga sebaliknya. Namun, kita memilih ikut agama kata, bukannya bukan hati kita yang berkata-kata kerana hati kita punya nafsu yang mahu itu, mahu ini, tidak mahu itu dan tidak mahu ini.

Syarat yang kita letakkan mungkin juga kita tidak sedar kadang-kadang kehendak itu di luar kemampuan kita. Justeru, beri peluang pada diri, jangan terlalu rigid, terlalu sensitif dan bersikap intovert. Cuba banyakkan pergaulan, bercakap dan lakukan banyak aktiviti yang boleh menceriakan kehidupan. Jangan diikut rasa hati yang sedih dan luka kerana itu adalah mainan syaitan.

Belajar menjadi ceria, ikuti aktiviti luar, riadah, kalau jika minat berniaga, boleh terlibat dengan para usahawan. Atau aktiviti yang boleh memotivasikan dan menceriakan diri. Diri saudari yang menentukan saudari akan ceria atau tidak, bahagia atau derita, kecewa atau suka, sedih atau gembira.

Maka tukarkan minda dan perasaan yang negatif kepada yang positif mulai hari ini. Akhir sekali, jangan lupa penuhi doa setiap hari agar Allah mempertemukan jodoh yang baik buat saudari. Insya-Allah, saudari akan bertemu jodoh yang boleh memenuhi kehidupan, bukan memenuhi perasaan. SELAMAT MENCUBA!

Published by
Nurul Azwa