Basque Burnt Cheese Cake Ikut Sukatan Cawan, Lebih Sedap Dimakan Sejuk!

Share

Bagi peminat kek keju, Basque Burnt Cheese Cake antara kek sedap yang mesti kena cuba! Kek ini memang agak mahal jika dibeli, memandangkan mempunyai kandungan keju yang banyak. Namun sebenarnya tak susah nak buat Basque Burnt Cheese Cake hanya guna 6 bahan je. Malah lebih menarik, resipi ini cukup mudah hanya menggunakan sukatan cawan tak perlu susah payah guna alat penimbang.

Mak-mak boleh cuba resipi Basque Burnt Cheese Cake yang dikongsikan oleh Puan Imah Halimah sebagai rujukan;

“Hadiah buat suami sebab rajin tolong saya buat kerja rumah. Disebabkan dia peminat makanan berasaskn cheese, saya buatkan Basque burnt cheese cake untuk dia. Dahulu saya ambil tempahan membuat kek, jadi ilmu dan bakat yang ada sebagai anugerah allah untuk saya praktikkan walaupun sekarang sudah tidak ambil tempahan lagi”.

“Suami saya kata walaupun saya sekarang tak meniaga lagi,tapi sekurang- kurangnya saya sudah tahu apa sebenarnya minat dan bakat yang saya miliki. Minat dan bakat tak semestinya untuk meniaga tapi sebagai satu pinjaman Allah untuk hambanya. Sekurang-kurangnya saya ada masa yang lebih untuk anak-anak sekarang..kerana sebelum ini membaking hanyalah sebagai part time sahaja.Dalam masa sama saya sudah tau di mana kebolehan saya.”

“Nak cuba buat kek ni mudah sahaja.Saya kongsikan resepi dan cara mengikut sukatan cawan metrik. Untuk kek ini saya tidak ambil dari mana-mana class berbayar yang saya ikuti, tapi saya dapatkan dari google, saya buat dan membandingkan resepi dari setiap blog yang saya baca.”

Bahan-Bahan:

500gm cream cheese
3/4 cawan gula kastor
1 1/2 cawan UHT whipping cream
4 biji telur Gred A
1sudu kecil esen vanila (tiada dalam gambar )
2sudu besar tepung gandum

Cara Membuat:

1.Putar cream cheese hingga kembang.

2.Masukkan gula kastor dan putar lagi.
3.Kemudian masukkan telur dan esen vanila, putar lagi.
4.Masukkan UHT whipping cream dan putar sebentar sahaja.

5.Masukkan tepung gandum dan kaup balik sahaja. Boleh juga putar gunakan mixer tapi sebentar sahaja.

6.Alas loyang 8inci dengan paper dan lebihkan paper lebih tinggi dari loyang. Ini kerana kek akan naik tinggi semasa dibakar.
7.Panaskan oven 200-220’c api atas bawah.Bakar selama 1 jam hingga 1 jam 15 minit bergantung oven masing-masing.

8.Kek naik tinggi selepas dikeluarkn dari oven. Tapi apabila sejuk kek akan turun kebawah. Ia adalah normal untuk kek ini.

9.Sejukkan dulu dalam chiller, keesokan hari baru sedap dimakan sejuk-sejuk.

Tip Ekstra!

  • Jika guna telur gred B tambah lagi sebiji.
  • Basque burnt cheese cake nak cantik taburkan snow powder atas tu.Boleh beli di kedai bakeri.
  • Sukatan ini menggunakan loyang bersaiz 8 inci.

Baca lagi Disini:Resipi ‘Mini Peach Cheese Cake’ Special, Bahagian ‘Base’ Guna Biskut Tiger Je

MW: Bagi peminat cheese cake boleh cuba resipi ini. Nak beli agak mahal harganya, lebih jimat dan berbaloi bila buat sendiri.

Sumber: Imah Halimah

Published by
Suhaidah Abd Wahab